Penerbit dan pengarah terkenal, Mamat Khalid telah meninggal dunia di Hospital Slim River 12.30 pagi tadi, tanggal 24 Oktober 2021. Allahyarham Mamat Khalid meninggal dunia di usia 58 tahun.
Meninggal Dunia di Usia 58 Tahun
Akhbar Kosmo pula melaporkan Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid meninggal dunia di dalam ambulan semasa dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak.
Perkhabaran duka ini disahkan oleh Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah yang memaklumkan Allahyarham telah dikejarkan ke hospital selepas pengsan di restoran miliknya Sarang Art Hub di Tanjung Malim.
Jatuh Pengsan di Restoran Miliknya
Menurut Hafiz, Allahyarham difahamkan pengsan di restorannya, Sarang Art Hub sebelum dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia.
“Allahyarham pengsan di Sarang Hub, tempat dia dan dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia.
“Maklumat awal yang kami dapat, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Ipoh esok,”
– Hafiz Nafiah
Tambahnya, seluruh barisan kepimpinan Seniman Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian yang mengejutkan itu.
Katanya, seluruh kepimpinan tertinggi Seniman Malaysia serta barisan exco dan ahli-ahli Seniman mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham.
Seluruh Anak Seni Berduka
Khabar duka tersebut turut dikongsi beberapa selebriti tanah air seperti Didie Alias dan Zul Ariffin dalam Instagram yang turut bersedih dengan pemergian figura hebat dalam bidang perfileman negara.
Berita pemergian Mamat, dikongsikan oleh penyair Pyanhabib di Facebooknya.
Meninggalkan Seorang Isteri & Lima Orang Anak
Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid menghembuskan nafas terakhirnya di tangga usia 58 tahun dan meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan serta lima orang anak.
Jenazah Allahyarham Mamat Khalid akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Kampung Paloh, Ipoh, pada jam 11 pagi ini.
“Kami sekeluarga memohon sahabat handai, saudara-mara yang hadir untuk tidak merakam dan mengambil foto jenazah demi menjaga sensitiviti keluarga,” katanya.
Isteri Allahyarham, Hasmah Hassan, berkata jenazah akan disolatkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah, Sungai Rokam, Ipoh.
“Semoga Allah mempermudahkan segala-galanya,” katanya kepada BH Online.
Hasmah yang lebih mesra disapa Kak Intan memohon agar semua pihak tidak merakam foto jenazah demi menjaga sensitiviti keluarga.
Untuk rekod, Mamat dilaporkan berada dalam keadaan kritikal pada 25 Januari 2019 akibat masalah paru-paru dan jantung serta ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Petaling Jaya.
Allahyarham cukup disegani dalam dunia perfileman negara dan karya-karyanya sering pecah panggung serta memberi kesan cukup hebat kepada penonton.
Allahyarham sinonim dengan filem komedi satira dan sering menyelitkan isu masyarakat serta kritikan sosial.
Antara filem yang mendapat sambutan penonton karya Allahyarham Mamat Khalid adalah Man Laksa, Zombi Kampung Pisang, Rock, dan Hantu Kak Limah.
Selain itu Allahyarham juga mengingatkan kita dengan drama-drama komedi arahannya antaranya Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel, Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya dan 16 Puasa.
Nota kaki: Kehilangan ini adalah sebuah perkhabaran duka buat seluruh penggemar karya Allahyarham Mamat Khalid. Termenungku sejenak mengenangkan memori yang tercipta bersama Arwah. Pernah diajak kita ke set pengambaran filem ROCK, juga ESTET di Perak… memori dikutip semula dari zaman aku mula bertatih dalam arena media blogger tahun 2007 dulu… kenangan bersama Abg Mamat sentiasa terukir abadi bersama kasih sayang, senyuman ramah, usikannya buat kita selalu gelak terhibur, dan aku rasa tak pernah sekali pun arwah menolak apabila diajak untuk sesi temubual, antara pengarah yang selalu memberi bekerjasama sepenuhnya dan yang membuatkan aku terharu, kita dilayan seperti anaknya sendiri. Pulangnya seorang pengarah yang cukup prolifik ke pangkuan Ilahi sudah tentu dikenang sebagai pengarah yang selalu menyelit isu masyarakat dan kritikan sosial dalam fragmen komedi satira yang menjentik jiwa. Dalam pada kita ketawa menghayati karyanya, rupanya ada maksud yang tersirat. Ini menjadikan epilog perjalanan seni arwah tersergam dalam arena gelanggangnya yang tersendiri. Sama-sama kita sedekahkan Surah Al-Fatihah. Semoga arwah abang Mamat ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Amin.
Arwah Mamat Khalid Sempat Buat Persembahan Terakhir Depan Keluarga
Tengah malam tadi kita dikejutkan dengan berita pemergian pengarah dan penerbit terkenal, Mamat Khalid yang diserang sakit jantung. Berita itu sangat mengejutkan kerana arwah dilihat dalam keadaan sihat dan aktif sahaja sebelum ini.
Mohd Khalid Amen Mohamad, anak kepada arwah turut berkongsi bapanya sempat membuat persembahan terakhir di hadapan keluarganya.
Abang Mamat Khalid ketika itu sedang bermain ‘keyboard’ lagu ‘Apokalips’ menghiburkan keluarganya di kafenya, Sarang Art Hub, Tanjung Malim sebelum terdiam.
Arwah Mamat Khalid sepatutnya mulakan pergambaran telemovie ‘Kampung Pisang Berbuah Dua Kali’ minggu hadapan
Nampaknya hasrat arwah abang Mamat untuk mensajikan kepada kita lebih banyak karya teragungnya tidak kesampaian. Ini sememangnya satu kehilangan yang amat dirasai.
Terima kasih abang Mamat kerana telah menghiburkan kami dengan karya-karya hebat sepanjang anda bersama kami. Al-Fatihah.
Pemergian Mamat Khalid Kehilangan Bakat Tiada Pengganti
Pemergian pengarah filem terkenal, Mamat Khalid adalah satu kehilangan bakat yang tidak mungkin dapat dicari ganti, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau disahkan meninggal dunia pada 12.30 tengah malam tadi di Hospital Slim River.
“Salam takziah kepada keluarga Allahyarham Mamat Khalid, penerbit, pengarah dan pelakon. Negara kehilangan bakat yang tidak mungkin ada pengganti. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya dalam ciapan di Twitternya.
Dilaporkan, Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad bin Mohamad Khalid, 58 yang terkenal dengan filem arahannya seperti “Zombi Kampung Pisang” dan “Hantu Kak Limah’, telah rebah di kafenya di Sarang Art Hub, Tanjung Malim sebelum dibawa ke Hospital Slim River dan disahkan meninggal dunia.
Nada sedih yang sama turut dizahirkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam Twitternya;
“Al Fatihah. Moga Allah tempatkan Abang Mamat Khalid dalam kalangan mereka yang dirahmati oleh-Nya”.
Beberapa rakan selebriti yang rapat dan mengenali arwah turut melahirkan perasaan dukacita dan terkejut seperti pelakon Que Haidar yang menghantar ciapan dalam Twitter: “Antara pengarah terawal mengesan bakat saya. Al Fatihah untuk Abang.”
Sharifah Amani dalam hantarannya di Twitter : “Thank you Abang Mamat for the years of love and dedication towards your craft and country. You will be truly missed. (Terima kasih Abang Mamat untuk cinta dan dedikasi anda kepada seni dan negara buat sekian lama. Anda akan sentiasa dirindui). Semoga tenang disana. Salam takziah buat keluarga dan sahabat tercinta. Al Fatihah”.
Jenazah Mamat Khalid Selamat Dikebumikan
Jenazah pengarah dan penerbit filem, Mamat Khalid yang meninggal dunia jam 12.30 tengah malam tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh di sini, kira-kira jam 2.20 petang ini.
Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Sungai Rokam di sini sebelum dibawa ke kawasan perkuburan jam 1.50 tengah hari.
Kira-kira 300 orang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di tanah perkuburan berkenaan.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir di tanah perkuburan ialah rakan-rakan artis antaranya, M Nasir bersama isteri, Awie, Zul Ariffin, Pekin Ibrahim, Bell Ngasri, Zahiril Adzim, Bront Palarae, Avaa Vanja, Mat London, penerbit dan pengarah, Raja Azmi Raja Sulaiman.
Yang turut hadir menziarah, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) dan Primeworks Studios (PWS), Datuk Khairul Anwar Salleh dan Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias.
Awal pagi tadi, media melaporkan Pengarah terkenal Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Slim River, Perak.
Sementara itu, Awie ketika ditemui berkata, arwah mengajar hingga semua pelakon dapat membawa watak yang lebih baik. Arwah kelihatan garang tetapi disifatkan sebagai pengarah, sahabat dan abang yang baik kepada semua pelakon dan krew serta seorang yang periang.
“Dia penghibur di kala ada orang yang bermasalah di lokasi dan pada masa sama dia juga mengajar hingga semua pelakon dapat membawa watak yang lebih baik. Dia yang membawa saya hingga kekal sebagai watak Husin dan hingga ke akhir arwah memanggil saya dengan watak itu,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi jenazah Mamat Khalid di kediamannya di Taman Ipoh Jaya Timur 1 di sini, hari ini.
Awie mengakui tidak dapat menahan kesedihan di atas kehilangan penerbit dan pengarah terkenal itu.
Katanya, kali terakhir dia berjumpa Mamat Khalid ialah pada tayangan Kampung Pisang Muzikal. Dia menerima dua panggilan telefon daripada rakannya dari Perak namun tidak sempat menjawab kerana sedang menjalani penggambaran sebelum mendapat berita kematian Mamat Khalid.
“Apabila dihubungi rakan dari Perak, saya mula tidak sedap hati dan apabila diberitahu abang Mamat sudah tiada, luruh hati saya, pergi lagi seorang sahabat saya, abang saya,” katanya.
Katanya, beberapa minggu lalu, arwah ada menghantar mesej di aplikasi WhatsApp.
“Love you bro, cepat-cepat sembuh’. Dia tidak pernah hantar mesej begitu dengan saya sebelum ini dan kalau bergurau pun kasar, tetapi kemudiannya dia turut bertanya khabar,” katanya.
Sementara itu, Pekin Ibrahim turut meluahkan rasa kehilangan seseorang yang memberi ruang dan antara insan yang mengangkatnya dalam industri seni.
“Kami rapat macam ayah sendiri dan sangat terasa kehilangannya. Dia antara orang yang terawal ambil saya berlakon,” katanya sebak.
Katanya, arwah kali terakhir berhubung dengannya melalui aplikasi WhatsApp minggu lalu.
Tiara hilang ‘abang’ genius
Pernah sama-sama mencipta magis dalam dunia perfileman, pemergian Allahyarham Mamat Khalid diratapi teman baiknya, Puan Sri Tiara Jacquelina yang menyifatkan arwah insan ‘genius’.
Melalui coretan di Instagram (IG), Tiara yang mendapat perkhabaran pemergian arwah selepas dihubungi anak Mamat tengah malam tadi, hilang kata-kata sebaik mendapat tahu berita sedih itu.
“Mamat, saya tunggu pandemik ini berakhir agar dapat berjumpa semula dengan engkau. Malangnya, ia takkan terjadi.
“Ketika kali pertama engkau masuk hospital beberapa tahun lalu, sayalah orang pertama yang sampai sejurus mendengar perkhabaran itu.
“Terkejar-kejar kerana sangkanya, ketika itu, akan kehilangan engkau. Ketika itu, saya sangat kecewa kerana engkau masih tidak berhenti merokok.
“Nasib baik Tuhan bagi peluang dua tiga kali selepas itu. Isteri engkau sendiri pun tidak berjaya membuatkan engkau berhenti merokok. Jadi, saya pun putus asa hendak berleter lagi,” katanya.
Tiara terkenang bagaimana dirinya dan arwah menggemari pelbagai genre muzik dendangan penyanyi lama.
“Kami layan lagu album irama blues The Healer daripada penyanyi John Lee Healer. Sama juga obsesi mengarut kami terhadap lagu Camptown Races.
“Bait lirik lagu itu berbunyi ‘Camptown ladies sing this song doodah doodah’ mahu saya nyanyikan buat engkau untuk kali terakhir,” katanya.
Tiara cukup menghargai persahabatan dengan Allahyarham Mamat yang baginya, tidak akan difahami orang lain.
“Lawak kita, cuma kami sahaja faham. Sampai abang Mat London pun pelik, apa jugalah kami gelak terkekek-kekek. Tetapi itukah permulaan nilai persahabatan kami.
“Lalu, kami bekerjasama menghasilkan karya seni seperti cerita Pukul Dua Petang, Rombongan Cik Kiah, Mat Nor Khushairi & The Velvet Boys, Hari Raya Abdullah Rafie, Peristiwa di Rumah Tok Su dan Spanar Jaya.
“Seterusnya ke karya agung arwah untuk saya, filem Puteri Gunung Ledang (PGL). Selepas itu, engkau terus terbang tinggi dengan menghasilkan karya seni yang saya tonton dengan rasa bangga,” katanya.
Tiara yang cukup terkenal dengan watak Puteri Gunung Ledang terkilan tidak dapat menyempurnakan projek rahsia bersama arwah.
“Saya sudah lama menanti untuk merealisasikan projek itu… Bertahun-tahun. Saya masih ingat lagi engkau bengang sangat dengan juri sebuah pertandingan pesta filem ketika saya tewas kategori Pelakon Wanita Terbaik.
“Engkau berjanji untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada PGL. Sepatutnya saya ‘kurung’ engkau macam zaman PGL dulu, dalam satu bilik dan jangan keluar selagi tak habis skrip.
“Sekarang saya terpaksa tunggu sampai kita berjumpa di akhirat, suatu hari nanti,” katanya.
Tiara reda kehilangan sahabat baiknya walaupun terlalu memeritkan.
“Saya akan merindui seorang abang yang gila-gila tapi sangat genius. Takkan ada pengganti seperti kamu lagi, selepas ini… Kamu tersendiri dan legenda,” katanya.
Allahyarham Mamat, 58, menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak, jam 12.30 tengah malam tadi.
‘Kak Limah’ sedih tak dapat beri penghormatan terakhir buat Mamat Khalid
Pelakon Dalimawati Ismail meluahkan rasa ralat kerana tidak dapat memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham pengarah Mamat Khalid yang meninggal dunia.
Dalimawati berkata, dia benar-benar terkilan apatah lagi akrab dengan keluarga Allahyarham.
“Saya betul-betul rasa bersalah. Niat hati memang nak sangat hantar dia sampai ke ‘rumah’ abadinya. Saya dapat khabar sedih ini dalam jam 2.30 pagi menerusi rakan-rakan. Kemudian saya menelefon balu arwah dan juga kru produksi bagi membuat kepastian mengenai berita kematian itu. Saya ingin mengajak anak menemankan saya namun dia pula sedang hamil.
“Manakala kebanyakan rakan lain pula tinggal berjauhan. Pada mulanya saya rasa tidak sempat hendak ke Ipoh, Perak kerana arwah dikebumikan pada jam 11 pagi. Namun, saya terima berita arwah dikebumikan selepas waktu Zohor pula. Saya hanya dapat mengirimkan doa dari jauh saja. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Insya-Allah, saya akan ke Ipoh untuk bertemu balu arwah,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Dalimawati, kehilangan pengarah berkaliber itu sangat dirasainya lebih-lebih lagi arwah adalah insan yang menaikkan namanya menerusi filem Hantu Kak Limah beberapa tahun lalu.
“Kali terakhir kami berjumpa pun sekitar dua tahun lalu. Kami ada berbincang untuk projek dan naskhah seni seterusnya tetapi Allah lebih sayangkan dia. Setiap yang hidup pasti akan pergi juga satu hari nanti.
“Kami sudah bekerjasama sejak tahun 1980-an lagi, malah arwah juga banyak membantu saya. Daripada pelakon pembantu, saya memegang watak utama dalam Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel,” katanya.
Zul Ariffin Ucap Terima Kasih, Pernah Hiburkan Arwah Ibu
Menerusi Instagram, aktor kacak Zul Ariffin turut berkongsi kenangan berlakon dengan Allahyarham ketika filem Hantu Kak Limah.
Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin turut mengucapkan terima kasih kepada Allahyarham kerana pernah menghiburkan hati arwah ibunya, Robiah Nasir yang meninggal dunia pada Disember 2017.
Al-Fatihah dan takziah kepada keluarga arwah abang Mamat Khalid. Sesiapa yang kenal dan pernah tengok watak Encik Solihin, mohon sedekahlah Al-fatihah.
Terima kasih abang hiburkan hati arwah mak saya kat set, bagi dia senyum kat set walaupun ketika itu hati anak dia rabak tapi masih kuatkan diri untuk teruskan kerja untuk karya abang.
– Zul Ariffin
Bell Menangis Imbas Kenangan Akhir Bersama Arwah Mamat
Pengalaman berlakon bersama Allahyarham Mamat Khalid menerusi program masakan menjadi kenangan terakhir pelakon dan pelawak popular, Bell Ngasri bersama pengarah tersohor yang menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung, semalam.
Bell berkata, dia tidak menyangka pengalaman berada di lokasi penggambaran itu menjadikan pertemuan terakhirnya bersama insan yang banyak membantu bagi lonjakan kerjayanya.
“Saya tidak menyangka arwah pergi secepat ini. Saya dan arwah baru beberapa minggu lepas menjalani penggambaran program masakan.
“Dalam program ini saya berlakon dengan arwah, sedangkan peminat mengenali sebagai pengarah.
“Rupa-rupanya itulah momen terakhir saya bersama dengan arwah. Saya tak sangka dapat juga merasa sekali berlakon dengan arwah kerana selalunya saya bekerja di bawah arahannya,” katanya kepada BH Online.
Bell berkata, dia sebenarnya akan memulakan penggambaran sekuel Kampung Pisang bersama arwah, hujung bulan ini.
Pelakon watak Barkoba dalam filem 18 Puasa di Kampong Pisang itu mengakui, kehilangan pengarah tersohor itu begitu dirasai.
“Saya betul-betul tidak sangka arwah sudah tiada. Allah lebih sayang beliau.
“Saya ralat kerana sepatutnya berjumpa dengannya untuk penggambaran seterusnya,” katanya.
Menurutnya, arwah pernah meluahkan hasrat untuk menyambung telefilem 16 dan 17 Puasa.
“Orang suka dengan Barkoba, watak saya dalam telefilem 16, 17 Puasa dan filem 18 Puasa Di Kampong Pisang. Arwah membantu melonjakkan nama saya semula.
“Arwah pernah bercerita mahu buat sehingga 19 dan 20 puasa, tetapi beliau sudah tiada. Ini adalah antara kenangan manis saya bersama arwah,” katanya sambil menangis dan tidak mampu menahan emosi.
Katanya, pemergian arwah satu kejutan dan pemergian besar dalam industri seni.
“Satu kejutan besar. Bukan setakat saya, tetapi satu negara minat dengan karakter ciptaan arwah.
“Namun, Allah juga penentu segala-galanya. Kita kehilangan seorang insan seni yang genius dan ramai begitu sayangkan hasil seni dan karya arwah.
“Semoga apa sahaja yang arwah tinggalkan menjadi satu legasi besar untuk industri seni,” katanya.
‘Abang Mamat Dah Siapkan Skrip Untuk Saya’
Pelakon, Datin Paduka Eina Azman, 26, terkedu apabila dimaklumkan mengenai pemergian penerbit dan pengarah terkenal, Mamat Khalid yang meninggal dunia, semalam.
Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman berkata, timbul rasa ralat apabila dia seharusnya memulakan penggambaran di bawah arahan Allahyarham yang berjudul Kampung Pisang Berbuah Dua Kali.
“Saya terkejut apabila dimaklumkan oleh kakak saya mengenai pemergian Abang Mamat. Terkedu ketika menerima panggilan pada tengah malam semalam, berkali-kali saya meminta kakak saya membuat kepastian. Ralat menyelubungi diri kerana saya seharusnya memulakan penggambaran pada 3 November ini. Biarpun jadual sedikit padat, namun saya meminta untuk mengisi slot buat Abang Mamat.
“Kali terakhir saya berlakon di bawah arahan Allahyarham menerusi filem Zombie Kilang Biskut yang ditayangkan pada 2014. Beberapa kali pihak produksi menekankan Abang Mamat ingin saya berlakon dalam karyanya ini. Baru Khamis lalu pihak produksi menghubungi kakak saya bertanyakan mengenai jadual. Malah, saya juga dimaklumkan Abang Mamat sudah menyiapkan skrip membabitkan 15 babak untuk super telefilem itu,”
Tak popular, Mamat Khalid kata okay
Jejaka tular dengan lagu parodi di media sosial, Azman Naim, 36, antara yang terkesan besar dengan pemergian pengarah tersohor, Allahyarham Mamat Khalid, semalam.
Azman atau nama sebenarnya Mohd Nur Azman Naim mengakui perkenalan singkat dan kepercayaan diberi arwah kepadanya adalah hal paling bermakna dalam hidupnya.
Menurutnya, sewaktu Mamat menawarkannya berlakon, tidak terlintas rasa ragu-ragu untuk menerima disebabkan yakin pengarah itu sentiasa buat keputusan bijak.
“Alhamdulillah saya sempat bersama seorang seniman agung alam Melayu zaman ini. Di mana hasil seninya bukan sekadar seni semata. Yang peka akan faham. Mengapa saya terima terus lamaran Mamat Khalid sedangkan ramai lagi sebenarnya pengarah dan penerbit yang hubungi saya. Satunya adalah kerana Mamat nak watak Gerhana itu sepenuhnya diri saya, tapi muda 10 hingga 20 tahun.
“Darah muda, ganas, kasar, sukar diduga, berilmu, ingin tahu dan memberontak. Hanya tukar nama Azman kepada Gerhana, dan jadi lebih muda. Saya jadi kekal macam diri saya jadi hasilnya semula jadi. Dia bijak meletakkan seseorang di tempat yang paling sesuai,” katanya.
Menurut Azman, terlalu banyak ilmu dikongsi arwah walaupun dalam waktu yang singkat.
Malah, dia sudah persiapkan diri untuk penggambaran filem Kampung Pisang berbuah 2 kali pada Jumaat ini.
“Kalau ikut katanya, saya akan diberi watak dalam filem itu. Pengenalan saya sebagai Gerhana, adik Purnama. Dari awal saya sudah tanya Mamat, nampak macam filem itu banyak fokuskan kepada saya. Saya tanya sekiranya ia berbaloi sebab orang baharu dan tidak pernah ada berlakon filem.
“Boleh pergikah cerita itu nanti, risau tiada orang tengok sebab saya ini tak popular. Dia jawab ringkas dan suruh buat saja,” katanya.
Azman turut mendedahkan, kali terakhir Mamat menghubunginya adalah pada 21 Oktober lalu. Pengarah itu memintanya menyanyi lagu Kehebatan Cinta yang dipopularkan Datuk Jamal Abdillah dan Francesca Peter untuk filem itu.
Terdahulu, Azman tular apabila video parodinya menerusi lagu My Sejahtera Way mendapat perhatian luar biasa termasuk Tunku Ismail yang mahu berjumpa dengannya.
Azman mula memuat naik video lagu parodi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada 13 Januari lalu.