in

Makanan Haram di Rumah Terbuka

KENYATAAN MEDIA KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA BERKENAAN

PASTIKAN JAMUAN RUMAH TERBUKA RAYA TIDAK TERBUKA UNTUK MAKANAN HARAM @ MERAGUKAN ?

Pertama sekali saya mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmatNya kita rakyat Malaysia dapat menjalani ibadah Ramadhan pada tahun ini dalam keadaan tenang dan selesa berbanding dengan saudara-saudara kita di beberapa Negara Islam yang ditimpa musibah banjir dan gempa bumi. Keselesaan yang kita kecapi ini adalah satu nikmat Allah SWT yang wajib kita syukuri.

Idulfitri adalah lambang kejayaan kepada umat Islam yang telah dapat menjalani ibadah puasa dan ibadah-ibadah Ramadhan yang lain dengan sempurna. Kesempurnaan kita menjalankan ibadah Ramadhan, Insya Allah akan mengembalikan kita kepada fitrah ( suci bersih ) seperti kita baru dilahirkan.

Kesempurnaan ibadah Ramadhan perlu diteruskan dengan memastikan Idulfitri disambut dengan penuh kesyukuran. Sebagai tanda menzahirkan kesyukuran maka Idulfitri jangan sekali-kali dicampur aduk dengan apa-apa elemen yang haram dan syubhah terutama dalam penyediaan juadah Hari Raya.

Kepada seluruh umat Islam, saya mengambil kesempatan menasihat dan mengingatkan supaya memastikan persediaan jamuan hari raya dari bahan yang dipastikan halal atau tidak meragukan ( syubhah ).

Sebagai pengguna, kita mempunyai hak untuk memilih dan bagi seorang muslim adalah wajib bagi kita untuk mengenalpasti bahan yang dibeli adalah di sahkan halal seperti ayam, daging dan produk yang berasaskan haiwan.

Penganjuran rumah terbuka adalah amalan mulia yang digalakkan kerana membelanjakan rezeki yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada sahabat handai dan saudara mara, malah penganjuran rumah terbuka juga dapat mengeratkan silaturrahim di kalangan masyarakat serta memupuk keharmonian antara penganut pelbagai agama.

Walau bagaimanapun, tidak seharusnya majlis rumah terbuka turut membuka ruang kepada amalan dan pemakanan yang haram atau meragukan. Oleh itu, pastikan hanya makanan halal yang terjamin kualitinya, bersih lagi selamat dijadikan sebagai hidangan. Sebagai seorang muslim, ingatlah bahawa kuasa memilih adalah ditangan anda.

Sekian , Selamat Menyambut Hari Raya Idulfitri , Maaf Zahir dan Batin.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Best Musical Sempena Raya di TV3

Telemovie 1Malaysia di Hari Raya Pertama TV2