Komitmen adalah segalanya dalam satu perhubungan: janji yang dibuat untuk tetap bersama dalam keadaan suka duka, disaat getir, ketika gembira dan bahagia. Apabila menyentuh soal melangkah ke alam perkahwinan, pasangan berjanji untuk menyintai, menghormati dan menghargai satu sama lain sehingga ke hujung nyawa, kita menyaksikan ikrar dilafaz sebagai asas sebuah perkahwinan yang kukuh.
Sebagai usaha berterusan untuk mewujudkan kesedaran mengenai Disfungsi Erektil (ED) dan mengetengahkan kepentingan komunikasi terbuka dalam perkahwinan, Pfizer Malaysia baru-baru ini menganjurkan sebuah acara untuk topik yang cukup sensitif melalui program hiburan kesedaran penyakit yang dipanggil “The Entertainment Show with Papi Zak, Couple ED-ucation “.
Acara Bual Bicara ini adalah yang pertama seumpamanya yang menampilkan kesedaran mengenai penyakit, temu bual dengan pasangan selebriti dan beberapa permainan,serta sesi perbincangan yang menarik dan menghiburkan.
ED-ucation untuk Kesejahteraan Rumahtangga
Selaku hos program bual bicara, pelawak “Stand-Up” terkenal tempatan, Papi Zak mencuit hati penonton dengan mendekati topik ini secara terbuka tetapi lucu sambil berinteraksi dengan panel jemputan khas, Timbalan Dekan dan Pengarah Pembangunan Sumber Manusia dan Perunding Kanan Urologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Zulkifli Md. Zainuddin, selain pasangan selebriti dan pelawak terkenal Malaysia, Harith Iskandar serta isteri Dr. Jezamine.
Prof. Dr. Zulkifli berkongsi pengalaman beliau selama beberapa tahun menjadi perunding kepada pasangan yang menghadapi masalah ED hingga membawa kepada masalah komunikasi. “Sebagai perunding urologi, saya bertemu dengan ramai pesakit yang mengalami ED hingga membawa kepada masalah hubungan rumah tangga dan rasa tidak puas hati kerana gagal meluahkan masalah itu. Perasaan kurang yakin yang dialami oleh lelaki yang mengalami ED telah menjadi satu halangan untuk mereka berjumpa dengan doktor, pada pandangan saya, disinilah pasangan mereka boleh memainkan peranan yang penting. Dengan memberi sokongan dan galakkan, anda boleh membantu pasangan mencari keberanian yang diperlukan untuk berjumpa doktor dan menangani masalah yang dihadapi.”
Program bersama Papi Zak menampilkan Harith Iskandar untuk menangani topik sensitif membabitkan kesihatan seksual dan komunikasi terbuka.
Tambah beliau, “Lagipun kita perlu sedar bahawa ED adalah cara badan kita untuk memberitahu bahawa ada sesuatu yang tidak kena. ED sering menjadi permulaan kepada masalah kesihatan yang lain seperti penyakit kardiovaskular. Adalah penting untuk seorang lelaki untuk mengetahui bahawa mereka boleh mendekati saluran rundingan yang betul dalam menangani masalah kesihatan mereka. Berdasarkan pengalaman saya, pasangan mereka adalah kunci utama dalam menggalakkan mereka untuk mendapatkan rawatan yang tepat dari saluran yang betul. Kita perlu melihatnya bukan dari perspektif ‘penyakit berumur’ sebaliknya ‘penyakit gaya hidup’ supaya lelaki tidak merasa dihakimi dan akan menjadi lebih terbuka untuk mendapatkan rawatan.”
Pasangan terkenal, Harith Iskandar dan isteri Dr. Jezamine adalah tetamu selebriti yang ditampilkan dalam acara tersebut untuk berkongsi tips mengenai kepentingan mengekalkan hubungan yang sihat dengan mengamalkan komunikasi terbuka.
Dengan rutin kehidupan mereka yang sibuk, Harith berkongsi bagaimana beliau dan Dr. Jezamine menjadikan hubungan mereka sebagai satu keutamaan;
“Punca salah faham yang paling biasa berlaku dalam mana-mana perhubungan selalunya disebabkan oleh perkara-perkara remeh: manusia sebenarnya tidak menyedari betapa sedikitnya mereka berkomunikasi. Dalam kata lain, kita fikir kita sudah banyak bercakap tetapi sebenarnya tidak. Dalam dunia sekarang, kita sering diganggu oleh gajet, janji temu dan trend kehidupan terkini sehingga kita lupa bagaimana mudahnya untuk berhubung dengan seseorang. Berbual, meluangkan masa bersama dengan anak-anak, anda akan tahu bahawa anda boleh mengharapkan satu sama lain dalam menghadapi setiap kesulitan, terutamanya isu-isu yang berkaitan dengan kesihatan.”
Pasangan selebriti ini turut diuji oleh Papi Zak ketika sesi permainan soal jawab “Kuiz berapa banyak yang anda tahu mengenai pasangan anda”. Permainan ini menguji kemahiran komunikasi pasangan tersebut yang kadangkala memberikan jawapan yang bercanggah di depan penonton yang terhibur dengan gelagat mereka.
Program itu turut berkongsi satu kajian yang dijalankan oleh Pfizer Malaysia yang berkongsi data tempatan mengenai persepsi lelaki Malaysia tentang sikap dan kehidupan seks serta tahap keyakinan mereka secara keseluruhan. Kajian mendapati bahawa 53% daripada lelaki Malaysia percaya bahawa kehidupan seks yang sihat menyumbang kepada perkahwinan yang sihat, ia sebaliknya menimbulkan persoalan: apakah yang menyumbang kepada kehidupan seks yang sihat? Dalam dunia yang serba pantas dengan pelbagai tanggungjawab dan jangkaan, keutamaan dalam perhubungan sesama manusia sering tercabar.
Kajian ini juga menunjukkan bahawa keletihan dan kesibukan kerana kerja dan komitmen keluarga sering menjadi sebab utama kepada rasa tidak puas hati lelaki dengan kehidupan seks mereka. Kajian mendapati bahawa 57% lelaki Malaysia yang tidak berpuas hati adalah disebabkan oleh kebosanan dan kesibukkan. Sejumlah 53% menyatakan mereka tidak berpuas hati kerana isteri/pasangan sibuk manakala 50% lelaki mendapati sukar untuk mencari masa yang sesuai untuk melakukan hubungan seks.
Kajian ini mendapati bahawa lelaki Malaysia merasai tekanan untuk menjadi ‘lelaki sejati’. 40% lelaki Malaysia percaya bahawa ‘lelaki sejati’ sentiasa dapat memuaskan isteri mereka secara seksual dan percaya bahawa ianya adalah tanggungjawab mereka untuk memastikan pasangan berpuas hati apabila melakukan hubungan seksual.
43% lelaki Malaysia juga mendedahkan bahawa memuaskan pasangan mereka semasa seks adalah lebih penting daripada kepuasan mereka sendiri. Tekanan ini menjejaskan keyakinan mereka dan membawa kepada kebimbangan mengenai prestasi mereka di bilik tidur. Selain itu, kajian juga mendapati bahawa keyakinan lelaki Malaysia untuk mendapat dan mengekalkan ereksi berkurangan selepas mencecah umur 40.
Lelaki sering menghadapi kesukaran untuk berkongsi cabaran dan kebimbangan ini dengan pasangan dan juga doktor mereka. 71% lelaki percaya bahawa ED bukan masalah perubatan, manakala 68% lelaki merasa bimbang untuk membincangkan topik seksualiti kerana ini boleh memalukan mereka.
Tahukah anda bahawa 44% lelaki yang berjumpa pakar urologi dan mempunyai masalah ED gagal untuk menyatakannya?
Program Bual Bicara itu turut mengetengahkan isu penting yang dialami lelaki yang mendapatkan rawatan untuk ED iaitu ubat palsu. Keengganan untuk mendapatkan bantuan dari saluran yang betul menyebabkan ramai lelaki Malaysia menjadi mangsa peniaga-peniaga dan laman web yang tidak bertanggungjawab. Mereka menjadi mangsa akibat terdesak untuk mendapatkan rawatan.
Sejumlah 52% lelaki mendapat maklumat dari laman web penjagaan kesihatan, manakala 41% mendengar penerangan lisan serta saranan keluarga dan rakan-rakan. Lelaki sering terdedah kepada ubatan palsu kerana cuba mengelak daripada berinteraksi dengan penyedia perkhidmatan kesihatan (HCP). Ini disebabkan keinginan untuk mendapatkan ubat tanpa perlu berasa malu dan persepsi bahawa ia murah, dari sumber yang tidak terkawal dan mudah untuk didapati dalam kuantiti yang lebih banyak.
Pengarah Hal Ehwal Perubatan Pfizer Malaysia, Dr Vicknesh Wellupillai, mengulas mengenai kebimbangan ini dan objektif di sebalik program seumpama ini dianjurkan. “ED adalah topik yang sangat sukar untuk didekati. Adalah penting untuk kita mengikuti dan memahami perbualan serta sikap mereka yang mengalami ED melalui program istimewa ini. Melalui program ini, kita mahu mendedahkan bagaimana stigma dan persepsi terhadap penyakit ini telah mewujudkan satu keadaan di mana lelaki mencari saluran-saluran yang tidak rasmi untuk mendapatkan rawatan. Matlamat kami menerusi program hari ini adalah untuk mendengar pendapat daripada pakar-pakar lain dan individu-individu yang berpengaruh yang dapat membantu berkongsi mesej tentang pentingnya kesedaran ini dengan rakyat Malaysia.”
Mengenai Pfizer Malaysia
Pfizer Malaysia komited ke arah “Bekerjasama ke arah sebuah Dunia yang lebih Sihat”. Di Pfizer, kami menggunakan sains dan sumber global kami bagi mempertingkatkan kesihatan dan kesejahteraan pada setiap peringkat umur. Kami berusaha untuk menetapkan standard kualiti, keselamatan dan nilai dalam setiap penemuan, pembangunan dan penghasilan ubatan untuk manusia dan juga haiwan. Portfolio penjagaan kesihatan global kami dipelbagaikan termasuk biologik manusia dan haiwan dan ubatan molekul kecil dan vaksin, serta banyak lagi produk pengguna yang cukup terkenal di dunia. Setiap hari, rakan-rakan Pfizer bekerja merentas pasaran maju dan semakin meningkat demi untuk menambah baik sektor kesejahteraan, pencegahan, rawatan dan penawar yang mencabar penyakit yang paling ditakuti pada masa ini. Sejajar dengan tanggungjawab kami sebagai peneraju syarikat Biofarmaseutikal dunia, kami turut berganding bahu dengan penyedia penjagaan kesihatan, kerajaan, dan komuniti tempatan untuk menyokong dan memperkembangkan akses kepada penjagaan kesihatan di seluruh dunia yang lebih dipercayai dan berpatutan. Selama lebih daripada 50 tahun, Pfizer telah berusaha mewujudkan sesuatu yang berbeza buat mereka yang mengharapkan kami. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai komitmen kami sila lawati kami di www.pfizer.com.my.