Libur di TV1 Bersama Program Majalah 1001 Malaysia
Kecanggihan teknologi yang ada sekarang secara tidak langsung menyumbang kepada masyarakat kita semakin melupakan amalan dan pekerjaan tradisi yang telah diwarisi sejak bertahun dahulu. Sejarah pembuatan atap rumah yang diperbuat daripada tanah liat, kisah pemburu madu dan rempah-ratus yang diproses tanpa menggunakan mesin yang terkenal dahulu mungkin kedengaran janggal kini terutama di kalangan anak muda.
Justeru pendekatan mudah di ambil Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyampaikannya kepada penonton termasuklah kelompok sasarannya di kalangan remaja dan seisi keluarga secara santai dengan menyiarkan program majalah mengisi slot Santai, 1001 Malaysia mulai 15 November 2011, setiap Selasa, jam 2.05 petang di TV1.
Uniknya menerusi episod pengenalannya, penonton dapat mengenali dengan lebih dekat perjuangan keluarga Mak Jah di Bachok, Kelantan, satu-satunya pengusaha atap bata tradisional yang bertahan di negara ini di mana asal-usul pembuatan bata ini yang dikatakan berasal dari Singgora, di Selatan Siam. Istimewanya kerana atap ini menggunakan tanah liat yang sukar ditemui di tempat lain melainkan di Bachok. Pembuatannya masih penuh tradisi iaitu menggunakan kaki dan tenaga empat kerat sepenuhnya.
Menyusul menerusi episod seterusnya kisah kejayaan dua orang pengusaha rempah tangan turut di ketengahkan dalam episod seterusnya yang mengesahkan mereka mempunyai rahsia ramuan rempah yang diwarisi dari neenk moyang mereka dan menariknya kerana rempah masakan ini menggunakan kaedah tradisi dan buatan tangan sepenuhnya.
Menerusi setiap 13 episod siarannya, isu berbeza dan unik di ketengahkan termasuklah kisah-kisah menarik sekumpulan lelaki yang sanggup keluar masuk hutan setiap bulan mendapatkan madu asli paling baik, kisah kegigihan seorang penternak ayam serama, keunikan keretapi lama di Sabah dikenali sebagai pot-pot yang digunakan mengangkut balak, pengusaha strawberi khatulistiwa dan kisah pengusaha batu nisan yang semakin dilupakan.
Saksikan program santai sarat informasi bermakna ini hanya di TV1.