in ,

La Reserve Paris Mengimbau Dunia Klasik Bangsawan Perancis

Biarpun kedengaran agak klise, ibu negara Perancis, Paris kekal sebagai salah satu destinasi Eropah paling digemari oleh para pelancong Asia. Dengan begitu banyak tempat-tempat menarik di Paris, tidak hairanlah jika kota ini mempunyai ribuan pilihan tempat penginapan. Sungguhpun begitu, di antara kesemua hotel di Paris ada satu hotel mewah yang mungkin lebih unik untuk didiami. Malah, ia mungkin salah satu hotel yang menawarkan konsep sedemikian rupa di seluruh negara Paris.

la reservesalon

Dibina dan direka khas berdasarkan sebuah rumah agam Paris dari kurun ke 19, hotel La Reserve Paris benar-benar merupakan sebuah hotel yang lain dari yang lain. Terletak di kawasan kediaman eksklusif Paris di antara jalan membeli-belah paling popular Paris iaitu Rue Saint Honore dan Avenue Montaigne, serta sekangkang kera dari persiaran tersohor Champs Elysee, rumah agam Michel Reybier ini benar-benar melambangkan kegemilangan golongan bangsawan Perancis pada kurun ke-19.

Ketibaan di perkarangan pintu masuk hotel mungkin kelihatan seperti pintu masuk biasa namun sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kawasan lobi atau salon para tamu pasti berasa seperti melangkah masuk ke dalam sebuah rumah bangsawan Perancis dari filem dahulukala. Dengan hiasan ala-ala kurun ke 19 dari perabot sehingga setiap sudut hotel, La Reserve Paris memang berada dalam kelas tersendiri.

Hotel ini sangat eksklusif kerana ia mempunyai 26 suite dan 14 bilik-bilik mewah, yang telah direka berdasarkan gaya senibina Perancis klasik. Suite-suite serta bilik-bilik ini dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan terkini yang canggih serta moden. Malah setiap suite mewah diberi seorang pembantu khas atau ‘butler’ yang boleh membantu tamu untuk mengemas pakaian, menyiapkan mandian dalam tab mandi dan apa sahaja permintaan berkaitan tempat penginapan.

Lebih menarik lagi semua pesanan serta permintaan boleh dilakukan dengan menggunakan ipad yang tersedia di dalam bilik. Setiap peralatan elektronik juga boleh dinyalakan dan dipadamkan dengan menggunakan ipad tersebut. Suatu lagi keunikan adalah televisyen di dalam suite juga berupa cermin bilik yang turut berfungsi sebagai TV dan radio! Ini membezakannya dengan ribuan hotel lain di dunia. Dengan menyentuh fungsi TV di Ipad, cermin bilik dua hala mampu berubah menjadi layar televisyen! Selain itu, terdapat suite yang mempunyai beranda dan menawarkan pemandangan indah menara Eiffel.

Di samping bilik-bilik serta suite mewah di sini, La Reserve juga mempunyai spa dan kolam renang dalaman seluas 16 meter. Spa mereka juga menggunakan produk khas berkualiti tinggi dari Switzerland iaitu Nescens, yang lahir dari kajian terperinci untuk anti-penuaan.

Kalau soal menjamu selera pula, orang Perancis memang terkenal dengan makanan terbaik dunia, dan restoran mereka iaitu Le Gabriel dinobatkan dua bintang Michelin, iaitu anugerah yang tinggi dalam dunia pemakanan serta gastronomi mewah.

Menawarkan pelbagai sajian lazat, restoran ini turut mempunyai banyak sajian makanan laut dan berasaskan ikan. Ditambah dengan suasana restorannya yang sangat cantik dan menenangkan, LE Gabriel unggul sebagai salah satu restoran tersohor di Paris! Malah, ramai juga golongan terkenal serta selebriti yang pernah menjamu selera di sini.

Berlatarbelakangkan senireka kota Paris yang gah dan klasik serta perkhidmatan bertaraf dunia, tidak syak lagi bahawa La Reserve Paris memang sebuah destinasi percutian yang sesuai untuk mereka yang ingin menenangkan fikiran serta jiwa di tengah bandaraya Eropah sambil menikmati kemewahan dunia.

20160228_111615

la reservepool

La-Reserve-Paris-Hotel-bathroom-with-view

La-Reserve-Paris-Hotel-entree-3

La-Reserve-Paris-Hotel-library

La-Reserve-Paris-Suite-Prestige-506

Restaurant-Le-Gabriel-La-Reserve-Paris-2

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

CYRILL HASSAN

Malam Gala Filem LONG LONG TIME AGO

Ulasan Filem LONG LONG TIME AGO Arahan Jack Neo