MAJLIS PELANCARAN SEMINAR BIMBINGAN PEPERIKSAAN BH 2013
Berita Harian melancarkan Seminar Bimbingan Peperiksaan BH 2013 pada hari ini di The New Straits Times Press (NSTP), Balai Berita Bangsar. Penjenamaan semula seminar Bimbingan Peperiksaan BH itu bagi meningkatkan mutu program selaras dengan perkembangan pembelajaran di sekolah hari ini.
Seminar Bimbingan Peperiksaan BH 2013 ini merangkumi Klinik UPSR, Seminar dan Bengkel PMR serta SPM yang berwajah baru dengan penjenamaan semula sebagai Klinik UPSR BH Didik, Seminar PMR BH Minda dan Seminar SPM BH Skor. Di majlis pelancaran itu, Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Encik Mahfar Ali berkata, sejak Seminar Bimbingan Peperiksaan BH ini dianjurkan pada tahun 1996, ia mendapat sambutan hangat dalam kalangan pembaca dan murid-murid di negara ini kerana seminar ini dikendalikan oleh guru-guru pakar dalam subjek masing-masing.
“Bagaimanapun, kami mendapat laporan ada pihak yang mengambil kesempatan di atas kejayaan seminar berkenaan, justeru penjenamaan ini diharap dapat membezakan seminar anjuran BH dan pihak lain, selain pembaharuan dalam pengisian programnya turut diperbaharui dengan teknik menjawab soalan yang terkini dan lebih mudah difahami,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Seminar Bimbingan Peperiksaan BH.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Operasi, Media Prima Digital; YBhg. Dato’ Zainul Arifin Mohammed Isa dan wakil-wakil penaja daripada MSU, Tabung Haji, Yayasan Bank Rakyat dan UEM Land.
Pada majlis ini juga BH menerusi Unit Pendidikan turut melancarkan Portal Pendidikan yang boleh dilayari melalui laman sesawang www.bhpendidikan.com.my. Portal ini bertujuan memudahkan urusan pembayaran murid yang ingin menyertai Seminar Bimbingan Peperiksaan BH.
Portal pendidikan yang diuruskan oleh Media Prima Digital itu akan menjadi pusat sehenti bagi menjual barangan keluaran Unit Pendidikan BH, seperti buku soalan UPSR, PMR dan SPM, dan bakal memperkenalkan pelbagai peraduan untuk pelajar.Portal ini juga adalah produk terbaru BH dan diharap bakal dijadikan tempat untuk pelajar berinteraksi dengan pelbagai peraduan dan program yang akan diperkenalkan kelak.