Ketika Majlis Perjanjian Persefahaman antara syarikat miliknya, Noraniza Idris Production (NIP) dan Pro Sinar Event Management Sdn. Bhd. (Pro Sinar), Selasa lalu (9 September), Noraniza Idris menjawab panjang lebar tentang kisah perceraiannya. Memulakan bicara, Noraniza berkata, sebelum keputusan bercerai diambil, dia melakukan solat hajat memohon bantuan daripada Allah agar diberikan petunjuk terbaik terhadap sebarang keputusan yang bakal diambilnya.
“Saya melakukan solat hajat terlebih dahulu memohon petunjuk, kalau baik ditunjukkan keikhlasan dan kalau tidak ditunjukkan keputusan sebaliknya. Setelah sembilan hari sembahyang hajat untuk mendapatkan kata putus, akhirnya pada malam Jumaat pukul 9.15 malam, saya mendapat keputusannya,” katanya.
Enggan bercerita lanjut berhubung petunjuk yang diterimanya, kata Noraniza, perceraian kali kedua itu sedikit sebanyak menjadikan dirinya lebih tabah dan kuat mengharungi kehidupannya kelak.
“Kalau dahulu, perceraian kali pertama memang saya rasa sedih sangat, lama nak hilangkan kesedihan itu tetapi kali ini tidak terasa sangat, mungkin sebab saya sudah mendapat kekuatan daripada pengalaman lalu,” kata penyanyi berusia 40 tahun itu.
Ditanya tentang tarikh sebenar berakhirnya perkahwinan itu, kata Noraniza: “Cukuplah jika saya kata, saya sudah habis tempoh idah.
“Sekarang ini, saya dan bekas suami masih berkawan dan berurusan secara baik. Walaupun berat, saya rasa ini adalah keputusan yang terbaik untuk kami. Lagipun, pada peringkat awalnya memang saya tidak mahu berkongsi (bermadu), tapi nak buat macam mana terjadi juga. Mungkin, Tuhan nak tengok sejauh mana tahap kesabaran dan kekuatan saya. Tak apalah, asalkan dia bahagia,” luah Noraniza jujur dari hatinya.
Menjalani kehidupan solo, kata Noraniza kini dia mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap syarikat dan kedua-dua anaknya iaitu Mohd. Aliff Haiqal, 19, dan Mohd. Alfeeq Haiqal, 15 serta kerjaya nyanyiannya.