in ,

Lagu Penyanyi Popular Dalam Filem Balada Pencinta

Selain skrip dan barisan pelakon yang baik, muzik ataupun lagu tema turut menjadi faktor penting dalam menentukan arus sesuatu filem itu. Seraya itu, Balada Pencinta, filem terbaru keluaran Grand Brilliance memilih untuk melengkapkan filem tersebut dengan lagu-lagu baru dan lama yang bersesuaian dengan kedua filem dan jiwa penonton.

Dengan lagu klasik dari Awie, Alleycats dan M.Nasir dan lagu-lagu yang lebih terkini dari Yuna, The Sixth Sense dan Jimmy Palikat, filem ini dipercayai dapat menarik penonton dari pelbagai lapisan masyarakat dan usia. Juga menjadi lagu tema filem Balada Pencinta ini adalah lagu baru yang ditulis dan dinyanyikan oleh pengarah filem ini sendiri, Khir Rahman, berjudul Nanti dan Terima Kasih Aishah.

Dengan melodi yang menyayat hati, sesuai dengan bait puitis liriknya, Nanti menerangkan bagaimana Aishah melengkapkan kehidupan Amir dan harapan yang diletakkan Amir dalam menghabiskan sisa hidupnya di sisi Aishah walau sedar akan hakikat bahawa dirinya tidak setaraf dengan gadis pujaannya itu.

Terima Kasih Aishah menyajikan lirik yang begitu bertetapan dengan filem Balada Pencinta dimana Amir menyuarakan rasa syukurnya kepada Aishah yang telah mengubah diri beliau dan memberi inspirasi untuk Amir memulakan hidup baru yang lebih baik dan diredhai-Nya.

“Saya percaya setiap lagu yang ditulis untuk filem perlu jujur dan menyampaikan isi sesebuah cerita tersebut, maka saya tulis lagu Terima Kasih Aishah dan Nanti ini untuk menghormati konsep itu, dimana baitnya begitu tulus dan eksklusif untuk filem Balada Pencinta ini sahaja”, ujar Khir Rahman akan lagu yang ditulis beliau.

Filem yang siap penggambarannya pada Julai 2012 akan membawa penonton menyingkap hidup seorang busker jalanan, Amir yang pernah melalui zaman gelap sebagai salah seorang ahli kumpulan gangster. Pertemuan Amir dengan Aishah (Siti Saleha), menjadi titik permulaan bagi Amir untuk berubah dan mencari jalan kehidupan yang lebih baik.

Namun cinta yang disemai tidak dapat mengubah hakikat yang Amir dan Aishah berlainan darjat, sekaligus membawa kita mengenali Boy, tunangan Aishah yang telah ditentukan oleh keluarganya. Walau dianggap sebagai pasangan yang sama cantik dan kaya, tetap tidak merubah perasaan Aishah terhadap Amir.

Menemui pencinta filem tempatan 24 Oktober ini, Balada Pencinta dijamin dapat menebus kerinduan penonton kepada filem-filem bergenre romantis.

Untuk maklumat lanjut, serta info dan gambar eksklusif di balik tabir filem ini, sila layari www.facebook.com/BaladaPencinta atau follow @grandbrilliance di Twitter dan Instagram rasmi mereka.

Antara barisan filem – filem lain Grand Brilliance yang bakal menemui anda pada 2013 adalah Penanggal (28 November) dan pada 2014 Pengapit, Sejoli, Gila Baby, Mamak Cupcake, Lebuhraya Ke Neraka, Tujuh, Showdown dan Anak Jantan yang dijangka bakal memecah rekod industri perfileman tanah air.

Balada Pencinta Poster

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Biodata & Perjalanan Seni Snapshot

Showcase Shila Amzah Sukses Shila Rancang Konsert