“Sebab saya ni umur dah 40-an dan doktor ada beritahu yang saya masih subur lagi tapi berisiko dan tidak bagus untuk kesihatan diri. Selain berisiko, pelbagai komplikasi boleh berlaku kepada saya.
“Jadi atas saranan doktor untuk saya ikat jadi saya ikut atas nasihat doktor. Alhamdulilah saya subur, ada sesetengah orang susah nak dapat, saya bersyukur,” jelas pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahirah atau lebih selesa dengan sapaan Shiera.
Shiera atau nama lengkapnya Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired mengakui telah melakukan ‘ikat peranakan’ ‘Tubal Ligation’ selepas melahirkan anak kelimanya lebih empat tahun lalu. Shiera berkata, dia melakukan prosedur tersebut atas saranan doktor.
Menurut Shahirah, doktor memberitahu adalah sangat berisiko tinggi bagi wanita yang sudah mencecah usia 40 tahun ke atas sepertinya untuk hamil selepas ini.
Ibu kepada lima cahaya mata itu turut menyatakan tiada perancangan untuk menambah zuriat sementelah bukan mudah membesarkan anak-anak pada zaman sekarang.
Imbas kembali, kakak kepada pelakon Sharifah Sakinah itu pernah berkahwin bersama Jatt, vokalis Black Dog Bone dan dikurniakan seorang anak perempuan, Allisya, 22.
Selepas itu, Shiera mendirikan rumah tangga bersama pelakon Ijoy Azahari pada 28 Februari 2003 dan dikurniakan empat orang anak iaitu Airell, 15, Airra, 12, Audra, 10, dan Adeena, 2.