Pada November 2008, Barack Obama mencatat sejarah apabila dipilih sebagai bakal Presiden Amerika Syarikat ke 44. Dan pada 20 Januari ini beliau akan mengangkat sumpah untuk jawatan itu.
Perjalanan Obama ke White House dilihat sebagai satu sejarah yang juga menyaksikan beliau mendapat sokongan keluarga bekas Presiden Amerika, John F. Kennedey ketika berkempen tahun lalu.
Bagaimanapun disebalik kemenangannya untuk menduduki pejabat Presiden, persoalan sama ada beliau mampu memikul tanggung jawab dengan berkesan tetap timbul.
Mampukan beliau memulihkan ekonomi Amerika dan dunia? Bersediakah Obama memulihkan Gaza dan seterusnya membawa kedamaian di Asia Barat? Bagaimanakah dasar Obama nanti terhadap Malaysia?
Pengurus Besar, Astro AWANI, Rozina Aziz ( Saluran Astro 501 ) berkata, ”Semua persoalan ini kami ajukan kepada tetamu-tetamu pakar kami di studio melalui liputan dan laporan yang menyeluruh pada 20 Januari ini.”
Program ini adalah antara sumbangan berterusan kami menyediakan laporan berita antarabangsa mengikut perspektif tempatan kepada penonton Malaysia yang sentiasa dahaga maklumat yang bermutu dan relevan.”
Tambah Rozina,”Walaupun upacara angkat sumpah Obama itu adalah peristiwa penting di Amerika Syarikat, namun ia tetap menjadi tumpuan masyarakat dunia. Harapan yang diletakkan amat tinggi dan ia berbeza mengikut negara. Sudah tentu Malaysia tidak terkecuali.”
Dengan situasi dunia yang bakal berdepan dengan cabaran besar – daripada isu pemanasan global hingga ke isu kemiskinan, perang dan serangan keganasan – dunia sebenarnya mencari pemimpin yang mampu membawa perubahan yang bermakna dan ia terletak dibahu Obama.
Tahun lalu, Astro AWANI satu-satunya saluran televisyen yang menyiarkan liputan penuh mengenai Pilihan Raya Presiden Amerika melalui debat, liputan berita, laporan khas dan analisis yang dibuat mengikut acuan tempatan.
Wartawan-penyampai berita Astro AWANI Rizal Zulkapli (kiri) dan Syed Faradino Omar (kanan)
Pada kali ini, dua pengacara Astro AWANI yang pakar mengenai politik Amerika Syarikat iaitu Syed Farradino Omar dan Rizal Zulkapli sekali lagi akan mengendalikan perbincangan bersama panel jemputan yang pakar sempena upacara Angkat Sumpah Presiden Amerika ke 44 ini.
Liputan upacara bersejarah ini dijadual ke udara pada hari Selasa, 20 Januari, jam 11.30 malam melalui program khas “Presiden AS ke 44” di Astro AWANI (Saluran 501), Gerbang Dunia Kita.