RAZLAN Mohamed Yusof atau lebih dikenali dengan nama Lan Kristal merupakan antara peserta top yang bertanding bagi program Gegar Vaganza (GV) pada musim keempat ini.
Khabarnya, penyanyi ini ingin bereksperimentasi dengan kerjayanya dan menjadikan program ini sebagai platform untuknya menonjolkan bakat sebagai penyanyi yang bukan sahaja mampu menyanyikan lagu rock.
Dalam pada itu, Rody yang juga gitaris kumpulan Kristal menerusi akaun Instagramnya memberitahu mereka akan mencari vokalis baharu untuk kumpulan itu.
“Di atas nasihat orang-orang lama, kami, Kristal akan merehatkan Lan dan akan buat audition mencari penyanyi baru. InsyaAllah pengumuman akan dibuat. Moga Lan berjaya dengan hajatnya nak jadi penyanyi solo. Takkan nak biarkan Kristal diam tanpa penyanyi dan dan kami nanti tak ada show pula,” tulisnya di laman Instagram.
Entri itu dimuat naik ekoran kenyataan yang diberikan Lan kepada BH Online yang menyatakan dia mahu mengembangkan bakatnya secara solo dan tidak tertumpu kepada genre rock sahaja.
“Tempoh 20 tahun berkecimpung dalam bidang seni, saya tidak mahu selesa menyanyikan lagu berentak rock semata-mata, sebaliknya ingin berekperimentasi untuk kebaikan kerjaya saya juga.
“Keputusan itu juga bukanlah diambil setelah saya menyertai program Gegar Vaganza (GV), sebaliknya ia sudah berlegar-legar di fikiran sejak awal tahun lagi,” kata Lan dipetik BH Online.
Dalam pada itu, Rody menjelaskan keputusan itu diambil kerana ada di antara peminat-peminat mereka beranggapan kumpulan itu sudah tiada setelah melihat Lan bertanding dalam Gegar Vaganza.
“Sebenarnya senang saja, satu band perlu berbincang. Masuk GV pun tak bincang. Tahu-tahu nak buat solo. Janganlah buat kami macam tunggul.
“Ada kawan-kawan beritahu sebelum ni Lan record solo tapi malas percaya, sekali betul. Dia nak try benda baru, kita kena try benda baru jugalah.
“Kalau rezeki dia dalam solo, kita tak ada masalah. Cuma kena cari penyanyi barulah. Faham-faham sajalah nanti show nak kena ada penyanyi. Kalau tak maka terkontang-kanting kami,” kata Rody dipetik Sinar Harian.
Dilaporkan Lan sebelum ini pernah menyuarakan hasratnya untuk berehat dari kumpulan tersebut tetapi, dalam nada bergurau.
Sementara itu, Rody menyatakan Lan seharusnya menggunakan namanya sendiri sebagai nama pentas apabila ditanya bagaimana pendirian Kristal berhubung isu itu.
“Kalau dia dah kuat rasanya pakai Lan GV pun orang kenal,” ujar Rody.
Kumpulan tersebut akan berbincang bersama pengurus mereka, Pak Din tentang tarikh dan lokasi uji bakat yang bakal berlangsung tidak lama lagi.