Pelakon Fiza (Elite) mendedahkan, laman sosial Instagram antara penyebab berlakunya perceraian antara dia dan suaminya iaitu Adam (AF2).
Fiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim, 33, berkata, ia bermula apabila pengikut-pengikut Instagram miliknya mula mempersoalkan sebab-sebab dia tidak memuat naik gambar Adam di laman sosial itu dan begitu juga Adam yang tidak berbuat demikian.
“Apabila perkara itu dipersoalkan sehingga mencetuskan spekulasi diantara pengikut-pengikut Instagram, maka perkara itu turut menjadi bualan antara kami sehingga mencetuskan pergaduhan. Saya bertindak membuang gambar-gambar kami di laman sosial itu juga kerana terlalu banyak spekulasi mengatakan rumah tangga kami bermasalah. Bagaimanapun, itu antara sebahagian punca (perceraian). Mengenai perkara lain, saya tidak boleh ulas. Cuma apa yang saya anggap, tiada jodoh di antara kami.”
Fiza sedia menerima Adam sekiranya masih lagi ada jodoh di antara mereka. Fiza berkata demikian ketika ditemui selepas perceraiannya di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Isnin.
Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 31, telah melafazkan cerai talak satu terhadap Fiza dihadapan hakim syarie, Tuan Muhamad Nazri Basrawi kira-kira pukul 1.05 petang mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Rumah tangga mereka hanya kekal tujuh bulan sahaja. Dalam pada itu, Fiza berkata hubungannya dengan Adam mula goyah sejak empat bulan lalu namun dia menafikan khabar angin kononnya masalah itu berpunca kerana Adam tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menyara keluarga.
Malah Fiza turut menafikan ada pihak ketiga yang membuatkan hubungan antara mereka retak.
“Jujurnya gosip-gosip yang tersebar membuatkan kami tertekan. Tambahan pula, ayah saya sedang sakit tenat ketika itu dan kini baru saja selesai menjalani pembedahan pintasan di IJN (Institut Jantung Negara). Macam-macam spekulasi yang timbul dan apabila ada pihak mengatakan saya minta cerai kerana Adam tidak ada duit, itu mengarut. Isu itu timbul apabila ada masalah bayaran antara saya dan hospital. Sedangkan ketika itu, Adam turut membantu menghulurkan wang agar ayah saya dapat menjalani pembedahan dengan segera.”
Adam kelihatan sebak selepas melafazkan cerai di mahkamah pada Isnin. Tambah Fiza, keputusan cerai itu dibuat atas persetujuan bersama dan dia tidak menolak sekiranya mereka disatukan semula sekiranya masih lagi ada jodoh. Pasangan itu telah bernikah pada 26 September 2013 hanya selepas dua bulan berkenalan.
Sebelum itu Fiza pernah berkahwin dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin pada 8 September 2006 dan bercerai pada 4 November 2010.
Hasil perkahwinan Fiza dan Ahmed Farriq, mereka mendapat dua orang anak iaitu Ferra Aryana, 6, dan Feeya Adyrra, 5. Ia merupakan perkahwinan pertama buat Adam. Sumber: Mstar Online