Slot Teater Legenda kali ini membawakan sebuah lagi filem hebat arahan Allyarham Tan Sri P. Ramlee bertajuk “Labu dan Labiâ€, bersiaran pada 2 April ini, pukul 9.30 malam, di TV2.
Saksikan gandingan lucu P. Ramlee dan Mohd. Zain sebagai Labu dan Labi, orang gaji kepada Haji Bakhil, seorang tua yang sangat kedekut. Isterinya yang penyabar dan setia serta anak perempuan mereka yang cantik, Manisah, melengkapkan sebuah keluarga yang hidup harmoni.
Kedua-dua Labu dan Labi sering dimarahi, dimaki dan dipaksa melakukan hukuman kanak-kanak iaitu ketuk-ketampi oleh Haji Bakhil tetapi tetap bertahan untuk bekerja dengannya kerana masing-masing dalam diam menaruh hati kepada Manisah.
Satu malam apabila mereka berdua hendak tidur di beranda rumah Haji Bakhil, seperti biasa mereka berdua memulakan cerita tentang angan-angan masing-masing. Cerita angan-angan mereka bermula di sebuah kelab malam. Labi berangan yang dia adalah majistret yang ingin ke kelab malam untuk berjumpa dengan Labu, yang juga berangan menjadi seorang doktor. Haji Bakhil muncul sebagai pelayan untuk mengambil pesanan mereka. Labu dan Labi kemudiannya menyaksikan dua persembahan.
Selepas persembahan, Labu menuju ke belakang pentas untuk menemui Sarimah di bilik persalinannya, tetapi ketika dia berbual dengan Sarimah, Labi muncul dengan tujuan yang sama. Labu dan Labi mula bertelagah, dan pertelagahan mereka terlalu kuat hingga mengejutkan Haji Bakhil yang menjerit menyuruh mereka kembali tidur.
Tidak terhenti di situ, mereka berdua meneruskan bercerita angan-angan mereka. Kali ini Labu berangan untuk menjadi Tarzan Melayu yang memakai keris manakala Labi menjadi seekor harimau tidak berekor dan Haji Bakhil menjadi chita, seekor monyet yang juga tidak berekor. Labi ingin memakan Labu dan perlawanan bermula hingga sekali lagi Haji Bakhil muncul dan memarahi mereka.
Giliran Labi pula untuk bercerita tentang angan-angannya. Labi mengatakan dia lebih suka menjadi koboi yang boleh tangkap penjahat dan dapat banyak ganjaran. Dia berangan yang dia seorang sherif manakala Labi menjadi Jesse Labu, adik bongsu Jesse James. Haji Bakhil sekali lagi muncul dan kini dia menjadi cucu Haji Bakhil yang menjadi pelayan bar. Labu dan Labi memulakan perlawanan tembakan dan bunyi pistol dari mulut mereka membangunkan sekali lagi bos mereka. Haji Bakhil mengarahkan mereka bagun awal dan bekerja awal-awal sebagai denda.
Pagi esoknya, Labu ke hutan mencari kayu api seperti yang disuruh Haji Bakhil. Ketika itu, dia terlihat sekumpulan lelaki yang mencurigakan memasuki satu bilik rahsia di dalam bukit kecil. Selepas orang itu pergi, Labu memasuki bilik tersebut dan menemui sejumlah harta yang banyak di situ. Labu mengambil harta itu dan menghilangkan diri.
Di rumah Haji Bakhil, mereka bersedih kerana kehilangan Labu. Walau bagaimanapun, mereka dikejutkan dengan kemunculan rombongan peminangan Labu terhadap Manisah. Haji Bakhil menolak pinangan dan Labu berjumpa dengan seorang bomoh untuk menyihir Manisah, menyebabkan dia tidur dan tidak bangun-bangun. Labu menghantar pesanan yang dia akan menyembuhkan Manisah sekiranya Haji Bakhil menerima pinangannya.
Setelah menyaksikan perkara tersebut, Labi menemui seorang pendeta yang memberikannya batu hikmat, yang apabila dicelupkan ke dalam air akan menyebabkan air tersebut menjadi ubat kepada semua penyakit dan sihir. Labi mengunakan batu tersebut untuk menyembuhkan Manisah. Haji Bakhil gembira lalu membenarkan Labi mengahwini Manisah.
Pada hari perkahwinan, Labu datang ke rumah Haji Bakhil dan mengenakan jampi yang menyebabkan semua tertidur. Walau bagaimanapun, Labi tidak dipengaruhi jampi dan menggunakan batu hikmat untuk membangunkan Manisah pula. Labu memasuki rumah untuk menculik Manisah tetapi Labi menghalangnya dan pergaduhan bermula hingga Labu mengambil kapak lalu menetak ke kepala Labi.
Pergaduhan mereka sekali lagi mengejutkan Haji Bakhil. Labu masih tidak sedar dengan lamunannya walaupun disimbah air oleh Haji Bakhil. Labu yang masih keliru antara mimpi dan kenyataan, memarahi Haji Bakhil. Manisah muncul di jendela meminta Labi mengeluarkan basikalnya tetapi Labu menyambar jendela dan memujuk Manisah meninggalkan Labi dan mengahwininya. Manisah yang berasa aneh mengatakan yang Labu masih bermimpi dan baru dia sedar.
Haji Bakhil, yang masih marah dengan mereka berdua yang mengganggu tidurnya sepanjang malam menghukum mereka untuk ketuk ketampi.
Bagi anda yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.