Setelah menyaksikan trofi kemenangan dijulang megah oleh juara Bocey pada musim lalu, program komedi popular ‘Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017’ akan meneruskan perluasan empayar lawak di Malaysia pada musim ini. Program berkonsepkan pertandingan realiti komedi yang akan kembali menawan hati penonton ini bakal bersiaran secara langsung dari Royal Teater Shah Alam pada setiap hari Jumaat, pukul 10.00 malam bermula 17 Februari 2017 di saluran Astro Warna (132) dan siaran serentak di Mustika HD (134). Ia juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro on the Go (AOTG) dan Astro On Demand (OD).
Merupakan satu-satunya program komedi yang menghimpunkan barisan pelawak dari tiga buah negara, Malaysia, Indonesia dan Singapura, MLM 2017 bakal disertai oleh 15 kumpulan pelawak yang bukan calang-calang dalam arena komedi seperti kumpulan Zero, Shiro, Bocey, Joras dan Mamu. Seperti musim sebelumnya, MLM 2017 turut menampilkan peserta solo iaitu Danial & Mad Sabah dari program realiti ‘Lawak Solo’ dan Dzawin, peserta solo dari Indonesia.
Senarai Nama Penuh Peserta Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017
Mengulas mengenai penganjuran musim terbaharu ini, Ketua Saluran Melayu Astro; Raqim Ahmad berkata, “Memasuki musim ke-6, ‘Maharaja Lawak Mega’ terus mendapat sokongan padu daripada penonton. Buktinya, menerusi pengumuman yang dibuat oleh Youtube pada bulan Disember tahun lalu, video minggu akhir MLM 2016 dicatatkan sebagai salah satu video carian paling popular di laman Youtube Malaysia dan merupakan satu-satunya video daripada rancangan realiti televisyen. Jumlah tontonan di platform digital MLM 2016 mencecah lebih daripada 15 juta dan kadar purata capaian terkumpul menerusi platform media sosial untuk setiap minggu pula hampir 60 juta.
Dari segi peserta pula, kami pasti penonton akan berasa teruja untuk menyaksikan barisan juara berentap di atas pentas yang sama. Kumpulan Zero merupakan juara MLM 2014 manakala kumpulan Bocey merupakan juara MLM 2016. Bukan itu sahaja, peserta solo, Danial merupakan juara program Lawak Solo, manakala kumpulan Abioso pula merupakan juara beberapa program komedi di Indonesia. Pastinya gelaran juara yang pernah dirangkul peserta membuatkan ekspektasi penonton terhadap mereka sedikit tinggi berbanding yang lain. Namun saya percaya ia akan menjadi pembakar semangat buat peserta lain untuk memberikan yang terbaik.
MLM 2017 menyaksikan gabungan peserta dari tiga negara membentuk satu kumpulan
Jika diteliti barisan peserta pada musim ini, terdapat beberapa muka baru yang terlibat terdiri daripada mereka yang sebelum ini menjayakan program ‘Lawak Solo’ seperti Mad Sabah, Danial, AG Hafiz yang bergandingan dengan Raja Azri dalam kumpulan Pistol, dan Wan Gegau yang juga merupakan peserta dari ‘Lawak Solo’ membentuk trio bersama Wan dan Chot di bawah nama ‘kumpulan XOXO’. Manakala, Bocil yang sebelum ini daripada kumpulan ‘Saywho’ kini bergabung bersama Amir dan Din Dingerous dari ‘Lawak Solo’ yang membentuk ‘Kumpulan Hobit’. Vicha yang juga sebelum ini daripada kumpulan ‘Saywho’ kini berada dalam ‘Kumpulan Masin’, bergabung bersama peserta dari Singapura iaitu Mamat Bora dan peserta dari Malaysia iaitu Jiggy.
Kami melihat mereka sebagai pelapis pelawak di Malaysia. Penyertaan dalam program MLM ini dilihat dapat memberi lebih banyak pendedahan kepada mereka mengenai dunia komedi di Malaysia dan pada masa yang sama bakat mereka dapat terus digilap menerusi kerjasama dengan barisan pelawak yang lebih berpengalaman. Kami yakin, gabungan yang terbentuk di antara pelawak baru dengan mereka yang lebih otai mampu mencetuskan fenomena hebat dan segar buat para penonton”.
Mengangkat tema ‘Lanun’ sebagai imej MLM 2017, program yang bersiaran selama 120 minit (2 jam) untuk 12 minggu ini masih mengekalkan format sama seperti musim-musim terdahulu yang mana para peserta diperlukan untuk mempersembahkan tugasan mengikut pada tema mingguan yang ditetapkan.
MAHARAJA LAWAK MEGA 2017 KEMBALI MENAKLUK EMPAYAR LAWAK MALAYSIA
Raqim turut menambah, “Tema ‘lanun’ dipilih kerana lanun amat sinonim dengan pencarian harta karun serta penaklukkan sesuatu tempat. Kami umpamakan idea kreatif serta persembahan lawak yang dipentaskan oleh peserta merupakan khazanah berharga buat industri komedi Malaysia. Jumlah tontonan yang tinggi dicatatkan pada siaran ulangan episod Maharaja Lawak Mega daripada musim-musim sebelum ini di Astro Warna sudah cukup menunjukkan penonton tidak jemu malah masih terhibur dengan lawak yang dipentaskan.
Oleh itu, sebagai tanda penghargaan buat penonton, kami memperbanyakkan lagi kandungan berunsur komedi pada musim ini menerusi platform digital Astro Gempak. Sebagai permulaan, kami bawakan dua program iaitu rancangan bual bicara komedi ‘Lawak Pagi Lanun’ yang akan berbincang mengenai informasi terkini berkaitan MLM 2017 dan berita komedi semasa. Yang kedua adalah rancangan sketsa pendek ‘Mix & Match’ yang akan menyaksikan gabungan pelawak berkolaborasi bersama individu berpengaruh di media sosial untuk mempersembahkan sketsa 10 minit mengikut pada tema mingguan. ‘Mix & Match’ ini dibawakan oleh NJOI Prabayar”.
Maharaja Lawak Mega 2017 menawarkan hadiah lumayan bagi juara pertandingan iaitu wang tunai sebanyak RM500,000 beserta trofi. Naib juara pula bakal merangkul wang tunai sebanyak RM250,000 beserta trofi dan RM150,000 beserta trofi menanti pemenang tempat ketiga. Manakala tempat keempat dan kelima masing-masing akan membawa pulang RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi.
Dari segi pemarkahan pula, Maharaja Lawak Mega 2017 masih mengekalkan format pemarkahan asal seperti musim sebelum ini yang mana nasib para peserta akan diadili berdasarkan sistem pemarkahan 70% oleh juri tetap dan 30% oleh undian penonton menerusi sistem pesanan ringkas (SMS). Peserta yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan. Talian undian secara SMS akan dibuka secara rasmi pada 17 Februari 2017, Jumaat pada jam 10.00 malam. Manakala, segmen ‘Man of the Match’ dibawakan khas oleh Astro Gempak akan memberi peluang kepada penonton untuk memilih siapakah di kalangan peserta yang paling Gempak lawak selama seminggu di portal hiburan rasmi MLM.
Pengacara yang cukup sinonim dengan Maharaja Lawak Mega, Dato’ AC Mizal masih diberi kepercayaan untuk menghidupkan malam persembahan mingguan sebagai Pengacara program. Manakala, pemilik kerusi panas juri yang terdiri dari selebriti Malaysia, Singapura & Indonesia, hanya akan diumumkan pada siaran langsung minggu pertama Maharaja Lawak Mega 2017 kelak.
Sementara itu, slot istimewa program ramalan & debat akan turut bersiaran secara langsung pada jam 9:30 malam selama 12 minggu. Program yang berdurasi selama 30 minit ini akan bersiaran sebelum pentas Maharaja Lawak Mega bermula dan akan dikendalikan oleh pelakon dan pelawak hebat tanah air, Angah. Rancangan yang berkonsepkan bual bicara ini akan turut menampilkan dua tetamu jemputan pada setiap minggu dan mereka ini terdiri daripada kalangan juri profesional / jemputan dari musim-musim MLM yang sebelumnya dan rakan-rakan selebriti. Rancangan ini akan membincangkan persembahan para peserta pada minggu terdahulu dan meramalkan peserta mana yang akan tersingkir pada minggu seterusnya.
Penonton boleh menyaksikan siaran langsung MLM 2017 atau mendapatkan informasi terkini menerusi portal hiburan rasmi, Astro Gempak (www.astrogempak.com.my) atau laman web www.maharajalawakmega.com.my. Selain itu, penonton boleh juga mengikuti Twitter (@maharajalawakmega) serta akaun Instagram @AstroGempak @ZonLawak @maharajalawakmega untuk dapatkan live update mengenai MLM 2017 satu jam sebelum bermula rancangan. Sinar fm juga turut menghulurkan sokongan padu mereka yang tidak berbelah bahagi bagi menjayakan musim ini selaku Radio Rasmi, manakala Raku bertindak sebagai Radio Digital.
Juga, jangan lepaskan peluang untuk memenangi pelbagai hadiah eksklusif menerusi peraduan yang dianjurkan oleh Astro Circle dan NJOI Prabayar yang turut merupakan sebahagian dari ‘Lawak Sekutu MLM 2017’.
Sementara itu, Maharaja Lawak Mega 2017 sekali lagi mengalu-alukan kehadiran OPPO yang bertindak sebagai selaku Penaja Utama untuk tiga musim berturut-turut. Tidak dilupakan, Adabi sebagai Penaja Bersama.
Ayuh, mari kita bergelak sakan dengan menonton Maharaja Lawak Mega 2017 yang akan bersiaran secara langsung mulai 17 Februari 2017 (Jumaat), jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 123) serta siaran serentak di Mustika HD (134). Anda juga boleh menonton MLM 2017 menerusi aplikasi Astro on the Go (AOTG) dan Astro On Demand (OD).
OPPO berbesar hati kerana sekali lagi dapat bekerjasama dengan Astro untuk membawakan program yang sangat diminati ramai iaitu Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017). Sempena MLM 2017, OPPO dengan bangganya ingin memperkenalkan satu lagi model telefon pintar terbaharu iaitu model R9s, Kini, lebih jelas dengan spesifikasi 16MP kamera hadapan dan belakang, Dual PDAF yang memberikan fokus pantas and F/1.7 apertur untuk menangkap gambar yang jelas dan terang dalam keadaan cahaya rendah. Telefon Camera OPPO R9s juga berkapasiti 4GB RAM+64GB ROM bersesuaian dengan permintaan pasaran masa kini. OPPO berharap penonton MLM 2017 akan dapat menerima model R9s ini, seperti mana MLM berjaya memikat hati para penonton.
OPPO amat yakin dengan kolaborasi model ‘Kini, Lebih Jelas’, OPPO R9s dan MLM 2017 mampu untuk mencecah tontonan secara lebih meluas berbanding musim lalu. Dengan menyediakan rancangan yang berkualiti, ia pastinya menjanjikan keriangan komedi yang bakal menjadi bualan ramai. OPPO berharap penonton akan terus menonton program ini pada setiap Jumaat jam 10.00 malam di Astro Warna & Astro Mustika HD, dan juga tidak lupa melayari Facebook OPPO Malaysia, kerana OPPO akan memberi kejutan untuk anda.