KEKECEWAAN peminat Lah yang terlepas menyaksikan aksi solo penyanyi Lah Ahmad pada Januari lalu bakal terubat dengan penganjuran Lah Ahmad Jatuh Cinta, 7 Oktober ini.
Berlangsung di panggung berprestij Istana Budaya, persembahan mega tersebut lebih istimewa apabila ada seleksi dendangannya diiringi pemuzik orkestra.
Bagai bulan jatuh ke riba, pelawaan Rubbertapper Production House disahut dengan semangat membara, sekali gus hadiah bermakna sempena ulang tahun ke-25 pembabitannya dalam industri muzik.
Mengakui tidak sabar beraksi dengan deretan lagu malar segar, Lah atau nama sebenarnya Abdullah Ahmad, 43, kini giat melakukan persiapan terakhir dari segi mental dan fizikal menjelang konsert.
Seperti rutin setiap kali mahu mengadakan persembahan besar, bekas anggota VE itu menjadikan amalan berpuasa bagi mempertingkatkan stamina.
Sudah memulakan siri latihan terutama mencakupi penguasaan vokal, cabaran utama bagi setiap penyanyi menjelang konsert adalah memastikan kesihatan berada pada tahap terbaik.
Ditanya tentang artis undangan, Lah menyatakan perkara itu bakal diumumkan dalam tempoh terdekat yang pastinya membabitkan rakan seperjuangan dalam arena R&B.
“Mengenai penyanyi undangan, kita umumkan nanti tetapi dari segi pemilihan lagu, saya akan membawakan seleksi yang belum pernah saya nyanyikan sepanjang lebih dua dekad dalam industri serta beberapa lagu ketika bersama kumpulan VE,” katanya.
Mengunakan khidmat Datuk Reduan Yusof sebagai Pengarah Projek, manakala Muhammad Shahwalnaz Hussin daripada Orkestra Tradisional Malaysia di Istana Budaya sebagai Pengarah Muzik, konsert dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Digital tersebut dijangka memulangkan momen indah buat peminat yang menyokong karier seni bekas anggota VE itu selama ini.
Tiket-tiket Lah Ahmad Jatuh Cinta Live at Istana Budaya boleh dibeli secara dengan melayar iLasso Tickets.