PROGRAM LAWATAN MAHABBAH RAMADHAN DAN PENYAMPAIAN SUMBANGAN HARI RAYA AIDILFITRI KEPADA PESAKIT DI HOSPITAL SERDANG, SERDANG SELANGOR PADA 17 OGOS 2011
Masjid Negara telah menganjurkan Program Lawatan Mahabbah Ramadhan dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Pesakit-Pesakit di Hospital Serdang, Serdang, Selangor pada 17 Ogos 2011M bersamaan 17 Ramadhan 1432H (Rabu) bermula jam 10.30 pagi. Bersesuaian dengan Bulan Ramadhan Al-Mubarak ini, ianya merupakan salah satu program kebajikan di luar Masjid Negara dan ianya merupakan program tahunan yang dijalankan secara bergilir-gilir di Hospital-Hospital di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Program ini dihadiri oleh Imam Besar Masjid Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Syaikh Haji Ismail bin Haji Muhammad disertai oleh Pegawai serta kaki tangan Masjid Negara seramai 15 orang. Turut serta dalam Program Lawatan ini ialah Timbalan Pengarah (Pengurusan) Hospital Serdang, Encik Mohammad bin Mat Yusoff mewakili Pengarah Hospital Serdang. Sumbangan berupa hamper, wang tunai dan risalah mengenai Islam telah diedarkan kepada pesakit-pesakit di 3 wad terpilih iaitu Wad Medikal Biasa, Wad Nefrologi (wad buah pinggang) dan Wad Ortopedik (wad patah), Hospital Serdang, Serdang, Selangor.
Objektif utama program ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan di antara kaki tangan Masjid Negara dengan kaki tangan Hospital Serdang di samping dapat memupuk budaya bersedekah di kalangan masyarakat bersempena bulan Ramadhan Al Mubarak yang mulia ini. Ianya juga dapat memberi sedikit sinar keceriaan kepada pesakit-pesakit yang menerima rawatan di Hospital tersebut dengan adanya program lawatan sebegini. Di samping itu juga, penyerahan Jalur Gemilang kepada para pesakit juga adalah bagi menyahut seruan Kerajaan supaya rakyat Malaysia disemai dengan rasa cintakan negara serta dapat menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang ke-54 yang diraikan pada 31 Ogos setiap tahun di mana tema untuk tahun ini adalah Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera.
Di harap program sebegini akan sentiasa mendapat perhatian dan sokongan daripada orang ramai demi untuk terus mengimarahkan Masjid sebagai institusi untuk merapatkan hubungan silaturrahim sesama Islam selain melakukan amalan-amalan yang sedia menjadi kewajipan bagi umat Islam di Malaysia khasnya dan di dunia amnya.