Naim berkata, juri yang terbabit lebih tahu apa mereka lakukan dan inginkan dalam sesebuah lagu seterusnya layak ke AJL35.
“Saya akur dengan keputusan juri SFMM35 semalam. Sebab mereka lebih tahu apa dilakukan dan diinginkan dalam komposisi sesebuah lagu. Saya tidak ada sebarang bantahan.
“Saya hanya mendoakan yang terbaik dan insya Allah akan hasilkan lebih banyak karya terbaharu khas untuk industri muzik Malaysia,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam masa sama, Naim menafikan kecewa dengan keputusan dibuat berdasarkan hantaran dimuat naik di Instagram yang memaparkan dia mengelap trofi kemenangan pada AJL34 lalu.
“Kecewa, langsung tidak. Ia hanya ‘content’ dan simbolik sebagai menutup tirai edisi ke 35 kali ini. Keterangan pada hanaran yang dimuat naik pun saya mendoakan kepada semua finalis untuk buat yang terbaik dan semoga semuanya berjalan lancar,” katanya.
Pun begitu, kekecewaan tetap dirasai peminat dan penyokong bekas pemenang Juara Lagu pada AJL34 menerusi lagu Sumpah itu berdasarkan ciapan dan komen di laman sosial.
“Saya berharap supaya penyokong dan peminat kekal tenang dan terima keputusan dengan hati terbuka seperti mana saya menerima keputusan ini dengan baik. Saya percaya ini bukanlah pengakhiran segalanya untuk kerjaya muzik saya.
“Insya Allah, saya akan terus cuba sedaya upaya untuk menghasilkan karya bermutu untuk anda semua. Bukan hanya sekadar pertandingan, tapi untuk warna warni dalam industri muzik.
“Insya Allah, saya juga akan muncul dengan karya terbaru dan teruskan dengar lagu terbaharu saya, Purnama. Kalau ada rezeki kita bawa lagu ini ke peringkat lebih tinggi lagi,” katanya.
Terdahulu, ketua juri SFMM35, Azmeer menjelaskan terdapat beberapa kesalahan kecil menjadi punca beberapa lagu yang dijangka melangkah ke Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) tidak layak bertanding di pentas akhir itu.
Azmeer berkata, walaupun semua lagu yang bertanding di SFMM35 dianggap karya terbaik, namun ada kekurangan ketika pemarkahan dibuat.