in

Laporan Sukan SEA Ke 26

“BERSATU BERSAMA”
KOLABORASI TV3 & TM SEMARAKKAN LAGI SUKAN SEA KE 26!

Berita baik untuk semua peminat sukan tanahair! Sukan SEA kini kembali untuk edisi ke-26 dan bakal bersiaran di TV3 sebagai Rakan Penyiar. Dibawakan dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM) sebagai Rakan Penaja, rakyat Malaysia berpeluang untuk mengikuti acara langsung dan perkembangan terkini Sukan SEA, sebuah temasya sukan berprestij yang menampilkan atlit-atlit terbaik dari pelusuk Asia Tenggara. Tahun 2011 merupakan giliran Indonesia sebagai tuan rumah selepas Laos untuk acara dwitahunan terbesar di Asia Tenggara sejak penganjurannya 52 tahun lalu.

DSC_2014

Sukan SEA edisi ke-26 akan berlangsung di dua buah bandar utama di Indonesia iaitu Jakarta dan Palembang bermula 11 November hingga 22 November 2011. Rebutan 542 pingat emas bakal menghangatkan lapan lokasi iaitu Pusat Sukan Gelora Sriwijaya dan Kompleks Sukan Jaka Baring di Palembang manakala di Jakarta, Stadium Utama Gelora Bung Karno, Padepokan Pencak Silat TMII, Velodrome Rawamangun, GOR Judo Kelapa Gading, GOR Ciracas Pasar Rebo dan Pantai Marina Ancol.

Dengan penyertaan 11 buah negara yang akan bertanding iaitu Indonesia, Malaysia, Thailand, Singapura, Vietnam, Filipina, Laos, Myanmar, Kemboja, Brunei dan Timor-Leste dalam 44 acara termasuklah tiga acara baru yang pertama kali diperkenalkan iaitu Kasut Beroda, Mendaki Tembok dan Kempo (sejenis sukan lawan pedang menggunakan buluh yang berasal dari Jepun) serta beberapa acara yang kembali setelah tidak dipertandingkan di Sukan SEA 25 seperti Boling, Gimnastik, Pedang, Catur, Lumba Bot Tradisional, Kayak, Mendayung, Kapal Layar, Bola Lisut dan Besbol. Pastinya peminat tempatan tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan acara sukan yang menjadi sandaran utama Negara untuk meraih pingat emas seperti Bola Sepak, Badminton, Akuatik, Boling, Ekuestrian, Basikal, Silat dan Sepak Takraw.

Bersama Telekom Malaysia Berhad (TM) sebagai Rakan Penaja, TV3 akan bersiaran secara langsung setiap hari bermula jam 3.00petang hingga 5.00petang bersama pengulas, Abu Bakar Atan, Tabah Sazwan dan Nadia Zuber dari studio di Pusat Penyiaran Antarabangsa (International Broadcast Centre), Palembang, Sumatera Selatan. Rangkuman Sukan SEA akan disiar selama sejam pada hari Selasa dan Rabu, jam 11.00malam manakala hari Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad, jam 12.30tengahmalam.

Selain itu, laporan khas Sukan SEA di Buletin Utama selama 5 minit turut dimuatkan. Buat pertama kalinya, 30 orang tenaga produksi Primeworks Studios, Media Prima Berhad yang diketuai oleh penerbit eksekutif, Shamsul Ismail dan Muhammad Ibrahim dijadualkan berangkat untuk membuat liputan di Indonesia bakal menggunakan teknologi terkini Sistem Siaran EVS (tanpa pita).

Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Encik Ahmad Izham Omar berkata, “Sebagai stesen swasta percuma nombor satu Malaysia yang merangkumi siaran paling luas dengan jumlah kadar tontonan yang tinggi, TV3 memainkan peranan penting menyemarakkan lagi Sukan SEA edisi ke 26 buat semua peminat sukan Malaysia. Kami amat berbangga kerana diberi kepercayaan untuk merealisasikan kolaborasi bersama Telekom Malaysia Berhad (TM) dalam usaha untuk memertabatkan lagi prestasi sukan Negara.”

Selain di TV3, penonton juga boleh mengikuti Sukan SEA di HyppTV (saluran Unifi) dan secara online di www.tonton.com.my.

DSC_1180

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Astro Battleground 2011 2nd Preliminary Round

Ketibaan Whitesnake di Malaysia