in ,

Manifestasi Semangat Juang Pengkarya Indie Tiga Negara Dalam TAPAUfest

Berlangsung selama 14 jam dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam (waktu tempatan), TAPAUfest membawa objektif mencipta pengalaman festival secara online dengan penerapan norma baharu, namun tetap menjunjung suasana sebenar festival.

Di sebalik dugaan dan cabaran yang terpaksa diharungi susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia hampir dua tahun lalu, semangat juang pengkarya seni masih utuh tersemat.

Akur terpaksa bergelut menyesuaikan diri dengan tuntutan norma baharu dalam rangka kerja, situasi itu mencetuskan kreativiti supaya berani berfikir dan bertindak di luar kotak demi meneruskan kelangsungan hidup.

Semangat jitu itu menjadi teras penganjuran TAPAUfest yang menawarkan pengalaman festival secara online dalam usaha menyemarakkan semula aktiviti seni yang pernah terhenti susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bakal berlangsung pada 30 Oktober 2021 (Sabtu), TAPAUfest menghimpunkan pembikin karya indie dari tiga negara serantau – Malaysia, Singapura dan Indonesia dalam festival yang menyatukan komuniti untuk bersama menyahut bahawa #lifeislive.

TAPAUfest Poster

Berlangsung selama 14 jam dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam (waktu tempatan), TAPAUfest membawa objektif mencipta pengalaman festival secara online dengan penerapan norma baharu, namun tetap menjunjung suasana sebenar festival.

Penganjuran TAPAUfest secara tidak langsung mengukuhkan lagi jalinan serantau dengan menyatukan pengkarya dan penyokong dalam senario indie dari tiga negara terbabit sebagai satu komuniti di bawah platform: www.TAPAU.asia.

Pada masa sama, festival itu turut mencipta kerjasama dan menyediakan peluang kerja kepada komuniti kreatif serta indie yang sebelum ini terpaksa berhempas pulas meneruskan survival ketika pandemik.

Menurut wakil penganjur, TAPAUfest menyajikan tiga komponen utama iaitu PENTAS (persembahan muzik secara langsung), BENGKEL (peluang mempelajari perkara baharu secara langsung ketika bengkel sedang berlangsung) dan LAYAR (tayangan perdana produksi secara langsung).

“PENTAS menjanjikan pengalaman santai dan interaktif selama 14 jam dengan menampilkan himpunan pemuzik indie hebat dan sedang bertapak dari tiga negara.

“Ketika kebanyakan persembahan ‘live’ dalam talian menyajikan pengisian yang terlebih dahulu dirakamkan, TAPAUfest pula membawa audiens merasai pengalaman sebenar menonton aksi secara langsung pemuzik membuat persembahan dari venue yang ditetapkan di negara masing-masing.

“Kami membariskan himpunan pemuzik indie popular dan sedang bertapak dari Malaysia, Indonesia dan Singapura dengan mengetengahkan kepelbagaian genre muzik, termasuk wakil wanita dari setiap negara,”

– Faris (Pengarah Konsert dan wakil TAPAUasia Sdn. Bhd.)
SORE2

Malaysia menampilkan dua nama besar yang terlebih dahulu mencipta populariti dalam senario muzik indie iaitu kugiran ska dari Johor, Plague of Happiness dan Zee Avi yang memegang rekod sebagai anak Malaysia pertama mempunyai album tersenarai dalam carta album US Billboard Hot 200 serta menduduki tangga carta Billboard Heatseekers.

Turut mewakili Malaysia ialah pemuzik underground kegemaran ramai, No Good yang baru melancarkan trek terbaharu mereka, “Kayaba” dan pemenang Anugerah Jeremy (Artis Indie Baharu Terbaik), TAPAUawards tahun lalu, Gard Wuzgut.

“Antara tumpuan terbesar adalah kemunculan pemuzik legenda Singapura, Force Vomit yang kembali membuat persembahan di TAPAUfest selepas tiga tahun tidak beraksi.

“Singapura turut disertai Subsonic Eye yang menjadi artis Asia Tenggara pertama tampil dalam KEXP, baru-baru ini dan Forest yang melakar sejarah sebagai band Asia pertama apabila lagu mereka tersenarai dalam “100 Greatest Emo Songs” di Vulture.com,” katanya.

Sementara itu, Indonesia pula membariskan tiga nama besar iaitu kumpulan legenda, Sore, trio rock and roll wanita, Fleur! dan kumpulan yang sedang mendapat tempat di hati peminat, The Panturas.

Sebagai kejutan, Sore bakal menampilkan dua tetamu istimewa yang hanya akan diperkenalkan ketika mereka beraksi nanti.

“Lokasi persembahan di setiap negara memiliki tarikan tersendiri dan ia direalisasikan dengan kerjasama daripada rakan kongsi indie tempatan iaitu Qun Films dari Jakarta, MonoMonday (Singapura) dan Krom Studio (Malaysia).

“Tidak hanya membuat persembahan, barisan artis juga digalakkan berkongsi cerita dan berinteraksi antara satu sama lain serta peminat menerusi livechat,” katanya.

PENTAS bakal menguji keampuhan energi Iedil Dzuhrie Alaudin (Iedil Putra) dan Sharifah Amani sebagai hos untuk kekal aktif mengendalikan siaran langsung selama 14 jam.

Selain memperkenalkan barisan artis dan segmen persembahan, mereka juga bertanggungjawab menghidupkan sesi livechat serta mengendalikan segmen selingan yang menawarkan pelbagai hadiah.

“Sharifah Amani akan mengemudi acara secara langsung dari lokasi di Malaysia, manakala Iedil pula mengendalikannya dari Indonesia,” katanya.

Tidak sekadar festival yang menyajikan himpunan persembahan, penganjur turut membawakan segmen BENGKEL sebagai nilai tambah kepada audiens untuk menguasai pengetahuan dan skil baharu untuk dimanfaatkan.

“Sesi BENGKEL bermula dengan Sarapan Untuk Juara di mana Bagus “Gogon” daripada The Panturas (Indonesia) mengajar bagaimana menghasilkan sarapan ringkas tetapi enak untuk menarik audiens berada dalam zon TAPAUfest.

“Ia disusuli kemunculan artis grafiti, Boon Baked dari Singapura yang akan memberikan tutorial bagaimana menghasilkan stail tulisan tersendiri menerusi Bengkel Huruf Boon.

“Sesi itu turut dimeriahkan dengan kemunculan Bear yang juga anggota kumpulan metalcore, Defoulters dari Malaysia yang akan memberikan tutorial menarik mengenai teknik scream dan growl selama 15 minit,” katanya.

Sementara itu, menerusi segmen LAYAR, audiens dapat mengikuti tayangan perdana secara langsung dokumentari Ipoh City Slackers “Indie Rock Kota Tua”, garapan Nik Syazwan dibantu Zim Ahmadi.

Sebagai bonus, TAPAUfest turut menawarkan cenderahati untuk dimiliki. Direka khas GrimmyGranny (pereka wanita bersaudara yang hebat dari Malaysia), cenderahati ini dihasilkan oleh Bogus Merchandise (yang turut bertanggungjawab untuk penghantaran di seluruh dunia).

“Penghasilan cenderahati bukan sekadar untuk kenangan, sebaliknya kami mahu ia menjadi sebahagian daripada pengalaman TAPAUfest. Kami akan mengeluarkan seluar pijama edisi terhad TAPAUfest (hanya 100 unit) menerusi pembelian Kombo SEMPOI yang pastinya memberi keselesaan kepada audiens untuk menikmati perjalanan TAPAUfest.

“Satu lagi produk kami adalah Zine yang merangkumkan panduan untuk festival, artikel tulisan Fikri Fadzil (Bayangan, The Wknd), Adly Syairi Ramly dan ramai lagi, segmen mewarna, malah teka silang kata (petunjuk akan diberikan hos ketika siaran langsung) yang menawarkan PS5 untuk dimenangi.

“Kami juga membawakan kembali set kad permainan ‘daun terup’ atau ‘kad tepuk’ (daripada kedai tikam) yang direka khas GrimmyGranny untuk menjadikan cenderahati kami sebagai sebahagian daripada pengalaman interaktif,” kata Farriz Izuan mewakili TAPAUasia Sdn. Bhd.

TAPAUfest

Tiket individu dijual pada harga RM30 untuk Kombo Asas, RM50 (Kombo Gerek), RM100 (Kombo Keren) dan RM150 (Kombo Sempoi), manakala tiket berkumpulan untuk empat orang pula dijual pada harga RM110 untuk Kombo Asas, RM180 (Kombo Gerek) dan RM360 (Kombo Keren) sehingga 29 Oktober 2021. Tiket individu dijual pada harga RM50 pada hari festival berlangsung. Semua tiket boleh dibeli terus di www.TAPAUfest.asia 

Sebagai informasi, TAPAUfest merupakan penerima Geran Pemulihan Industri Kreatif (GPIK) di bawah PENJANA dari MyCreative Ventures untuk acara digital.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Apple Bakal Adakan Acara Pada 18 Oktober, Dijangka Melancarkan M1X & AirPods Baharu

Noraniza Idris Aktifkan Semula Penerbitan Lagu-Lagu Irama Malaysia Bermula 2022