Menurut DJ Lin, setakat ini dia sudah mengambil ubat-ubatan yang disarankan, tetapi masih belum berkesan. Malah, katanya dia sangat berterima kasih kepada semua pendengar Suria Cinta yang mengambil berat terhadapnya.
“Terima kasih kepada semua pendengar yang mendoakan kesihatan saya. Sokongan kalian membuatkan saya amat terharu kerana ramai yang membantu beri semangat untuk saya terus berikhtiar.
“Banyak mesej dikirim di WhatsApp dan Facebook, begitu juga DM di Instagram daripada pendengar yang sudi membuat perkongsian tips mengatasi masalah alergik kulit yang dialami ini berserta doa-doa mereka,”
– DJ Lin
Menurut pemenang Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ini, dia tidak sangka begitu ramai peminatnya yang prihatin terhadap masalah kesihatan kulit dialami sejak Rabu, minggu lalu.
“Ketika itu, saya nekad selagi berasa kuat dan mampu bertahan, saya akan bersiaran seperti biasa mengendalikan segmen Suria Cinta yang dipertanggungjawabkan. Walaupun kulit gatal-gatal, saya terus bekerja hingga malam Jumaat lalu.
“Rata-rata peminat dan pendengar setia Suria Cinta yang melihat saya tetap bekerja dalam keadaan sakit di ‘Facebook Live’ sangat bersimpati. Demi menghiburkan mereka, saya sanggup lupakan kesakitan yang ditanggung.
“Dari dahulu, saya sudah terbiasa komited pada tanggungjawab kerja. Saya memang utamakan kegembiraan pendengar bagaimanapun, kini saya perlu bercuti seketika dari bekerja untuk mengubati sakit kulit akibat alergik di seluruh badan termasuk muka ini sehingga pulih,”
– DJ Lin
Menurut DJ Lin, sejak beberapa hari lalu, dia mengamalkan minum air kunyit hidup serta minum air kelapa. Ujarnya, apa sahaja petua orang tua-tua yang disarankan dia cuba dan kesannya menunjukkan tanda positif.
“Alhamdulillah, masalah alergik kulit dialami ini ada kurang sedikit dan saya bercadang ke hospital pakar kulit untuk membuat ujian alergik. Ia penting untuk saya ketahui punca sebenar mengalami masalah ini.
“Ramai pendengar dan peminat menyarankan saya untuk buat ujian itu. Apatah lagi, saya suka makan dan jarang menjaga pemakanan. Mana tahu, masalah alergik kulit ini saya alami kerana pemakanan seperti sajian makanan laut,”
– DJ Lin
Ujar ibu tunggal dua anak ini lagi, pada tahun lalu apabila dia berada dalam keadaan kurang sihat dan beberapa kali dimasukkan ke hospital untuk rawatan pasti peminatnya tidak jemu-jemu mengirim mesej bertanya khabar dan menitip doa semoga segera sembuh.
*Sumber: Harian Metro