Setelah lama menghilang, Malam Nada Biru akan kembali menemui peminat muzik tanahair bulan hadapan bersempena dengan Hari Wanita Sedunia. Ia akan berlangsung pada 5 dan 6 Mac, 2016 di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Dengan barisan vokalis tersohor negara seperti Atilia Haron, Adibah Noor, Datin Paduka Julie Sudiro, Najwa Mahiaddin, Salamiah Hassan, Jaclyn Victor, Dina dan Dato’ Yusni Hamid, kesemuanya amat dikenali kerana mempunyai gaya persembahan yang unik. Malam Nada Biru akan menampilkan lebih kurang dua puluh lima lagu-lagu jazz diiringi dengan muzik akustik dalam suasana yang intim.
Malam Nada Biru Kembali Ke Istana Budaya Mac Ini
Menurut Atilia yang juga merupakan penerbit konsert tersebut:
“Ini merupakan edisi ketiga Malam Nada Biru setelah ia pertama kali diadakan pada tahun 2009 bersama saya dan Noryn Aziz. Kemudian pada tahun 2010, ia membariskan Najwa dan Yuna.
Pada kali ini, kami bersepakat untuk menambah bilangan vokalis dan kesemuanya terdiri dari penghibur pelbagai generasi. Saya percaya kombinasi ini akan memberikan lebih keunikan kepada Malam Nada Biru kerana secara individu, kesemuanya punyai keistimewaan yang tersendiri.”
Atilia dan syarikat produksinya, Mujik Productions, berkolaborasi dengan Bsync Live, tidak menerima sebarang tajaan untuk mengadakan konsert ini, tambahnya:
“Saya mengakui mengambil risiko yang amat besar tetapi saya ingin membuktikan bahawa jika kita percaya kepada diri sendiri dan mereka yang menyokong kita, dan seterusnya ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara, ia akan menjadi realiti. Kita tidak boleh duduk diam dan menunggu sahaja.
Negara kita mempunyai ramai penghibur dan vokalis berbakat besar dan peminat muzik Malaysia perlu diberi peluang untuk melihat mereka beraksi. Malam Nada Biru adalah platform yang tepat untuk saya memartabatkan industri muzik Malaysia.”
Tiket-tiket berharga RM80, RM180 dan RM200 sudah mula dijual.