in

Linda Onn: Dari Era FM Ke Sinar FM?

Kesian Linda Onn, dah rasa dirinya dah meningkat usia… katanya akan berpindah konti. Dari Era FM kena downgrade ke stesen radio untuk orang-orang lama, Sinar FM. Tapi rasanya gaji mesti maintain. Ntah-ntah lebih tinggi dari kerja kat Era FM. Kalau dah rasa diri tua tu, apa kata kahwin je Linda… nanti jadi andartu lak, tak laku nanti.

Baca komen Linda Onn yang dipetik dari akhbar Kosmo!:

AKHIR-AKHIR ini, ada-ada saja kisah hangat tentang selebriti tinggi lampai yang satu ini. Tentunya kisah cinta yang terkandas di tengah jalan, membuatkan Linda dan bekas ‘teman tapi mesranya’ Fahrin Ahmad menjadi bualan ramai. Kalau Fahrin khabarnya sudah memiliki teman hati yang cantik jelita dan Kosmo! secara eksklusif mendedahkannya semalam, Linda pula nampaknya lebih senang bersendirian buat masa ini dan menumpukan perhatian terhadap kerjayanya sebagai penyampai Radio ERA.

Kali ini bukan mahu mengorek dalam-dalam tentang hubungan mereka yang sememangnya sudah bertitik noktah, tetapi perihal kerjaya anak jati Johor ini pula yang diperkatakan. Khabar terbaru yang masih panas singgah ke Kosmo!, memberi gambaran bahawa Linda bakal ditukar ke stesen radio lain tidak lama lagi. Apakah Linda bakal ke HOT FM mengikut jejak langkah Fara Fauzana? Bukanlah!

Sebaliknya Linda diberitahu bakal bertukar ke satu lagi stesen milik AMP Radio Networks, Sinar FM. Maknanya khidmat Linda sebagai penyampai di stesen radio popular itu akan berakhir tidak lama lagi. Ini dikatakan ada kaitan dengan kemerosotan pengaruh radio ERA yang dilihat semakin hari semakin merudum popularitinya. Dan menukarkan Linda ke Sinar FM adalah antara percubaan untuk memberi wajah baru kepada stesen ERA dalam usaha rombakan hujung tahun mereka.

Itu yang Kosmo! dengar daripada pihak yang terdekat dengan stesen berkenaan. Bagaimanapun ketika ditemubual, Linda menjelaskan dia langsung tidak tahu menahu mengenai perkara itu. Ketika dihubungi kelmarin, kata Linda dia belum menerima sebarang maklumat tentang pertukarannya ke stesen radio lain oleh pihak atasan ERA.

Dan sehingga kini dia masih lagi menjalankan tugasnya seperti biasa, tanpa sebarang gangguan di saluran berkenaan.

“Tentang hal itu (penukaran), saya tidak tahu dan saya tidak mendapat sebarang info daripada pihak pengurusan. Setakat hari ini mereka juga tidak memberi sebarang komen tentang isu perpindahan yang diperkatakan itu. Tetapi untuk masa akan datang saya tidak tahu. Mungkin ada dan mungkin juga tidak, saya tak boleh komen,” tegas Linda sambil berharap supaya penjelasannya itu dapat menjawab segala persoalan Kosmo!.

Menurut penyampai yang semakin jelita ini, dia menyerahkan nasib dan masa depannya kepada pengurusan stesen berkenaan.

“Semuanya terpulang kepada mereka. Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai penyampai saja. Apa yang boleh saya beritahu, belum ada apa-apa berita yang disampaikan kepada saya tentang hal itu (perpindahan),” kata Linda lagi.

Disoal lagi, andai khabar angin yang bertiup kencang itu benar-benar terjadi dan dia dipindahkan ke tempat baru, apakah dia bakal meletakkan jawatan?

Linda tanpa sedikit pun tanda amarah memberitahu, dia tidak sedikitpun terguris atau berduka cita, andai suatu masa nanti dia diletakkan di tempat baru. Ini kerana, sebagai pekerja dia perlu bersedia untuk akur dengan apa saja rombakan syarikat tempat dia cari makan. Padanya kepuasan bekerja adalah perkara nombor satu walau di stesen radio mana sekalipun dia diletakkan.

Linda juga memberitahu tidak akan membuat keputusan meninggalkan terus dunia radio kalau sekalipun ERA tidak lagi memerlukan khidmatnya.

“Kepuasan bekerja perkara utama, kalau bekerja tanpa kepuasan pun tiada gunanya. Jika saya diletakkan di mana-mana stesen radio sekalipun, kalau saya gembira dan puas dengan apa yang saya kerjakan, saya akan tetap bekerja. Maknanya, tempat kerja mestilah sesuai dengan diri saya. Secara jujur, saya tidak pernah terfikir pun untuk meletakkan jawatan, saya masih lagi ingin bekerja dan saya masih larat untuk bekerja. Minat dan cinta saya masih lagi di radio,” tuturnya jujur.

Sempat juga Kosmo! mengusik Linda.Tentunya bisnes yang semakin berkembang memudahkan Linda untuk membuat keputusan menghantar notis berhenti, jika dia tidak puas hati andai dipindahkan oleh pengurusan ke tempat baru. Dengan rangkaian perniagaan yang berkembang maju seperti My Mom’s Chicken Rice yang dimilikinya, andai kata tidak gembira dengan tempat barunya, bukankah sesuatu yang tidak mustahil untuk Linda berhenti kerja dan memberi tumpuan kepada perniagaan yang dibinanya?

Bagaimanapun Linda menolak mentah-mentah andaian itu dan memberitahu sungguhpun sibuk dengan perniagaan dan jika tidak lagi bersama ERA kelak, dia masih lagi akan setia bersama radio.

“Misal kata suatu hari nanti saya berhenti kerja di ERA, saya akan tetap mencari radio dan bekerja di radio. Seperti tikus yang akan mencari bau makanan, saya pula akan sentiasa mencari stesen radio kerana itu merupakan minat saya yang nombor satu. Perniagaan saya sebenarnya untuk menampung ibu bapa dan keluarga saya yang lain serta simpanan untuk masa depan. Manakala, menjadi penyampai radio pula merupakan minat utama dalam hidup saya yang tidak akan saya tinggalkan selagi saya mampu untuk bekerja,” tegasnya lagi.

PENYAMPAI BARU KURANG ILMU

Linda yang meminati bidang radio sejak berumur 11 tahun ini memberitahu, sebelum bersama ERA, tidak pernah terlintas pun difikirannya untuk berada dalam dunia penuh glamor. Ini kerana sebelum kehadirannya, tiada siapa yang memandang serius kepada kehidupan penyampai radio.

Suatu ketika dahulu kerjaya sepertinya tidak dilihat sebagai satu hal yang menyeronokkan, hanya dikenali kerana suara. Sebaliknya semenjak ERA muncul di udara, penampilan penyampai radio sudah berbeza dan mereka juga diangkat sebagai selebriti popular, sama seperti artis.

“Dulu, sebelum saya dan Halim Othman bertugas di ERA, orang langsung tidak memandang penyampai radio sebagai selebriti, tetapi kini ia sudah berubah secara perlahan-lahan. Walaupun begitu, saya tidak pernah mengharapkan populariti. Ingin saya tegaskan di sini, kepada mereka yang ingin menjadi penyampai radio kerana populariti itu satu kesilapan. Popular itu bukan datang sendiri, sebaliknya, jika kita lakukan kerja dengan baik dan orang nampak cara kita bekerja, maka popularlah secara sendirinya,” kata Linda lagi.

Dalam pada itu, Linda juga sempat berkongsi pandangannya terhadap Dj atau penyampai radio generasi baru. Dia mengatakan segelintir daripada mereka tidak melakukan pekerjaan ini dengan sepenuh hati.

“Saya hanya ingin menegur. Mana-mana penyampai atau mereka yang ingin terlibat dalam bidang radio ini supaya lebih peka dengan keadaan sekeliling dan juga lakukan kajian sebelum ke udara. Apa yang saya lihat, ada juga penyampai yang tidak tahu lagu apa yang mereka mainkan. Itu menunjukkan kelemahan, walhal menjadi seorang juruhebah, muzik dan lagu merupakan perkara yang paling utama perlu kita tahu selain daripada perlu ada ilmu pengetahuan,” ulasnya lagi.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Hari Raya Haji Jatuh Pada 8 Disember 2008

Gossip Mawi Hadiah Rumah Mewah dan Kereta Toyota Alphard Kepada Bapa Ekin?