in , ,

Lumrah Cinta Puteri Khareeza Akhirnya Dilancar Selepas Tujuh Tahun

Kolaborasi Istimewa Syamel, Aepul Roza Dan Puteri Khareeza Dalam Lagu Pop Balada Yang Sarat Emosi Dan Mengusik Jiwa Pendengar

Setelah hampir tujuh tahun menanti dalam simpanan, lagu Lumrah Cinta akhirnya menemui takdirnya melalui sentuhan vokal penyanyi berbakat besar, Puteri Khareeza. Lagu ini merupakan hasil ciptaan bersama dua komposer terkenal tanah air iaitu Syamel dan Aepul Roza. Karya yang sudah lama diperam ini kini kembali hidup dengan gaya yang lebih matang, emosi mendalam, dan pastinya dekat di hati ramai pendengar.

Diterbitkan di bawah naungan Alternate Records, lagu bergenre pop balada ini bukan sekadar menampilkan alunan melodi yang merdu tetapi juga membawa mesej yang kuat tentang hati yang pernah dikecewakan. Namun begitu, ia tidak pernah serik dan sentiasa terbuka menerima cinta baharu. Lumrah Cinta tampil segar dengan sentuhan baharu dari segi lirik dan susunan muzik, menjadikannya sangat relevan buat mereka yang pernah melalui episod luka dalam percintaan.

Aepul Roza, yang terlibat secara langsung dalam penciptaan lagu ini, mendedahkan bahawa idea asalnya datang daripada Syamel sekitar tujuh tahun yang lalu. Menurutnya, pencarian penyanyi yang tepat untuk lagu ini mengambil masa yang agak panjang.

“Tahun ini, rezeki kami jumpa penyanyi yang sesuai untuk lagu ini. Sedikit ubah suai pada melodi dan lirik, dan alhamdulillah, hasilnya sangat memuaskan. Lagu balada memang genre kegemaran saya untuk diterbitkan, dan gabungan penulisan saya dengan Syamel dalam lagu ni memberikan rasa yang lain daripada biasa,” kongsi Aepul dengan penuh semangat.

Puteri Khareeza - Lumrah Cinta

Puteri Khareeza pula tidak dapat menyembunyikan rasa gembira dan teruja apabila dipilih untuk membawakan lagu istimewa ini. Penyanyi ini mengakui bahawa peluang merakamkan lagu ciptaan dua figura hebat industri muzik tanah air ini merupakan satu penghormatan besar. “Saya sangat teruja dan pada masa yang sama gementar, sebab Syamel dan Aepul ialah nama besar dalam industri yang saya sendiri kagumi. Mereka sangat baik sepanjang sesi rakaman dan kedua-duanya memberi tunjuk ajar yang berharga untuk menjayakan lagu ini,” ujar Puteri Khareeza dengan rendah hati.

Proses rakaman Lumrah Cinta turut memberi cabaran tersendiri buat Puteri Khareeza, terutamanya dalam menyampaikan emosi dan penghayatan lirik lagu tersebut. Beliau mengakui bahawa lagu ini memerlukan vokal yang matang serta ekspresi yang mendalam untuk memastikan mesej lagu sampai ke hati pendengar. “Lagu ni bukan mudah untuk dibawakan. Cabaran utamanya adalah cara untuk menyampaikan penghayatan setiap bait lirik, lebih-lebih lagi apabila demo asal lagu ini dirakam sendiri oleh komposer, Syamel. Daripada segi vokal pun, memang mencabar,” jelas beliau yang berjaya menyelesaikan rakaman dalam masa dua jam sahaja.

Kini, Lumrah Cinta telah tersedia untuk dinikmati oleh peminat muzik di pelbagai platform digital popular seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Lagu ini dijangka mampu menjadi penawar buat jiwa-jiwa yang pernah terluka serta menjadi lagu tema peribadi buat mereka yang ingin kembali memberi peluang kepada cinta.

Jangan lupa ikuti perkembangan terkini mengenai Alternate Records & Talents menerusi akaun media sosial rasmi mereka iaitu Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.

Apa Kata Budiey?

Budiey percaya bahawa setiap lagu mempunyai waktu dan kisahnya sendiri. Lumrah Cinta membuktikan bahawa penantian selama tujuh tahun itu sangat berbaloi apabila menemukan gabungan suara, emosi, dan karya yang mantap daripada Syamel, Aepul Roza dan Puteri Khareeza. Cadangan Budiey, lagu ini wajar dijadikan inspirasi oleh pencipta muzik lain untuk tidak tergesa-gesa dalam menghasilkan karya tetapi sebaliknya memberi ruang kepada masa agar karya tersebut benar-benar matang dan menyentuh jiwa pendengar.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ikuti Jelajah Filem ‘Blood Brothers: Bara Naga’ Temui Pelakon Sensasi di Lokasi Ini