Selepas kejayaan single ‘Joget Selfie Raya’ yang menjadi fenomena ketika sambutan Aidilfitri tahun lepas, L’Zzay kini kembali dengan single terbaru yang diberi judul #MohonTerasa. Dengan minat yang mendalam terhadap irama tradisional sejak dari bangku sekolah lagi, beliau telah menghasilkan sebuah lagu yang menggabungkan elemen R&B dan irama zapin bersama produser muda berbakat besar, Rudy Abdul Halim.
Apa yang menarik mengenai single ini, L’Zzay telah mempelawa Ratu Pop Etnik Malaysia, Noraniza Idris untuk turut bekerjasama dalam pembikinan lagu ini. Dengan gandingan idea, suara dan penyampaian yang berbeza, lagu ini dijangka bakal mengembalikan semula era etnik kreatif yang pernah popular suatu masa dahulu.
Dengan lirik berunsur nasihat serta sindiran secara lembut yang dicipta sendiri oleh L’Zzay bersama komposer terkenal Fedtri Yahya, lagu ini membawa maksud bibit-bibit dan kelakuan muda-mudi sekarang yang ingin bercinta dan sedang hangat bercinta.
Memang menjadi trend bagi anak-anak muda sekarang untuk menjadikan segala-galanya ‘viral’ diiringi dengan tanda hashtag, maka lahirllah #MohonTerasa. Mampukah L’Zzay sekali lagi mencipta hit seperti ‘Joget Selfie Raya’?