Dato’ Jailani Johari, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah mengumumkan 5 memorandum persetujuan (MoA) di antara syarikat animasi tempatan dan antarabangsa di ‘Sesi Rangkaian Kreatif Malaysia,’ sempena acara Pameran Perdagangan Audio Visual Dunia (MIPCOM) 2015 di Cannes, Perancis.
Antara 5 syarikat animasi tempatan yang memeterai memorandum persetujuan tersebut adalah: Animasia Studio (Malaysia) dan Zodiak Kids (Perancis) bagi produksi bersama untuk siri animasi “Magiki”; Funcel (Malaysia) dan Semerkand Yapim (Turki) bagi produksi bersama untuk menerbitkan siri animasi baharu dan pengeluaran kandungan Turki di Malaysia; Frogtale Studios (Malaysia) dan Karton Robot (Turkey) bagi produksi bersama untuk menerbitkan siri animasi baharu; Giggle Garage (Malaysia) dan Funny Flux (Korea Selatan) bagi produksi bersama untuk siri animasi “Katuri”; serta Lil’ Critter Workshop (Malaysia) dan Grafizix Co. Ltd., (Korea Selatan) bagi produksi bersama untuk siri animasi “FrienZoo”. Animasia Studio juga telah menandatangani perjanjian dengan NCircle Entertainment ketika acara ‘MIP Junior’ untuk memasarkan animasinya, “ABC Monsters” ke Amerika Utara.
Selain itu, Dato’ Jailani Johari juga turut memperkenalkan portal industri kreatif Malaysia yang pertama iaitu ‘Kr8tif Express’ di sesi rangkaian yang telah dihadiri oleh lebih 100 orang daripada syarikat dalam dan luar negara. Beliau berkata, “Adalah penting bagi Malaysia untuk bergerak ke arah digital dan menerbitkan berita industri kreatif di platform yang mudah untuk diakses oleh semua, lebih-lebih lagi dalam arena global ini di mana maklumat tersedia di hujung jari.
Oleh itu, kami berbangga untuk memperkenalkan aplikasi industri kreatif Malaysia yang pertama yang membolehkan kita kekal berdaya saing dan mengikuti perkembangan berita dan pencapaian industri ini setiap hari.”
Di samping itu, Malaysia juga terus mengetengahkan Insentif Perfilemen di Malaysia (FIMI) yang menawarkan rebat tunai sebanyak 30% bagi perbelanjaan aktiviti-aktiviti produksi dan pasca produksi di Malaysia. Pada tahun 2014, FIMI telah berjaya menarik 21 produksi, termasuklah 16 produksi asing, seterusnya mengharumkan nama Malaysia sebagai destinasi penerbitan yang serba lengkap dengan infrastuktur dan bakat bertaraf antarabangsa.
Delegasi Malaysia ke MIPCOM telah dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), dengan kerjasama strategik Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), dan Pertubuhan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM).