Mahkamah Majistret Petaling Jaya mengeluarkan waran tangkap kepada pelakon, Datuk Farid Kamil Zahari kerana gagal hadir pada prosiding perbicaraan hari keempat.
Media tempatan melaporkan, prosiding tersebut berkaitan dengan satu kes urin yang dihadapi oleh aktor berusia 37 tahun itu yang sepatutnya berlangsung pada hari ini.
Waran tersebut dikeluarkan sendiri oleh Majistret Nor Ariffin Hisham selepas Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran membuat permohonan berkenaan.
Permohonan dibuat berikutan kegagalan Farid Kamil hadir ke mahkamah berkenaan, ketiadaan penjamin dan tidak memberikan sijil cuti sakit kepada pihak mahkamah.
Nor Ariffin berkata, waran tangkap perlu dikeluarkan kerana tiada sebarang alasan munasabah dikemukakan kepada mahkamah atas ketidakhadiran tertuduh hari ini.
Namun, peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid Kamil memohon untuk membatalkan pengeluaran waran itu sehingga tarikh perbicaraan seterusnya pada 14 Januari nanti.