Tidak menghampakan peminat, program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) minggu separuh akhir menyaksikan kesemua lapan peserta berjaya mara ke pentas akhir.
Bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 10 Disember depan, keputusan itu turut menyaksikan Tomok, Nikki Palikat, Naqiu, Hady Mirza, Jaclyn Victor, Siti Nordiana dan Azharina berpeluang untuk merebut gelaran juara.
Pada konsert separuh akhir yang berlangsung malam tadi, kedudukan teratas telah dirangkul oleh Tomok yang juga pemenang tempat keempat GV musim kesembilan menerusi markah 80 peratus yang diberikan oleh tiga juri tetap.
Tempat kedua pula telah diraih oleh penyanyi yang juga naib juara GV8, Nikki Palikat manakala juara musim keenam, Naqiu pula berada di kedudukan ketiga.
Sebelum ini, Suki Low, Cliff Umar, Datuk Aishah, Ayai Illusi, Zamani, Ezad Lazim, Noryn Aziz dan Aliff Aziz merupakan peserta yang sudah meninggalkan GV10.
Rancangan popular itu menyaksikan kesemua bintang diadili oleh juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Syafinaz.
Konsert GV10 diacarakan trio pengacara, Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
Juara GV10 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM200,000 beserta trofi sumbangan Astro.