SEGALA teka-teki mengenai senarai lagu yang layak ke Anugerah Juara Lagu 32 telah pun terjawab pada Ahad lalu. Sebanyak 12 daripada 30 buah lagu telah dipilih pihak juri bagi berentap di pentas akhir AJL 32.
Namun, dalam kegembiraan yang diraikan oleh kesemua finalis, nampaknya ada seorang penyanyi yang agak tidak berpuas hati dengan keputusan juri kerana lagunya tidak layak ke final.
Rentetan perkara itu, pemilik nama sebenar Nur Suhada Jebat tampil dengan berani bagi menjelaskan situasi sebenar berhubung perkara berkenaan yang mungkin disalah anggap.
Ayda Jebat atau lebih dikenali sebagai Si Kenid ini telah meluahkan rasa kekecewaannya menerusi satu posting di akaun Instagram miliknya apabila lagu MATA tidak dipilih untuk menyertai AJL32.
Tanpa menyembunyikan rasa kecewa itu, gadis kelahiran bandar raya bersejarah Melaka itu telah secara terbuka mempertikaikan keputusan para juri dengan membandingkan lagunya dengan lagu lain yang terpilih ke final.
Namun, posting itu telah menimbulkan pergaduhan para peminatnya pula dengan netizen yang lain.
“Ia bukan mengenai kemenangan ataupun kekalahan. Tapi sebab setiap hari berusaha keras dan terus maju dengan satu cabaran.
“Ia juga mengenai merawat luka yang dulu ketika saat akhir dan tidak berasan takut,” tulisnya dalam ruangan caption.
Penyanyi berusia 25 tahun itu turut menyindir bahawa industri hiburan seperti terlalu banyak permainan politik hingga menyebabkan kesukaran buat penyanyi untuk mengembangkan bakat mereka.
Selain itu, Ayda juga mengatakan bahawa kemungkinan dia perlu berbaik dengan juri supaya lagunya dapat terpilih ke peringkat final.
“Well, kena baik dengan juri dan producer ataupun buat lagu ala 90-an baru boleh masuk kot,” tulisnya di ruangan komen kepada salah seorang peminat.
Kalau nak dilihatkan, nampaknya pemilihan kali ini lebih kepada bakat baru yang ada. Dengan gabungan komposer, lirik lagu yang mendalam dan nyanyian oleh penyanyi baharu, sekali gus membuatkan mereka layak ke pentas akhir.
Tapi juri pun tahu apa yang mereka buat dan pastinya mereka dah jalankan tugas sebagai juri dengan adil dan memilih lagu yang paling terbaik sekali antara 30 buah lagu yang dicalonkan.
Di laman Twitter sekarang pun ramai yang mempersoalkan tindakan Ayda mempersoalkan kredibiliti juri untuk AJL32 kali ini.
Harapnya Ayda dapat terima keputusan yang telah dibuat. Siapa tahu tahun ni bukan rezeki baginya, tahun depan masih ada lagi.
Menang anugerah banyak macam mana sekalipun, kalau juri rasa lagu tu tak cukup kuat, kenapa kita nak pertikaikan lagi. Bukan semua benda yang kita nak, kita dapat macam tu je.
Mana tahu lepas ni kejayaan lain pula yang tengah tunggu Ayda untuk masa akan datang.