Disahkan oleh anak sepupunya, Nik Nazira Narriman yang juga isteri kepada penyanyi Yonnyboii, penyanyi berusia 68 tahun itu dimasukkan ke hospital sejak minggu lalu.
Menerusi kiriman di WhatsApp, penyanyi terkenal dengan lagu malar segar antaranya Cinta Kristal dan Istana Menanti itu dilaporkan berdepan dengan masalah darah tinggi.
“Untuk pengetahuan sepupu yang dikasihi, Rahim sekarang sudah sedar. Doktor kata Rahim tidak kena strok.
“Dia ada darah tinggi. Semoga Allah sembuhkan segala penyakit adinda Rahim Maarof adik Kak Rah. Amin YRA,” kata info yang ditulis dalam sebuah kiriman mesej.
Terdahulu, Rahim dilaporkan tidak sedarkan diri selepas menjalani pembedahan pada Jumaat lalu.
Dalam pada itu, menerusi satu perkongsian di Facebook, sepupu Rahim yang dikenali sebagai Lydia turut memaklumkan khabar tersebut serta meminta doa daripada peminat.