Pada 19 Februari lalu telah berlangsung majlis tahlil sempena memperingati ulangtahun pemergian Allahyarham Sudirman ke-17 di Restoran Puteri, Taman Tun Dr. Ismail anjuran Suria FM dan Kosmetik Leesa Formula.
Majlis tahlil yang berlangsung mulai pukul 6.30 petang itu turut disertai oleh lebih 30 rakan artis, Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin, penyampai Suria FM dan Pengarah Urusan Leesa Formula Sdn. Bhd., Che Mona Din beserta suami dan anak-anaknya.
Antara selebriti yang hadir adalah Erra Fazira, Noniswara, Eira Syazira, Emma Akma, Bob AF, Khai AF, Didie AF, Rabbani, Alyah, Farah Ashikin, Ina Naim dan suami, Din Wahab, Rubiah Suparman, dan Habsah Hassan.
Menurut Engku Emran, ini merupakan kali pertama Suria FM menganjurkan majlis tahlil untuk arwah Sudirman dengan kerjasama Kosmetik Leesa Formula.
“Selain itu, kita juga mengadakan majlis ini untuk mangsa Israel di Gaza dan mereka yang telah meninggal dunia termasuk arwah bapa Datuk Siti Nurhaliza. Kita mulakan majlis ini dengan solat Maghrib berjemaah, selepas itu membaca surah Yassin, solat Isyak, jamuan makan sekaligus dengan majlis beramah mesra antara tetamu yang hadir. Selepas kami memberitahu niat untuk membuat majlis ini, pihak Leesa Formula juga bersetuju dengan hal itu dan sudi menaja makanan untuk malam ini (semalam). Dengan bantuan Habsah Hassan yang dapat dengan keluarga arwah, alhamdulillah majlis pada malam ini berjalan dengan lancar.” – kredit Mstaronline