in

Liza Abdullah, Zaidi Omar, Balkis Semundur Khan Dalam Raya Sendirian

ISTIMEWA AIDILFITRI : RAYA SENDIRIAN, 2 OKTOBER 2008 (KHAMIS) JAM 10.00 PAGI.
Sambutan Aidilfitri yang disambut dengan meriah dan penuh kesyukuran bersama ahli keluarga dan rakan-rakan pasti meninggalkan kenangan indah setiap kali menjelang syawal. Sempena musim lebaran bakal disambut minggu depan, pelbagai rancangan menarik akan disiarkan oleh stesen-stesen televisyen bagi mengisi kemeriahan menyambut Hari Raya.

Kali ini, RTM bakal menyiarkan sebuah drama kekeluargaan yang mencuit hati dan penuh pengajaran dalam ISTIMEWA AIDILFITRI: Raya Sendirian adalah sebuah lagi karya terbitan World Evolution Brain (M) Sdn.Bhd.

Drama mengisahkan tiga buah keluarga yang pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya.Pelbagai insiden terjadi apabila mengetahui salah seorang ahli keluarga daripada tiga buah keluarga tertinggal di rumah sewaktu mereka beramai-ramai berkonvoi untuk pulang ke kampung halaman.

Rancangan yang disiarkan pada Hari Raya Kedua iaitu 2 Oktober 2008, Khamis mulai jam 10.00 pagi di RTM 2. Drama selama 120 minit ini dibintangi pelakon handal antaranya Liza Abdullah, Zaidi Omar, Balkis Semundur Khan dan Mohd Faiz Kamal.

Kisah ini bermula apabila tiga buah keluarga iaitu keluarga Mak Ngah,keluarga Pak Tih dan Acu masing-masing berkumpul di rumah Mak Long sebelum mereka semua berkonvoi beramai-ramai pulang ke kampung halaman di Melaka untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Mak Long dan Pak Long mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Fariz dan Hafridz yang senang digelar dirinya Debab. Keluarga Mak Ngah dan Pak Ngah serta anaknya Nabil bertiga beranak, manakala Keluarga Pak Tih dan Mak Tih dengan dua anak perempuan Dhani dan Dhiya. Manakala Acu yang belum berumahtangga  juga turut sama mengikuti rancangan mereka untuk pulang bersama-sama beraya ke kampung.

Kejadian bermula apabila Debab seorang kanak-kanak yang hiperaktif dan sering mengundang pelbagai masalah sehingga menyebabkan abangnya Fariz sering dipersalahkan oleh ibu bapanya kerana tidak menjaga adiknya. Debab yang terlalu nakal dan sering melanggar peraturan ibu bapanya serta bergaduh dengan abangnya. Debab merasakan dia akan lebih aman jika dia bersendirian daripada terpaksa berkongsi bilik dan tempat bersama-sama ahli keluarganya dan sepupu-sepupu yang lain.Fariz berpakat dengan sepupunya yang lain untuk memboikot Debab dan menyatakan Debab sangat nakal. Akhirnya Debab dan abangnya Fariz bergaduh besar.Fariz semakin mendendami adiknya.

Keesokan harinya mereka sekeluarga terbangun lewat dan kekecohan dalam persiapan masing-masing bergegas bersiap untuk pulang ke kampung. Keadaan bertambah tertekan apabila laporan trafik di radio menyatakan lebuhraya menuju ke utara semakin sesak. Walau bagaimanapun, mereka terus beredar dari rumah dan membawa kereta masing-masing.

Setibanya di rumah Atok di kampung, Mak Long dan Pak Long mula menyedari akan kehilangan anaknya Debab. Perkara ini terjadi apabila menyangkakan Debab sudah menaiki kereta saudaranya yang satu lagi.

Kemeriahan menjelang syawal disambut dengan penuh gembira dan keadaan menjadi riuh rendah sehinggakan tiada sesiapa pun mengetahui ketiadaan Debab.

Di rumah, Debab yang baru sahaja bangun dari tidur terkejut apabila mendapati bahawa semua orang di rumahnya. Namun, dia berasa lega kerana dapat bermaharajalela dan bersuka ria di rumahnya tanpa gangguan saudara-maranya yang lain terutama abangnya Fariz.

Saat yang dinantikan telah tiba apabila pengumuman raya diumumkan dan jatuh pada keesokan harinya. Berita diterima denga sorakan gembira semua ahli keluarga masing-masing kecuali Fariz kerana mula menyedari kesilapannya atas kecuaian pada dirinya.

Pada pagi raya, seperti biasa kesemua ahli keluarga menunggu giliran untuk bersalaman sesama sendiri. Tetapi, mereka menjadi panik kerana mendapati Fariz dan Debab tidak berada disitu. Setelah puas mencari dan disoal selidik oleh Makngah, akhirnya Fariz terpaksa pulang ke rumah mencari Debab.

Pelbagai insiden berlaku semasa perjalanan Fariz ke rumah. Begitu juga dengan Debab.Melihat dirinya kesepian tanpa keluarga disisi sambil melihat jiran-jiran yang lain bergembira menyambut Hari Raya bersama keluarga, Debab berasa angat sedih.

Gamat suasana dan kemeriahan semasa Hari Raya memberi erti yang bermakna pada keluarga Mak Ngah. Apatah lagi setiap kali Aidilfitri pasti memberi pelbagai kejadian dan pengalaman yang sukar dilupakan. Namun,apakah kesudahan nasib Debab yang tertinggal keseorangan di rumahnya ? Bagaimana sambutan Hari Raya keluarga Mak Ngah dan Pak Ngah apabila mengenangkan Debab beraya sendirian di rumah ?

Drama khas sempena Aidilfitri ini bakal menghiasi kaca TV anda pada 2 oktober 2008,jam 10.00 pagi di saluran RTM2. Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menonton drama Raya Sendirian dalam slot ISTIMEWA AIDILFITRI yang terus menghiburkan anda sekeluarga di RTM 2 saluran Famili Anda.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tips Menggembirakan Hati Yang Sengsara, Makan Hati, Sedih dan Kecewa

ALBUM ADAM 3 LIRIK BERBUAH DUA KALI BENAR-BENAR