Dengan begitu banyak hotel berdekatan dengan menara ikonik ini ada satu jenama hotel mewah yang mungkin lebih menarik untuk didiami. Malah, ia mungkin salah satu jenama penginapan pilihan jika ingin menginap berdekatan menara tersebut.
Terletak di Avenue Kléber, dan dikelilingi pelbagai mercu tanda Paris seperti Menara Eiffel, Gerbang Arc de Triomphe dan juga kawasan Trocadéro – La Clef Tour Eiffel Paris meneyerlah bak permata.
Menggabungkan senibina Haussmannian gaya post-moden Ricardo Bofill, kediaman ini mempunyai personaliti tersendiri yang agak susah untuk dikategorikan.
Senireka dalamannya menggabungkan unsur tradisional dan kontemporari dengan sentuhan ‘chic’ Paris yang tidak dapat disangkal lagi.
Untuk memastikan keselesaan para tamu dalam suasana yang mewah, La Clef Tour Eiffel Paris menawarkan perkhidmatan hammam dan urut khas serta sajian terhebat di restoran berbintang Michelin yang memastikan pengalaman ala Paris sepenuhnya.
Penginapan ini sangat eksklusif dan mempunyai bilik-bilik mewah serta beberapa unit studio serta pangsapuri, yang telah direka berdasarkan gaya senibina kontemporari dan sedikit sentuhan Perancis klasik.
Suite-suite serta bilik-bilik ini dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan terkini yang canggih serta moden. Selain bilik-bilik serta suite mewah di sini, ia juga mempunyai ruang senaman khas di dalam bangunan.
Bilik mandi setiap bilik pula menggunakan jenama produk mewah L’Occitane yang diberikan secara percuma!Bab menjamu selera pula, orang Perancis memang terkenal dengan makanan terbaik dunia, dan ruang sarapan mereka hanya menyajikan yang terbaik buat tamu yang datang.
Berhiaskan senibina kota Paris yang gah dan klasik serta perkhidmatan bertaraf dunia, tidak syak lagi bahawa La Clef Tour Eiffel memang sebuah destinasi percutian yang sesuai untuk mereka yang ingin menenangkan fikiran serta jiwa di tengah bandaraya Eropah sambil menikmati kemewahan Menara Eiffel yang terkenal di mata dunia.
oleh Shah Shamshiri