Laporan sukan “Bantahan Wartawan Negara Arab” oleh ahli-ahli kewartawanan sukan Primeworks Studios dan TV3 Malaysia telah merangkul Anugerah Laporan Terbaik di Anugerah Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) -100 PLUS di sini malam tadi.
Dilangsungkan di Hilton Petaling Jaya, Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Belia & Sukan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ M Saravanan. Wartawan Hasnida Hanim Ahmad Kamil dan jurukamera Mohd Suhaili Sulaiman hadir untuk menerima anugerah itu.
“Bantahan Wartawan Negara Arab” melaporkan tentang masalah yang dilalui para wartawan berhubung dengan isu infrastruktur pengangkutan yang kurang efisyen semasa Sukan Asia ke-17 di Incheon. Isu tersebut telah membawa kepada bantahan hebat dari ahli-ahli media Arab sewaktu temasya sukan tersebut. Laporan itu telah disiarkan di Buletin Utama, slot berita perdana TV3, seiring dengan liputan saluran tersebut mengenai Sukan Asia.
Hasnida dan Suhaili berkongsi, “Kami amat berbesar hati untuk menerima anugerah berprestij ini, dan ingin kami rakamkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan kerja kami yang telah memberi sepenuh sokongan kepada kami dalam menghasilkan laporan ini. Kami ingin merakamkan penghargaan kepada Primeworks Studios dan TV3 kerana memberi peluang kepada kami untuk melibatkan diri dalam temasya sukan tersohor seperti Sukan Asia ini. Penglibatan ini menjadi pengalaman yang berharga kepada kami dalam liputan acara serantau, terutamanya dalam penghasilan laporan-laporan yang tersendiri. ”
Salah sebuah ulasan sukan Primeworks Studios, “Pingat Emas Yang Terlepas”, juga dipilih sebagai finalis dalam senarai pencalonan Top 5 untuk Anugerah Ulasan terbaik. Ulasan ini memberikan komentari menyeluruh mengenai prestasi kontinjen Malaysia di Sukan Asia.
“Kemenangan anugerah ini cukup bermakna bagi kami, terutama sekali kerana ini menandakan pertama kalinya jabatan kami mendapat penghargaan yang amat berprestij ini. Untuk mengukuhkan kandungan sukan kami, kami sentiasa mencuba untuk melangkaui rutin laporan sukan yang biasa, dan mencari sudut penceritaan yang unik untuk menangkap minat penonton. Pengiktirafan terhadap laporan dan ulasan kami ini menjadi inspirasi kepada kami untuk meneruskan pencarian cerita-cerita unik untuk dilaporkan demi memantapkan penerbitan-penerbitan sukan kami,” ujar Abu Bakar Atan, Ketua Produksi Sukan, Primeworks Studios.