DRAMA TEMA BOLA : MISTERI PEMBUNUHAN DALAM DRAMA TENDANGAN MAUT DI TV2
Misteri kematian tiga orang pemain bola sepak pasukan D’Team iaitu Farid, Idham dan Ismail begitu menggusarkan fikiran jurulatih pasukan D’Team, Duan Idris untuk menjejak siapakah pembunuh yang bertanggungjawab. Apatahlagi ketiga-tiga orang pemain bola sepak D’team yang dibunuh itu antara pemain terbaik dalam pasukan untuk perlawanan Liga Sembilan yang akan menjelang tidak lama lagi.
Dibintangi aktor hebat Norman Hakim, Fahrin Ahmad dan Raja Farah, drama Tendangan Maut disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 24 Jun 2010 (Khamis), jam 10.30 malam di TV2 sekaligus memeriahkan ’demam bola’ Piala Dunia ini berkongsi kisah Duan Idris menganggap ketua pasukan musuhnya, Mirza dan jurulatihnya, Herdi sebagai suspek pembunuhan misteri yang berlaku terhadap anak didiknya. Herdi merupakan juruatih pasukan bola sepak Jerkah yang menjadi saingan kepada pasukan D’Team. Herdi dan Duan memang tidak sebulu sejak mereka sama-sama mmewakili pasukan Kedah dalam Piala Malaysia 17 tahun yang lalu. Namun, pihak polis menafikan penglibatan mereka dalam kes pembunuhan misteri ini kerana tiada bukti kukuh.
Raja Farah
Duan merupakan seorang yang ego dan panas baran, lebih-lebih lagi apabila kes pembunuhan misteri yang menimpa pasukan D’Team telah menyebabkan Duan terbawa-bawa perasaan marahnya ke rumah. Isterinya, Risya memahami keadaan suminya yang tertekan di atas peristiwa yang menimpanya. Bisnes herba yang diusakan bersama Rizman, abangnya diabaikan kerana begitu taksub dengan bola sepak.
Walaupun kehilangan 3 orang pemain dalam pasukan D’Team, Duan tetap meneruskan latihan bola sepak bagi persediaan perlawanan Liga Sembilan. Pasukan Jerkah menjadi pasukan saingan paling sengit.Namun, Duan begitu marah kerana dalam waktu yang sama dua orang ahli kumpulan D’Team telah berhijrah menjadi ahli Jerkah. Duan pergi menyerang Herdi kerana menganggap Herdi telah mencuri anak buahnya. Herdi menafikan tuduhan itu, sebaliknya anak buah Duan itu datang secara sukarela untuk menjadi ahli Jerkah.
Duan terpaksa mencari pemain baru kerana ingin memenangi perlawanan Liga Sembilan tidak lama lagi. Duan melatih pemain-pemain baru dengan penuh berdisiplin. Jadual harian dipenuhi dengan latihan untuk memantapkan lagi kemahiran bola sepak terhadap pemain-pemain baru. Pada suatu malam, salah seorang pemain baru D’Team iaitu Syukri telah dipukul oleh individu tidak dikenali sehingga cedera parah. Syukri diselamatkan oleh seorang pemandu kereta yang kebetulan lalu di kawasan itu.
Duan yang mendapat tahu berita kecelakaan itu terus melepaskan marahnya terhadap Herdi ketika terserempak dengannya. Duan pulang ke rumah dengan keadaan mukanya luka-luka kerana bertumbuk dengan Herdi. Risya menasihatkan Duan supaya berhenti menjadi jurulatih bola sepak kerana risau akan keselamatannya. Namun Duan tidak mengendahkan nasihat isterinya.
Keesokan harinya, Duan ditahan polis di atas kesalahan mencederakan Herdi tanpa sebab. Isterinya menjamin Duan dengan harapan Duan berhenti menjadi jurulatih bola sepak dan memberi tumpuan terhadap bisnes herba bersama abangnya. Pasukan D’Team sudah hilang kepercayaan terhadap Duan kerana sikap panas barannya. Pemain-pemain pasukan D’team meninggalkan Duan kerana merasakan dia tidak mampu membimbimg pasukan Dâ€Team lagi.
Beberapa hari kemudian, Herdi menarik balik laporan polis terhadap tuduhan Duan mencederakannya tanpa sebab. Herdi juga telah menghulurkan mesej perdamaian bersama Duan dan meminta Duan supaya tidak berhenti menjadi jurulatih bola sepak yang pada hakikatnya merupakan semangat bagi pasukan Jerkah untuk terus bersaing dalam perlawanan bola sepak. Herdi juga telah menasihatkan pemain-pemain D’Team supaya bersatu semula untuk perlawanan akan datang. Duan sungguh terharu dan amat berterima kasih kepada Herdi. Risya begitu kecewa mendengarkan berita Duan kembali menjadi jurulatih bola sepak.
Pada suatu hari, kereta Duan mengalami kerosakan. Kemudian dia meminjam kereta Risya untuk pergi ke beberapa tempat. Duan menyuruh Risya menaiki teksi jika ingin pulang ke rumah dari tempat kerja. Walaupun keberatan, tetapi Risya hanya mampu berdiam. Semasa menggunakan kereta Risya, Duan terjumpa sepasang sarung tangan peninju. Duan mencurigai Risya dan berpendapat Risya mempunyai teman lelaki lain yang aktif dalam sukan tinju.
Duan kemudiannya membuka bonet kereta untuk mencari bukti. Dia terjumpa satu resit pembayaran kepada satu syarikat. Duan terus pergi ke syarikat tersebut dan bertemu dengan pemilik syarikat itu yang bernama Jerry Tham. Jerry Tham menceritakan ketangkasan Risya dalam sukan tinju sehingga boleh membunuh. Risya telah datang belajar tinju sehingga menjadi seorang peninju wanita yang hebat. Duan terkejut mendengar penjelasan pemilik syarikat tinju itu.
Duan pulang ke rumah dan menggeledah rumah sehingga terjumpa senarai nama pemain bola sepak D’Team. Nama pemain yang telah dibunuh telah di gariskan dengan menggunakan pen merah. Duan begitu takut apabila mengetahui misteri pembunuhan itu bakal terbongkar. Duan menjadi semakin takut untuk berdepan dengan isterinya yang disangka lemah lembut sebelum ini.
Akhirnya, misteri pembunuhan itu terbongkar. Duan sendiri tewas dengan Risya apabila Duan cuba melarikan diri, namun kekuatan Risya tidak mampu dilawan. Mungkinkah Duan bakal menerima nasib yang sama seperti pemain-pemain DTeam yang telah menjadi mangsa?