Penyampai radio Suria FM, Linda Onn mengesahkan bakal mengakhiri zaman solonya dengan seorang kerabat diraja pada 27 Disember ini. Menurut Linda Onn, majlis pernikahan itu akan diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak sahaja.
“Ya, tarikh itu benar dan dia seorang kerabat (seperti dilaporkan). Maaf, saya tak boleh bercerita lanjut buat masa ini. Sekarang apa yang penting buat yang wajib (nikah) dulu. Insya-Allah, kalau tak ada aral melintang resepsi akan menyusul selepas majlis nikah.”
Linda diminta mengulas laporan sebuah akhbar pada Rabu mengenai khabar angin pernikahannya dengan seorang kerabat diraja pada 27 Disember depan yang akan diadakan di kampung halamannya di Johor Baharu. Pasangan itu juga dilaporkan sudah mendaftarkan perkahwinan mereka di pejabat agama Islam daerah itu.
Linda dikatakan akan mengadakan majlis bersejarah tersebut secara sederhana dan hanya menjemput sahabat handai dan ahli keluarga terdekat sahaja bagi menghadirinya manakala majlis resepsinya pula akan diadakan di Kuala Lumpur.
Dia juga enggan memberitahu dari negeri manakah kerabat tersebut berasal. Dalam perkembangan sama, Linda berkata, dia akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan dalam masa terdekat ini.