in

MACP, PPM & RPM Dapat Pengiktirafan Kutip Royalti Artis

MACP, PPM DAN RPM TELAH DIPERAKUI SEBAGAI BADAN PELESENAN BERDAFTAR

Music Author’s Copyright Protection (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia Sdn. Bhd. (PPM) dan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) telah menerima sijil perisytiharan sebagai sebuah badan pelesenan daripada kerajaan Malaysia, seperti yang diumumkan pada sidang akhbar bersama hari ini.

Ini bermakna, kerajaan telah memberi pengiktirafan kepada tiga badan yang bertanggungjawab soal kutipan royalti dan seterusnya dapat mengelak salah faham soal kutipan berkenaan melibatkan karyawan seni dan pelaku industri hiburan tanah air.

MACP, PPM & RPM Joint PC - Chairpersons with cert

Turut hadir Pengerusi MACP, Habsah Hassan, Pengerusi PPM, Adrian Lim dan Pengerusi RPM, Datuk Sheila Majid.

Puan Habsah Hassan, Pengerusi MACP berkata:

“Kami gembira dengan keputusan kerajaan untuk mengisytiharkan MACP sebagai Badan Pelesenan yang pertama di Malaysia pada September tahun lepas. Pengiktirafan ini menggalakkan kita untuk bekerja lebih keras supaya lebih banyak pendapatan akan dapat diagihkan kepada penulis-penulis lagu dan penerbit yang telah kekal bersatu di bawah MACP selama lebih 23 tahun.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis sidang media bersama melibatkan badan-badan berkenaan di Hotel Le Meridien di sini pada Selasa.

MACP ialah sebuah organisasi bukan keuntungan yang telah ditubuhkan pada tahun 1989, dengan fungsi utamanya untuk melesenkan pengguna muzik (stesen radio dan televisyen, pusat hiburan dan komersial, pengurus acara, pembekal perkhidmatan dalam talian dan perkhidmatan mudah alih), dan membayar penulis lagu dan penerbit apabila karya mereka disiarkan dan dipersembahkan di tempat awam dan diterbitkan semula dalam persekitaran digital.

Melalui perjanjian dua hala dengan pertubuhan-pertubuhan lain yang serupa di seluruh dunia, MACP juga melesenkan karya muzik antarabangsa milik organisasi-organisasi ini di Malaysia. Keahlian MACP terdiri daripada lebih 3,100 penulis tempatan dan 2 juta komposer dan penulis asing di seluruh dunia dan mewakili himpunan lebih 12 juta karya muzik.

Dari kiri: Habsah Hassan (Pengerusi MACP), Dato’ Sheila Majid (Pengerusi RPM) dan Adrian Lim (Pengerusi PPM).

Encik Adrian Lim, Pengerusi PPM pula melahirkan rasa sukacita kerana kerajaan telah mengiktiraf dan mengakui peranan yang telah dimainkan oleh badan-badan ini untuk industri.

“Sebagai badan kolektif tertua yang telah diperbadankan pada 3 September 1988, PPM adalah komited untuk menyediakan perkhidmatan kolektif untuk manfaat pengguna muzik dan syarikat rakaman di Malaysia.” katanya.

PPM adalah sebuah badan pelesenan dengan fungsi yang diiktiraf di bawah Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) untuk mewakili ahli-ahli RIM berkenaan dengan pelesenan kolektif untuk persembahan di tempat awam, penyiaran, penerbitan semula dan pengkomersialan hak cipta, video muzik dan rakaman karaoke di Malaysia.

Diperbadankan pada 18 Oktober 2011, RPM adalah sebuah badan yang mewakili artis rakaman bunyi dan pemuzik, dengan Dato’ Hajjah Sheila Majid, Mohd Faizal Maas atau Ajai, Jaclyn Victor, Tan Kheng Seong atau Aniu dan Ana Raffali sebagai ahli Lembaga Pengarah.

Salah satu tujuan utama penubuhan RPM sebagai sebuah syarikat yang dihadkan oleh jaminan di bawah Akta Syarikat 1965, adalah untuk menjalankan fungsi-fungsi badan pelesenan dalam tafsiran Seksyen 3 Akta Hak Cipta 1987, secara kolektif mentadbir pengeluaran lessen dan pengagihan royalti berkenaan hak saraan saksama yang diberikan untuk kegunaan komersial persembahan pelaku yang direkodkan menurut Seksyen 16B Akta Hakcipta 1987.

Sehingga bulan Mac 2013, terdapat lebih dari 250 artis rakaman dan pemuzik yang telah memberi kuasa kepada RPM secara bertulis, termasuk mereka yang dihormati dalam industri hiburan tempatan seperti Amy Search, Zainal Abidin, KRU, Fish Leong, Nicholas Teo, Abin, FuYing & Sam, ManHand, DayDream, Will Ng, Sasi The Don, Mista G, Atilia Harun, Dayang Nurfaizah, Azlan & The Typewriter, ITO – Blues Gang, Steve Thornton, Aubrey Suwito dan ramai lagi.

Dato’ Hajjah Sheila Majid, Pengerusi RPM, mengucapkan terima kasih kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di atas sokongan dan pengiktirafan peranan badan ini. Dalam nota penghargaannya kepada ahli-ahli RPM, beliau berkata,

“Terima kasih kerana keyakinan dan kepercayaan yang telah diberikan kepada saya untuk menerajui RPM. Dengan sokongan yang diberikan oleh semua yang terlibat dalam industri muzik, RPM akan dapat menjalankan amanah ini dengan penuh tanggungjawab, secara lebih telus dan sistematik, selari dengan tahap piawaian dunia. Kita sebagai pelaku perlu bersatu dan bergerak bersama untuk masa depan yang lebih baik untuk semua. Saya percaya bahawa jika kita melakukannya bersama-sama, InsyaAllah kita akan berjaya. Slogan kami ialah ‘Pelaku Untuk Pelaku’.”

Sebelum ini timbul kekeliruan soal kutipan royalti apabila Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (Prism Berhad) turut ditubuhkan bagi menjalankan fungsi yang sama.

Untuk rekod, MACP bertindak sebagai agensi pengutip royalti untuk komposer dan penulis lirik membabitkan 3,100 penulis tempatan serta dua juta komposer dan penulis asing seluruh dunia. Ia turut melibatkan 12 juta karya muzik.

RPM pula yang ditubuhkan hampir dua tahun lalu dianggotai kira-kira 250 ahli mewakili artis rakaman bunyi dan pemuzik sementara PPM adalah agensi yang berperanan menyediakan perkhidmatan kolektif untuk manfaat pengguna muzik dan syarikat rakaman di negara ini.

MACP mendapat perisytiharan tersebut pada September 2012 manakala PPM dan RPM masing-masing pada 6 Mac lalu oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Sehubungan itu Norman berkata, semua pihak haruslah memberi kerjasama termasuklah menyokong badan ini terutamanya di kalangan karyawan seni dan mereka yang berhak untuk mendapat royalti.

Sementara itu Sheila berkata, keanggotaan RPM yang dilihat agak sedikit itu bukanlah halangan untuk pihaknya menjalankan urusan berkenaan dan berharap mereka yang layak agar mendaftar sebagai ahli secepat mungkin bagi memudahkan soal kutipan dan agihan royalti.

Jelas Shiela, beliau akan memastikan RPM bukan sahaja bersifat telus terhadap amanah yang diberikan tetapi pelaksanaannya akan lebih sistematik agar ia selari dengan tahap piawaian kutipan royalti peringkat dunia.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.macp.com.my, www.ppm.org.my dan www.rpm.my

MACP, PPM & RPM Joint PC - Group photo

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Muzik Video 5 Minit Ramlah Ram Featuring CAPRICE & DEM LEPAK BOYZ

Telemovie Ku Idamkan Mimpi Lakonan Eja