Memiliki gaya tersendiri dalam bercerita tentang kisah cinta melalui lagu, Aizat pernah popular dengan beberapa lagu-lagu hits bertemakan cinta seperti ‘Hanya Kau Yang Mampu’, ‘Lagu Kita’, ‘Susun Silang Kata’, ‘Waktu’ dan ‘Sampai Ke Hari Tua’. Menerusi lagu popularnya ‘Sampai Ke Hari Tua’ yang sering menjadi lagu pilihan untuk dimainkan di majlis perkahwinan dan telah mencapai jutaan tontonan dan putaran di platform muzik digital membuktikan kejayaan formula muzik Aizat.
Bagi mengukuhkan lagi statusnya sebagai penyanyi dan komposer lagu berunsur romantis, Aizat kembali dengan karya terbaharunya berjudul, “TEKAD”. Lagu yang berkisar tentang seorang pencinta yang tekad untuk mengabadikan seluruh hidupnya buat sang kekasih menerusi ikatan perkahwinan.
Mengulas tentang karya ciptaan penuhnya ini, Aizat berkata,
“Sekiranya ‘Sampai Ke Hari Tua’ sinonim sebagai lagu untuk orang yang bakal atau sudah berumahtangga. ‘Tekad’ ini saya tulis untuk menggambarkan hubungan bahagia yang membawa ke ikatan perkahwinan.
Susah nak jumpa lagu Melayu pasal lamaran ajak kahwin. Sebab itulah saya tulis lagu ‘Tekad’ ini agar ianya boleh digunakan untuk situasi sebegitu,”
“Saya berharap agar lagu Tekad ini bukan saja diterima baik oleh peminat dan mampu mengulangi kejayaan lagu-lagu yang pernah saya hasilkan sebelum ini.
Semoga dengan tema unik dalam lagu ini, ‘Tekad’ mampu kekal relevan dan menjadi lagu siulan pasangan bercinta sepanjang zaman,”
– Aizat Amdan
“TEKAD” merupakan terbitan Kasi Gegar Entertainment dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar.
Single ini boleh didapati dikesemua pelantar digital bermula 27 NOVEMBER 2020.
Untuk maklumat lanjut sila layari www.theaizatamdan.com.