Lirik Lagu Jamal Abdillah Aku Maafkan Kamu
APABILA RAJA RAP BERTEMU RAJA POP…
JAMAL ABDILLAH – AKU MAAFKAN KAMU
Bagi peminat industri muzik tanah air, terimalah gabungan sulung antara Raja Pop dan Raja Rap, AKU MAAFKAN KAMU!
Hasil kolaborasi julung kali antara bintang pujaan tanah air ini bersama ikon rap popular, lagu ini bagaikan ‘hadiah’ istimewa bagi peminat Jamal Abdillah yang berjiwa muda!
Lirik oleh Malique, AKU MAAFKAN KAMU merupakan sebuah lagu berunsur nasihat yang merungkai ranjau kehidupan. Dengan memberi penekanan terhadap aspek kemaafan, lagu ini mengetengahkan kealpaan dan kejahilan umat manusia. Menyentuh aspek mesej yang ingin disampaikan, lagu ini juga ada menyebut tentang perlakuan pesalah yang dibelenggu rasa bersalah, juga faktor-faktor yang menyumbang kepada perlakuan tersebut. Menerusi penggunaan kosakata yang berat menerusi lagu ini pula, olahan Raja Rap tanah air ini tentunya sesuatu yang menarik untuk dikaji dan didalami. Sebagai single kedua daripada album terbaru beliau, Raja Pop 2, AKU MAAFKAN KAMU menampilkan Jamal Abdillah dalam rentak lagu yang berbeza. Disampaikan dalam mood rancak, lagu hasil gabungan kerjasama antara Malique, Jamal Abdillah dan Tripdisz ini tentunya sebuah halwa telinga yang tidak membosankan!
AKU MAAFKAN KAMU
Lagu : Malique, Jamal Abdillah and Tripdisz
Lirik: Malique
Aku minta maaf di atas segala perbuatanku
Ternyata, kamu lebih suci dari apa yang kubayangkan
* Ada teratak di hujung kampung
Bawah cermin kopak ada kotak
Tersembunyi dalamnya ada tempurung
Sembunyi bawahnya katak melalak
Atur sepuluh daktil batal yang batil
Detik dua usul ditutup satu lagi tampil
Dari halaman rusuk kiri satu susuk ganjil
Minta diisolasi dari dalil busuk jahil
Aspirasi tak serasi dengan suara bunyi
Inkarserasi dari penghuni dan keluarga bumi
Surat wasiatnya atas paksi dalam rumi
Minta dikebumikan hidup-hidup dalam guni
Mana cepat terbang atau kelar gelang tangan
Buah fikiran aneh tergantung di persimpangan
Halusinasi susuli ketandusan ihsan
Ubat parut auditori kesan artileri insan
Gagal dikesan
C/O
Aku maafkan kamu
Tak perlu kita bertemu
Cukup kau tahu
Yang aku
Maafkan kamu
Tolong teruskan hidup
Jangan sebut namaku
Timbul tenggelam, timbul tenggelam
Acapkali terpendam, acapkali tersergam
Cermin muka kopak penuh bintik hitam silam
Ini bukan lagu rindu ini madah dendam
Kutimbang tanpa neraca di awal usia
Kudihukum masuk neraka oleh manusia
Minta tunjuk lubang atau pintu tak dapat jawapan jitu
Jadi aku tak berganjak biarkan saja begitu
Maafkan mereka, mereka tidak tahu
Mereka tidak ramas buku, mereka segan ilmu
Mereka tidak fasih malah fasik guna kata
Kita kongsi nama bangsa tapi tidak kasta bahasa
Maafkan mereka, mereka tiada nilai
Ibu bapa lalai dari kecil dah diabai
Tanpa kasih sayang, mereka suka menyakiti
Kita kongsi warna mata tapi tidak warna hati
Atas kepala murai sekawan
Baling kurambit kucup lehernya
Terlalu rahi dendam diangan
Sampai terkacip mulut mahirnya
C/O
Jangan ahli sihir seru nama maharaja
Nanti segerombolan hantu bisu yang menjelma
Guna hak berfikir sebelum hak untuk bersuara
Kalau terpelajar sila guna hak miranda
Pura-pura dengar, telan tapi tidak hadam
Hafaz bila lafaz tapi mereka tidak faham
Mereka mula kiri, aku kanan bila baca
Sudah mahir rumi, mari tafsir alif ba ta
*Ada teratak di hujung kampung
Bawah cermin kopak ada kotak
Tersembunyi dalamnya ada tempurung
Sembunyi bawahnya katak melalak
Ternyata, kamu lebih suci dari apa yang kubayangkan
Selain itu, jangan ketinggalan untuk mendapatkan album terbaru beliau, Raja Pop 2, yang kini telah pun berada di pasaran dengan harga hanya RM27.90!