PERTARUNGAN LAWAK PALING BERPRESTIJ KINI KEMBALI
Astro Warna perkenal undian secara Hot Seat untuk musim kedua!
Setelah melakar kejayaan besar dalam mengangkat martabat bidang komedi dan lawak jenaka ke peringkat yang lebih tinggi menerusi penerbitan pelbagai program yang berteraskan bidang lawak jenaka dan komedi, pihak Astro Warna dengan berbesar hati membawakan kembali program pencarian pelawak terunggul di kalangan yang terhebat di rantau Asia Tenggara iaitu Maharaja Lawak Mega 2012 yang bakal menemui para penonton pada setiap hari Jumaat, jam 10.00 malam bermula 9 November 2012 menerusi Astro Warna (saluran 132) dalam Pakej Mustika.
Memasuki musim yang kedua, pertandingan Maharaja Lawak Mega 2012 bakal menyaksikan persaingan yang amat sengit di kalangan pelawak-pelawak dan pelakon komedi profesional terbaik yang mana setiap peserta yang bertanding masing-masing mempunyai portfolio seni yang mengagumkan dalam bidang ini.
Sedikit berbeza dengan format pada musim sudah, kali ini pihak Astro Warna akan memberi peluang kepada para pelawak tanah air untuk menyertai pertandingan ini tidak kira sama ada secara individu mahupun berkumpulan menerusi undian Hot Seat secara online yang mana peserta terpilih itu nanti bakal diserap masuk sekaligus melengkapi jumlah keseluruhan senarai barisan peserta bertanding yang hanya akan diumumkan kelak.
Menurut Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Encik Nizam Sani berkata, “Sebagai satu-satunya saluran komedi tempatan di Malaysia, kami di Astro Warna sentiasa berusaha meneroka potensi ruang yang ada bagi memastikan setiap program yang dibariskan benar-benar mempunyai pengisian yang padat dan berkualiti tinggi.
Oleh yang sedemikian, kami bawakan pembaharuan demi pembaharuan dalam setiap pengisian yang ditawarkan bagi memastikan kandungan tersebut terus segar dan selari mengikut peredaran industri lawak jenaka yang semakin rancak berkembang.
Pendekatan yang diambil ini adalah supaya para pelanggan dapat menikmati program-program terhebat menerusi platform kami dan dijamin mendapat kepuasan untuk setiap wang yang telah dibelanjakan bagi melanggan Pakej Mustika,†ujar Nizam ringkas.
Nizam turut menambah, â€Kembali untuk musim kedua yang pastinya lebih berprestrij untuk mencari yang terhebat di kalangan yang terbaik di rantau ini, kami ingin membuka ruang sekaligus memberi peluang kepada para peminat dari awal untuk memilih sendiri calon-calon kegemaran mereka yang dilihat benar-benar layak untuk mengisi tempat sebagai peserta program ini.
Para peminat kini boleh menilai dan mengundi calon-calon pelawak yang digemari untuk diserap masuk ke program Maharaja Lawak Mega 2012. Kami yakin dengan cara ini akan dapat menguatkan lagi sokongan mereka kepada calon-calon peserta walaupun program masih belum bermula. Sokongan-sokongan positif seperti inilah yang akan membantu para pelawak tersebut untuk membina keyakinan diri bagi memberikan yang terbaik sekaligus membuktikan pilihan penyokong adalah tepat.
Tempoh talian undian Hot Seat secara online akan dibuka bermula pada 5 September 2012 jam 6.00 petang hingga 17 September 2012 jam 12.00 tengah hari. Untuk mengundi, orang ramai hanya perlu melayari laman sesawang rasmi program Maharaja Lawak Mega 2012 di www.Maharajalawakmega.com.my. Namun itu, orang ramai dikehendaki mendaftar menerusi Log Masuk Facebook terlebih dahulu sebelum mengundi para peserta kegemaran masing-masing. Orang ramai juga hanya boleh mengundi sekali sahaja bagi setiap peserta kegemaran untuk setiap hari.
27 peserta yang akan dipilih menerusi undian secara online adalah dua peserta solo iaitu SHEM dan IDLAN serta 25 peserta berkumpulan iaitu GLAMOUR TAK PERLU, TUTUP BOTOL OREN, SHAM, SAT SAT, 3A, PARPU, KETAMPI, MAMU, INGKE, KLAUT, V2, AWAS, BUAYA, KERING, HAI, XN3, DUO, ABC, I S U (I SUE YOU), NGAM, KECIK, AJK, PANAS, BALAS dan OMG.
Segala butiran lanjut mengenai program Maharaja Lawak Mega 2012 serta senarai penuh barisan peserta akan diumumkan pada sidang media akan datang.