Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam, selawat dan salam buat kekasih yang dirindui Nabi Muhammad SAW. Kyrel Al Gayauwi sosok yang tidak asing bagi para pencinta majlis-majlis Rasulullah di Malaysia. Seorang munsyed yang sering melantunkan qasidah di Malam Cinta Rasul, Selawat Perdana dan Jelajah Selawat Perdana.
Siapa sangka pertemuan pertamanya dengan Imaan Music telah mencetuskan sebuah album yang diberi nama ‘Cinta’. Cinta yang dinisbahkan kepada cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
‘Cinta’ juga merupakan album fizikal pertama terbitan label independen islamik Imaan Music. “Saya sering bersama Kyrel Al Gayauwi di pelbagai majlis zikir dan selawat. Lantunan suaranya ketika menyampaikan qasidah-qasidah sangat menyentuh hati. Dari situ timbul keinginan untuk menerbitkan sebuah album qasidah. Malah fenomena qasidah dikalangan para pencinta majlis menambahkan keyakinan saya untuk meneruskan projek ini” ujar KC.Ismail selaku Pengurus Imaan Music.
Album yang memulakan produksi pada bulan Disember 2014 ini mengambil masa hampir 5 bulan untuk disiapkan. Mendapat sentuhan magis penyanyi dan juga komposer Lah Ahmad yang menjadikan album ini antara album qasidah yang agak berlainan berbanding dengan album-album qasidah yang sedia ada di pasaran, terutamanya dari susunan muziknya yang agak variasi.
“Memang menjadi impian saya untuk menerbitkan sebuah album qasidah” kata Lah Ahmad. “Apabila Kyrel Al Gayauwi menyatakan hasrat untuk mendapatkan khidmat saya sebagai penerbit untuk album Cinta, saya tidak berfikir panjang, saya terus menerima tawaran tersebut. Tambahan lagi, Kyrel Al Gayauwi merupakan sahabat saya dan kami pernah sama-sama berqasidah” tambahnya lagi.
Uniknya tentang album ini, kulit album ini berlatarbelakangkan Masjid Nabawi di Madinah. Selain memuatkan lirik-lirik qasidah di dalam ‘inlay’ album ini, turut dinyatakan nama-nama pengarang asal qasidah tersebut. Antaranya ada qasidah karangan Sayyid Ahmad Al Badawi, Al-Imam Al-Hafiz Abdul Rahman ibn Al-Daiba’ Al-Syaibani, Al Imam Syarafuddin Abu Abdillah Muhammad bin Said bin Hamad Ash-Shonhaji Al- Bushiri, Al Imam Syarafuddin Abu Abdillah Muhammad bin Said bin Hamad Ash-Shonhaji Al- Bushiri, Al Imam Al Habib Abdullah bin Alwi Al-Haddad dan beberapa nama lagi.
Antara qasidah-qasidah yang terdapat di dalam album adalah Ya Rabbi bil Musthoffa, Annabiy Shollu’alayh, Inqiladzurtum, Sholatullahi Malahat Kawakib dan Ya Rasulullah Salamun’alayk. Malah, turut dirakamkan semula sebuah lagu asal milik kumpulan Raihan bertajuk Ya Rasulullah.
Antara yang turut terlibat didalam pembikinan album Cinta ini adalah kumpulan Al Mawlid, Nur Ahli Badar dan Ahbaabul Majlis. Malah, Lah Ahmad selaku penerbit turut menyumbangkan suaranya didalam beberapa lagu.
Selain itu juga terdapat gambar-gambar barangan peninggalan Rasulullah SAW seperti rambut, bekas tapak kaki dan capal Baginda yang turut dimuatkan sebagai tujuan pendidikan.
Semoga album ‘Cinta’ ini akan mendapat keredhaan Allah SWT dan menambahkan lagi mahabah kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Sollu Alan Nabiy.
TENTANG KYREL AL GAYAUWI
Kyrel Al Gayauwi dilahirkan pada tanggal 21 Disember 1977 di daerah kecil Sebuyau, Kota Samarahan iaitu sebuah daerah yang terdapat ramai para habaib. Diberikan didikan agama sejak kecil oleh ayahnya yang juga seorang qari kemudian mendapat didikan agama secara langsung daripada datuknya yang merupakan seorang ulama yang dihormati dan menjadi tempat rujukan masyarakat setempat.
Sejak kecil beliau telah diasah bakat untuk membaca maulid dan qasidah. Kesungguhan beliau menzahirkan kecintaan yang mendalam kepada Rasulullah SAW melalui alunan bait-bait qasidah telah membawa beliau bertemu beberapa orang guru yang arif tentang ilmu qasidah di tanahair hingga ke Tarim, Hadramawt untuk mendalami pembacaan maulid dan qasidah. Aktif menjalankan majlis selawat bersama kumpulan yang diasas olehnya iaitu kumpulan qasidah dan hadrah Nur Ahli Badar. Beliau juga pernah menjayakan majlis selawat bersama tokoh qasidah nusantara Habib Syech Abdul Kadir AsSeggaf.