Filem Malaysia “LELAKI HARAPAN DUNIA” telah memenangi Anugerah Khas Juri („Crystal Simorogh Special Jury Prize‟) dalam kategori „Eastern Panorama‟ di Festival Filem Antarabangsa Fajr ke-33 di Tehran, Iran. Pengarah Liew Seng Tat menerima anugerah tersebut.
Para pemenang telah diumumkan pada Sabtu (2 Mei) pada majlis penutup. Lelaki Harapan Dunia atau tajuk Inggerisnya “Men Who Save The World”, adalah antara 14 buah filem yang bertanding dalam kategori „Eastern Panorama‟.
Festival Filem Antarabangsa Fajr bermula pada tahun 1982 adalah festival filem yang tertua di Iran dan seluruh Timur Tengah. Festival tahun ini yang telah diadakan pada 25 April – 2 Mei telah menyaksikan penyertaan dari lebih 200 filem dari 80 buah negara. Antara penggiat filem yang terkenal yang menghadiri festival tahun ini adalah Abbas Kiarostami, Ann Hui, Stanley Tong, Negar Javaherian dan Krzysztof Zanussi.
Lelaki Harapan Dunia ialah sebuah filem komedi drama yang mengisahkan beberapa kejadian malang yang menimpa sebuah perkampungan Melayu yang aman yang mengakibatkan salah faham, tuduhan palsu dan suasana riuh sekampung. Filem ini membariskan pelakon berpengalaman. Antaranya Wan Hanafi Su, Allahyarham Harun Salim Bachik, Soffi Jikan, Jalil Hamid, Azhan Rani, Azman Hassan dan Roslan Salleh. Ia diterbitkan oleh Sharon Gan dan merupakan sebuah penerbitan bersama Malaysia dengan Belanda, Jerman dan Perancis.
Ikuti berita-berita terkini tentang filem ini dengan melanggani laman:
www.facebook.com/lelakiharapandunia