Bangkok merupakan salah satu bandaraya paling popular di Asia Tenggara. Malah ia sering memenangi undian serta anugerah oleh badan-badan yang diiktiraf dalam dunia pelancongan dan pengembaraan sebagai destinasi pilihan untuk bercuti. Ini pasti kerana kemudahan dan infrastruktur Bangkok yang sangat menyenangkan para pelancong. Ditambah pula dengan pilihan tempat-tempat untuk membeli-belah pada harga yang sangat murah dibandingkan dengan negara-negara lain di Asia secara umum, Bangkok memang wajar menjadi pilihan ramai.
Biarpun sempat dilanda kemelut politik sebelum ini, Bangkok sebenarnya sangat aman dan selamat sekarang. Sejak pihak ketenteraan mengambil-alih soal keselamatan bandaraya Bangkok, pelancong kini tidak perlu risau atau khuatir untuk bersiar-siar di ibu negara Thailand tersebut. Malah warga Thailand sangat menghormati para tamu asing serta suka membantu dan ini menyenangkan lagi pelancong yang datang.
Dan sekiranya mencari tempat penginapan, Bangkok juga mempunyai ratusan hotel dan tempat penginapan pada harga yang sangat berpatutan! Namun bagi anda yang gemarkan bermalam di hotel mewah, Tower Club at lebua merupakan hotel berkonsepkan suite eksekutif sepenuhnya dan termasuk sebagai salah satu penginapan berbintang lima terbaik di Bangkok!
Ia mempunyai lokasi yang sangat strategik dan terletak tidak jauh dari stesen BTS Saphan Taksin (seperti sistem LRT di KL). Ia juga menawarkan pemandangan indah sungai Chao Phraya di tengah-tengah kesibukan kota metropolitan Bangkok. Ia juga mengambil masa lebih kurang 30 minit sahaja untuk sampai ke situ dari Lapangan Terbang Don Muang.
Dengan 221 unit suite dari pelbagai taraf (satu, dua atau tiga bilik tidur), hotel ini menjanjikan perkhidmatan terbaik buat semua tamunya yang hadir. Kesemua bilik-biliknya dilengkapi kelengkapan serta kemudahan terkini dan berkualiti tinggi dari TV layar leper sehinggalah barangan mandian berjenama. Ini sebagai bukti mereka yang ingin memberikan yang terbaik buat para pelanggan yang datang menginap di situ.
Kesemua bilik suite di sini mempunyai ruang tamu masing-masing selain bilik tidur yang luas. Semestinya, para penghuni bilik-bilik ini mempunyai ruang santai mereka tersendiri di Tower Club Lounge untuk menikmati pelbagai perkhidmatan seperti kemudahan internet wi-fi, sarapan khas, makan tengah hari ringan serta minum petang yang lebih istimewa.
Berkat keluasannya, The Tower Club at lebua juga mempunyai kemudahan-kemudahan lain seperti sebuah kolam renang, gymnasium serta pusat kesihatan, dan juga aneka restoran serta tempat makan. Berserta kemudahan-kemudahan hotel yang lain seperti ruang-ruang mesyuarat dan dewan, hotel ini memang sesuai buat anda yang menyenangi kemewahan.
Kalau soal menjamu selera pula, mereka mempunyai pelbagai restoran di antaranya restoran tersohor Bangkok iaitu The Dome at lebua yang terkenal dengan kubah besar di puncak bangunan, Mezzaluna di tingkat 65,Distil di tingkat 64,Sirocco dan Sky Bar di tingkat 63, Breeze di tingkat 51 dan 52, Ocean di tingkat 52, lebua Lounge di tingkat bawah dan Cafe Mozu di tingkat M.
Kesemua restoran tadi (selain Mozu dan lebua Lounge) menawarkan pemandangan terindah bandaraya Bangkok kerana kedudukannya yang tinggi. Sambil menikmati hidangan atau minuman tamu dapat menyaksikan suasana Bangkok sambil diselangi lelangit malam. Cafe Mozu pula terkenal sebagai restoran yang menyajikan hidangan sarapan terhebat di antara hotel-hotel di Bangkok kerana variasinya memang sukar ditandingi. Selain sajian yang sering ada tika sarapan, ia juga menawarkan sushi bagi tamu yang sukakan hidangan Jepun tersebut.
Andai anda mahu menikmati kemewahan yang gah dan melihat keindahan sungai Chao Phraya serta pemandangan Bangkok, bermalamlah di Tower Club at lebua Ia pasti satu pengalaman eksklusif yang tidak akan anda lupakan!