Dua program menarik yang akan menaikkan selera anda kini kembali dengan musim baharunya iaitu Jalan Jalan Cari Makan (JJCM) dan Dapur Panas. Kemunculan kedua-dua program ini sememangnya memberi kelegaan kepada penonton setia TV3.
Apa tidaknya! Setiap minggu JJCM akan membawa penonton mengembara dan memberi ide kepada penonton lokasi menarik untuk menikmati keenakan makanan di seluruh Malaysia. Sementara itu, bagi mereka yang suka masak pula atau ingin belajar masak, Dapur Panas adalah jawapannya!
Program kembara makanan popular Jalan Jalan Cari Makan telah pun bermula sejak 7 Ogos dan terus membawa anda menerokai hidangan tempatan pada setiap Ahad, pukul 11.30 pagi bersama hos musim baharu, Nadia Hasnan.
Menarik musim ini, Nadia Hasnan akan menerokai tempat-tempat tular di media sosial dan menjadi buah mulut orang ramai serta mendapat ulasan yang baik daripada penggemar makanan.
Sementara itu, Dapur Panas yang diterajui oleh cef selebriti terkenal Naem Ramli akan menemui anda semua bermula 17 Ogos 2022, setiap Rabu, pukul 11.30 pagi. Dapur Panas merupakan kesinambungan musim-musim yang lalu yang telah berjaya menambat hati ramai penonton.
Kini, Dapur Panas kembali dengan pelbagai seleksi menu yang ringkas dan mudah. Ianya pasti menjadi pilihan penonton yang sedang mencari-cari resepi lazat yang boleh disediakan ketika beriadah dan melakukan aktiviti luar.
Sambil menikmati persekitaran alam sekitar yang menarik dan nyaman, hos Dapur Panas Cef Naem bakal menyajikan menu seperti hidangan utama dan pencuci mulut bersama dengan tetamu jemputan. Antara tetamu jemputan yang boleh dinantikan di Dapur Panas termasuk Dato Rosyam Nor, Azhan Rani, Zara Zya, Nabila Razali, Sean Lee, Ain Edruce dan ramai lagi.
Nantikan juga episod menarik bersama Cef Naem dan tetamu jemputan sambil berborak santai tentang isu-isu semasa dan terkini.
Jangan lupa saksikan musim terbaharu Jalan Jalan Cari Makan pada setiap Ahad, pukul 11.30 pagi dan Dapur Panas bermula 17 Ogos, setiap hari Rabu pukul 11.30 pagi. Perut kenyang, hati pun girang!