Terdahulu, kerajaan mengumumkan SOP ketika perayaan sambutan Tahun Baru Cina tidak membenarkan upacara sembahyang di tokong kecuali lima ahli jawatankuasa tempat ibadat. Bagaimanapun, SOP berkenaan didakwa cetus rasa kurang puas hati segelintir pihak termasuk bekas Menteri Kewangan iaitu Lim Guang Eng.
Terbaru, Kementerian Perpaduan Negara menerusi laporan NST memaklumkan bilangan individu dalam sesebuah majlis makan besar Tahun Baru Cina dihadkan kepada 15 orang sahaja.
Pihak kerajaan hari ini bersetuju dan membenarkan makan besar sempena sambutan Tahun Baru Cina dihadkan kepada 15 individu sahaja dalam sesebuah majlis. Sebelum ini, kerajaan mengumumkan SOP sempena sambutan makan besar bagi perayaan tersebut dihadkan dan dibenarkan untuk penghuni dalam rumah yang sama sahaja.
SOP terbaru bagaimanapun masih melarang untuk mereka merentas daerah atau negeri berdasarkan larangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mereka yang menghadapi upacara makan besar ini dibenarkan untuk keluar dalam jarak lingkungan 10km dari kediaman masing-masing tanpa merentas daerah.
SOP terbaru bagi upacara makan besar sambutan Tahun Baru Cina ini telah diumumkan oleh Kementerian Perpaduan Negara, tadi.
Sumber: NST
Makan besar Tahun Baharu Cina Dibenar Tidak Lebih 15 Ahli Keluarga
Makan besar keluarga pada malam Tahun Baharu Cina (11 Februari) dibenarkan dengan tidak melebihi 15 orang ahli keluarga terdekat,yang tinggal dalam zon lingkungan 10 kilometer radius tanpa rentas daerah dan negeri, kata Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, yang dipengerusikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang bersetuju meluluskan prosedur operasi standard (SOP) sambutan Tahun Baharu Cina yang telah ditambah baik.
Mesyuarat turut bersetuju aktiviti keagamaan di rumah ibadat dibenarkan pada 11, 12 dan 19 Februari dan tertakluk kepada SOP ketat antaranya, bilangan kehadiran penganut di rumah ibadat tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa dengan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal, tempoh waktu sembahyang adalah selama 30 minit dan diselangi dengan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit sebelum waktu sembahyang yang berikutnya.
Selain itu, jadual waktu sembahyang adalah bermula daripada pukul 6 pagi hingga 2 petang sahaja, dan aktiviti sembahyang pada 19 Februari dibenarkan di halaman rumah masing-masing pada waktu malam, mengikut tradisi perayaan Tahun Baharu Cina bagi ‘Hokkien Clan’.
Halimah berkata, pegawai perpaduan yang telah dilantik sebagai pegawai pemantau di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), akan melakukan pemantauan pematuhan SOP yang telah ditetapkan.
Beliau juga menyeru masyarakat kaum Cina di Malaysia untuk menyambut perayaan tahun ini dalam norma baharu, sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan, menjaga kebersihan diri dan pastikan penjarakan fizikal, dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 di Malaysia. – Bernama