Saluran komedi nombor satu Malaysia, Astro Warna memperkenalkan sebuah lagi program realiti baharu yang bakal menggeletek penonton di rumah. Lawak Solo bakal mencari pelapis pelawak solo tanahair yang boleh mencuit hati peminat dunia komedi negara menerusi lawak bersahaja yang dilakukan bersendirian.
Lawak Solo dijadualkan bersiaran setiap hari Jumaat, jam 10.00 malam mulai Oktober ini secara eksklusif menerusi Astro Warna (Saluran 132) dalam pakej Mustika dan ditayangkan serentak di Mustika HD (Saluran 134).
Ketua Pengisian dan Komedi Astro, Encik Bob Azrai berkata, “Kami di Astro sentiasa mahu membawakan hiburan berkualiti tanpa henti kepada penonton kami dan oleh sebab itulah, kami sentiasa tampil dengan pelbagai idea baru agar penonton kami tidak pernah jemu dan sentiasa menikmati setiap bentuk hiburan yang kami tampilkan. Astro dan komedi, berpisah tiada, jadi kami merasakan Lawak Solo merupakan satu tarikan terbaru saluran Astro Warna yang boleh meninggalkan kesan di hati penonton”.
“Berbeza dengan rancangan terbitan kami seperti Skool of Lawak dan Raja Lawak sebelum ini, Lawak Solo memfokuskan pencarian individu yang memiliki kemampuan berlawak secara semulajadi dan bersahaja. Kami mahukan seseorang yang mampu tampil dengan ‘punchline’ yang mantap selain mempunyai kebolehan menyampaikan lawak yang bernas dalam masa yang sama penuh dengan unsur komedi. Kami merasakan perlunya lebih ramai pelawak solo dilahirkan untuk kita terus menyuburkan industri komedi tanah air. Lihat sahaja nama-nama seperti Harith Iskander dan Nabil Ahmad yang berjaya membuktikan kemampuan mereka di arena masing-masing walaupun tampil solo di atas pentas”, tambah Bob lagi.
Program Realiti Terbaru Astro Bakal Temui Penonton Oktober Ini
Para peserta Lawak Solo bakal diuji dengan pelbagai cabaran komedi bertemakan stand-up, muzikal dan sebagainya. Menggunakan khidmat penjurian professional sebanyak 70 % dan juga undian penonton sebanyak 30 %, peserta dengan jumlah markah terendah setiap minggu akan disingkirkan. Juri tetap Lawak Solo akan diumumkan tidak lama lagi dan apa yang pasti, dua nama besar dunia komedi negara bakal menggalas tanggungjawab ini.
Kesemua peserta lawak Solo akan mendapat bimbingan tiga ikon komedi yang sudah tidak asing lagi iaitu Nabil Ahmad, Douglas Lim dan Ebby Yus. Ketiga-tiga tenaga pengajar ini akan juga turun padang menjadi juri ujibakat dan mengenal pasti siapa yang berpotensi diketengahkan menjadi pelawak terunggul tanahair yang seterusnya!
Ujibakat Lawak Solo secara atas talian atau online telah pun bermula hari ini, 2 Ogos 2016. Para penonton yang mahu mencuba nasib dikehendaki memuat naik video mereka di laman Instagram di mana mereka perlu mempersembahkan sketsa lawak masing-masing ataupun stand-up comedy mereka yang berdurasi 1 minit selain menyertakan hashtag #lawaksolo dan tag akaun Instagram @zonlawak.
Peserta yang berpotensi bakal mendapat laluan pantas ke sesi ujibakat yang akan diadakan di 4 buah negeri yang berbeza di seluruh tanahair. 30 peserta yang disenarai pendek akan ke Kuala Lumpur bagi mengikuti latihan boot camp Lawak Solo, di mana hanya 10 peserta terbaik akan mara ke pusingan seterusnya dan layak bertanding merebut kejuaraan sulung Lawak Solo. Ujibakat Lawak Solo terbuka kepada semua rakyat Malaysia, tidak kira lelaki mahupun perempuan yang berusia 18 hingga 45 tahun.
Juara Lawak Solo akan menerima wang tunai sebanyak RM 80,000.00 berserta trofi. Naib juara dan tempat ketiga pula akan membawa pulang RM 40,000.00 dan RM 20,000.00 berserta trofi. Pemenang tempat keempat juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila wang tunai RM 10,000.00 turut menanti.
Datanglah beramai-ramai ke ujibakat Lawak Solo dan jangan lupa temujanji anda untuk menyaksikan Lawak Solo pada setiap hari Jumaat, jam 10.00 malam mulai Oktober ini secara eksklusif menerusi Astro Warna (Saluran 132) dalam pakej Mustika dan ditayangkan serentak di Mustika HD ( Saluran 134).
Ujibakat Lawak Solo di tempat dan tarikh seperti berikut:
No. | Tarikh | Tempat | Masa |
1 | 13 & 14 Ogos 2016 | Penang Times Square, Pulau Pinang | 9 pagi – 5 petang |
2 | 19, 20 & 21 Ogos 2016 | Plaza Angsana, Johor Bahru | 9 pagi – 5 petang |
3. | 27 & 28 Ogos 2016 | 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu | 9 pagi – 5 petang |
4. | 3 & 4 September 2016 | SACC Mall, Shah Alam | 9 pagi – 5 petang |