Pelakon Luqman Hafidz mengesahkan sudah bercerai dengan isterinya Nurul Atiqah Mad Apandi, 31 Jun lalu, selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.
Luqman menerusi hantaran di Instagram berkata, dia nekad berkongsikan mengenai perkara tersebut untuk meleraikan persoalan daripada semua pihak.
“Sampai masanya untuk saya kongsikan dan mengesahkan yang saya sudah pun berpisah dengan isteri pada bulan Jun yang lalu.
“Kami berpisah cara baik di mahkamah. Sekarang fokus kami adalah memberikan kehidupan yang baik pada anak kami,” katanya.
Pelakon Ola Bola itu juga berharap agar diberi ruang dan keputusan mereka untuk berpisah dihormati, lantaran mahu menjaga hati keluarga kedua-dua belah pihak.
“Saya sedar status saya sebagai anak seni tak lari dari perhatian masyarakat. Justeru saya tampil memberikan kenyataan ringkas ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau tanda tanya berterusan dari mana-mana pihak.
Semoga tiada lagi spekulasi yang timbul selepas ini.
“Saya berharap agar pihak media khususnya dapat memberikan ruang kepada saya dan menghormati keputusan ini bagi menjaga hati keluarga saya juga bekas mentua. Saya mohon maaf atas segala kekalutan sebelum ini.
“Fokus saya sekarang adalah kerja keras bagi mencari rezeki dan sebagai seorang bapa, tanggungjawab ini adalah keutamaan saya. Saya pohon semua titipkan doa yang baik-baik dan saya doakan yang terbaik juga buat kalian,” katanya.
Luqman mendirikan rumah tangga dengan Nurul Atiqah pada 20 Mac 2020 dan dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Eve Laura pada 6 Februari 2021 yang kini berusia setahun.