Malam Irama Gemilang yang berlangsung meriah di Auditorium Perdana, Angkasapuri baru-baru ini nyata memperlihatkan kematangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam menghidangkan sebuah konsert yang bukan sahaja menghiburkan malah penuh dengan penghayatan.
Menariknya saat tawa dan suka duka meraikan ulangtahun kelahiran RTM kali ke-68 ini dikongsikan bersama dengan penonton dengan tayangan paparan ucapan tahniah oleh petugas dan personaliti RTM. Namun momen yang pasti menyentuh hati dan dekat di hati seluruh penonton khususnya di kalangan ‘orang RTM’ yang diraikan pastinya bila menyaksikan paparan nama dan gambar bekas petugas RTM yang telah pergi dahulu menyahut seruan illahi dalam konsert ini.
Kemunculan Kumpulan Bunkface yang mendapat tepukan gemuruh penonton mendendangkan lagu We’re Are Young nyanyian asal Fun dan lagu sendiri, Rentak Lagu penuh semangat.
Buat pertama kalinya penonton diperdengarkan dengan lagu baru bertajuk Doa dan Harapan MH370 ciptaan Datuk Mokhzani Ismail yang disampaikan oleh bekas peserta Bintang RTM, Ernie, Aisha, Fitri dan Adli sebagai tanda simpati terhadap kehilangan pesawat MH370.
Meriah, Malam Irama Gemilang, Rai 68 Tahun RTM di Angkasapuri
Kemudiannya penyanyi Alyah mengambil tempat menghiburkan penonton dengan lagu popularnya, Kisah Hati sebelum diteruskan dengan kolaburasi penyanyi dua generasi iaitu Datuk David Arumugam dan Noh Salleh berduet menyanyikan lagu Jika Kau Bercinta Lagi.
Persembahan hebat artis diteruskan dengan kumpulan Paladin yang tampil bermain cello. Lebih memukau bila Paladin turut bergandingan dengan Azlan Typewiter yang mempamerkan kelantangan vokal dengan dua lagu Fantasia Bulan Madu dan Jeritan Batinku.
Berkongsi bahang Piala Dunia 2014 yang kian memuncak, pentas dihangatkan dengan lagu Rio To Malaysia yang disampaikan Farhan diiringi dengan persembahan Wakaka Crew. Dua artis solo tampil dengan single terbaru masing-masing, Tomok menyampaikan lagu Biarkan Sejoli dan Noh Salleh dengan lagunya Angin Kencang.
Mengimbas kembali lagu malar segar yang masih diingati sehingga kini, penyanyi era 80-an Zur Eda berjaya memukau penonton dengan persembahan lagu popularnya Kelmarin sebelum diteruskan dengan gandingan mantapnya bersama artis baru, AST T dan BIG I dalam lagu Kau Pelitaku.
Hiburan diteruskan dengan kumpulan One Nation Emcees menyampaikan medley Kuda Kepang, Dikir Puteri dan lagu rakyat, Tinggi-Tinggi Gunung Kinabalu dengan penuh tenaga. Diikuti juga, Ning Baizura dengan medley lagu popularnya, Curiga dan Bukan Wanita Sempurna.
Sekali lagi Alyah tampil buat kali kedua dengan single baru, Sesal Separuh Nyawa. Gabungan duet penyanyi cilik Muhd Fikry dan Anis Natasya dengan lagu Muara Hati dendangan asal Datuk Siti Nurhaliza dan Hafiz Suip.
Paling ditunggu-tunggu pastinya kemunculan penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M Nasir dengan lagu popularnya Raikan Cinta sebagai penutup tirai persembahan konsert memukau ini.
Konsert penuh makna buat RTM ini dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Abd Rahim Mohd Radzi dan Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhyati Ismail.