Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menaiki takhta sebagai Sultan Pahang pada 15 Januari 2019, seterusnya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 oleh Majlis Raja-Raja pada 24 Januari 2019. Baginda melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia di upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, Jalan Duta pada 31 Januari 2019.
Baginda ialah seorang Raja yang berjiwa rakyat, sangat sinonim dengan sifat ramah dan mesra dalam menyantuni rakyat jelata. Dokumentari khas satu jam merakamkan detik bersejarah sepanjang pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16. Tempoh lima tahun Al-Sultan Abdullah bersemayam sebagai Ketua Negara Malaysia akan sentiasa kekal dalam lipatan sejarah sebagai suatu kapsul masa yang luar biasa.
Krew produksi Majalah 3 telah menemuramah Setiausaha Sulit Kanan Kepada Yang Di-Pertuan Agong, Dato’ Haji Nazim Mohd Alim; Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Mejar Jeneral Dato’ Indera Zahari Mohd Ariffin; Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini; Ketua Komunikasi Korporat Istana Negara, Dato’ Muzli Mohd Zin; mantan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dan kakitangan Istana Negara yang lain.
Lebih istimewa, Majalah 3 juga diberi kesempatan untuk menemuramah Al Sultan Abdullah dan Tuanku Azizah pada satu sesi bertemu media di Istana Negara pada 3 Januari lalu. Pada sesi berkenaan, Baginda telah berkongsi pelbagai pengalaman pahit manis sepanjang lima tahun bersemayam.
Dokumentari ini memaparkan keperibadian, sifat kepemimpinan, kebijaksanaan dan kearifan Al-Sultan Abdullah dalam menaakul isu serta membuat keputusan demi rakyat yang dikasihi. Antara cabaran yang menyerlahkan kepemimpinan Baginda ialah menangani kemelut politik negara yang menyaksikan empat Perdana Menteri bertukar ganti, pandemik Covid19 yang memberikan impak yang tidak pernah dialami sebelum ini dan bencana banjir besar.
Selain itu, momen membanggakan menjadi kenangan indah kepada rakyat berhubung Al-Sultan Abdullah dan Tuanku Azizah juga bakal dapat disaksikan. Ini termasuk pencapaian dan inisiatif yang dilaksanakan dalam tempoh berkenaan.
Antara eksklusif yang diperolehi hasil temu ramah adalah:
- Di sebalik kejadian perletakan jawatan mengejut Perdana Menteri Ketujuh.
- Perkongsian mengenai keperibadian Baginda berdua oleh kakitangan di Istana Negara.