Pada 31 Mac lalu, Budiey telah dijemput untuk turut sama-sama menyaksikan Majlis Penyerahan Perodua Alza kepada Skuad ERA Perodua & My FM Perodua Team. Terlebih dahulu, Budiey ingin mengucapkan tahniah kepada kedua-dua radio ini kerana berjaya mendapat tajaan ini. Bukan senang nak dapat. Pastinya, kepercayaan dan kredibiliti radio ini membuatkan Perodua setuju untuk memberikan 6 buah kereta Alza kepada mereka selama 6 bulan.
Video rakaman Budiey semasa Majlis Penyerahan Perodua Alza:
Dihoskan oleh Reza – penyampai radio ERA dan Jason Phang – penyampai radio My FM.
Reza – apasal serius je ni, bro.
Jason Phang
Oh ya, pada masa majlis ini, berita hangat tentang Allahyarham Din Beramboi hangat diperkatakan. Jadi, masa tu media boleh bertanyakan secara sahih tentang berita tersebut.
Kini, Skuad ERA Perodua & My FM Perodua berwajah baru dengan penyerahan 6 buah kereta Perodua Alza yang lebih luas. Diharapkan dengan Perodua Alza yang digunakan dapat menjadikan Skuad ERA dan MY FM Team lebih hebat, lebih segak dan yang lebih penting lebih bersemangat untuk menambat hati pendengar dengan gaya mereka tersendiri.
Selain memperkenalkan kereta Perodua Alza, buat pertama kalinya di majlis ini, pelbagai hadiah disediakan untuk orang ramai semasa lintasan dan permainan yang dikendalikan oleh kedua-dua krew.
Hadiah istimewa turut disediakan kepada 2 orang pendengar bertuah yang hadir iaitu sebuah iPod Shuffle dan perkhidmatan menjemput pergi balik ke tempat kerja atau ke tempat belajar selama 5 hari berturut-turut oleh Skuad ERA. Ini menjanjikan pengalaman yang tak dapat dibeli dengan wang ringgit!
Ucapan daripada Pengarah Urusan Perodua, Encik Aminar Rashid Salleh.
Ucapan daripada Pengarah Eksekutif AMP Radio Networks, Dato Borhanudin.
Penyerahan dibuat oleh bos Perodua & AMP Radio Networks
Menyorot kembali sejarah Skuad ERA, pada tanggal 1 Ogos 1999 adalah tarikh bersejarah bagi ERA yang menjadi radio pertama yang menubuhkan krew berkenderaan untuk mengembara dari satu tempat ke satu tempat demi bertemu dengan pendengar.
Sejak itu, Skuad ERA telah merantau ke serata Semenanjung Malaysia sebagai duta atau wakil stesen radio. Setelah lebih satu dekad, Skuad ERA kini bukan sahaja beroperasi dari Kuala Lumpur, tetapi juga mempunyai pasukan tetap di Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Skuad ERA pernah menggunakan kereta Perodua Kembara untuk bergerak ke sana sini. Antara program pernah dijayakan ialah siri Jelajah 11 ERA yang membawa radio ERA merantau dan mengadakan konsert di 11 lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia. Segmen InfoZone di kesemua 9 stesen radio AMP juga mendapat tajaan dari Perodua.
Sejak 30 April 2009, Skuad memandu kereta Mvi dan dikenali sebagai Skuad ERA Myvi. Dan kini, mereka menggunakan Perodua Alza pula.
Tahun ini, Skuad ERA dah pun berusia 11 tahun dan My FM pula berusia 9 tahun. Perodua Alza yang dilancarkan pada November 2009 ini dapat memudahkan lagi hubungan pendengar dan stesen radio. Namun, persaingan dengan stesen radio lain memang ada. Ini kerana boleh dikatakan semua radio yang popular dah ada skuad mereka sendiri.
Namun, untuk Skuad ERA dan My FM, populariti mereka hampir sama dengan populariti penyampai radio itu sendiri. Boleh dikatakan, mereka juga dikenali oleh peminat setia stesen radio tersebut dan seringkali mendapat layanan istimewa daripada peminat.
Dalam perkembangan lain, Alza yang dilancarkan November 2009 lalu telah mendapat sambutan hangat dari pengguna. Jumlah tempahan menjangkau 27,000 unit menjelang 29 Mac lalu dan kini hampir 15,000 unit sudah pun digunakan di jalan raya.