Penyanyi dan pelakon sensasi tanah air, wanita cantik kelahiran Johor Bahru, Johor, Baby Shima, kembali menyemarakkan Lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi dengan buah tangan terbaharu, sebuah single Raya istimewa berjudul ‘Pulang’ ciptaan sepenuhnya oleh komposer ternama, Ezra Kong, terbitan label rakaman terkenal negara, Warner Music Malaysia.
“Setelah hampir 2 tahun kita semua tidak berpeluang untuk Pulang ke kampung halaman dek kerana pandemik COVID-19 yang melanda dunia, kini tibalah masanya untuk kita bertemu kembali dengan wajah-wajah yang sangat dirindui,” ujar pemilik nama penuh Nor Ashima Ramli.
Walaupun sedang sibuk dengan jadual seni yang padat, Baby Shima masih lagi berkesempatan merakamkan sebuah lagu Raya pada tahun ini dengan mesej yang pastinya menjadi harapan semua rakyat Malaysia yang ingin ‘pulang’.
“Alhamdulillah, rezeki saya selepas negara memasuki fasa endemik ini semakin mencurah-curah, selain single Raya, saya akan terbang ke Jakarta untuk merakamkan lagu ciptaan Pasha (Ungu), dan kemudian ke Jawa Timur pula untuk berkolaborasi dengan beberapa artis di sana,” jelasnya.
Lagu Pulang bermaksud sebagaimana tajuknya, keinginan dan hasrat yang mendalam untuk pulang dengan harapan untuk berjumpa kedua orang tua bersempena perayaan yang mulia ini.
“Idea disebalik lagu ini datangnya dari penciptanya sendiri iaitu Ezra yang merasa kecewa kerana tidak dapat pulang ke kampung dan menyambut Lebaran bersama keluarga yang tersayang,” tambah Baby Shima lagi.
Kalau pendengar amati, lagu Raya dendangan Baby Shima ini nyata berbeza dengan mana-mana genre yang pernah dibawakannya sebelum ini kerana bernuansakan balada pop perlahan dalam mood yang sungguh syahdu dan pastinya menyentuh jiwa.
“Proses rakaman hanya memakan masa 1 jam sahaja di studio milik Ezra sendiri di rumahnya, manakala proses penggambaran MV (video muzik) pula berlangsung selama sehari dengan jalan cerita yang sungguh menarik dan berkait rapat dengan apa yang kita lalui sepanjang 2 tahun ini, dan apa yang boleh saya katakan di sini peminat kenalah tonton kalau nak tahu lebih lanjut lagi,” katanya dalam nada teruja.
Bagi Baby Shima, Ramadan dan Raya pada tahun ini sangat bermakna baginya kerana keadaan yang kembali normal membolehkan aktiviti yang dirindui seperti pulang ke kampung halaman dapat dilakukan seperti sediakala tanpa sekatan.
“Walaupun kerajaan membenarkan kita bergerak ke sana ke sini, virus COVID-19 masih lagi ada, jadi kita sentiasa harus waspada dan menjaga diri.
“Semoga single Pulang ini dapat diterima dan nikmati oleh semua pendengar ketika perayaan nanti, serta memberi harapan untuk kita semua ‘pulang’,” akhiri Baby Shima dengan harapan.
Lagu ‘Pulang’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala MV ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Baby Shima.
Tajuk : PULANG
Artis : Baby Shima
Penulis Lirik : Ezra Kong
Komposer : Ezra Kong
Terbitan : Warner Music Malaysia
Pagi raya bersama ibu dan ayah
Nikmat sebenar Aidilfitri
Terlalu lama sudah kita terpisah
Dan menahan tangisan di Aidilifitri…
(Pre-chorus)
Air mata bercucuran
Tanda kerinduan
(Chorus)
Syawal ini kita pulang
Janji kita pada orang tersayang
Kali ini kita pulang
Tuhan senangkanlah perjalanan
Ibu bapa dimuka pintu menanti
Kepulangan kita di Aidilfitri…
(Pre-chorus)
Air mata bercucuran
Tanda kerinduan
(Chorus)
Syawal ini kita pulang
Janji kita pada orang tersayang
Kali ini kita pulang
Tuhan senangkanlah perjalanan
(Chorus)
Syawal ini kita pulang
Janji kita pada orang tersayang
Kali ini kita pulang
Tuhan senangkanlah perjalanan
Tuhan senangkanlah perjalanan…